Quantcast
Channel: Cikgu Nurul
Viewing all 130 articles
Browse latest View live

Sambutan Hari Sukan Negara 2015

$
0
0
Hari ini merupakan Hari Sukan Negara bagi tahun 2015. Sambutannya diadakan serentak di seluruh negara melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, termasuklah semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Program anjuran Kementerian Belia & Sukan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2015 dan bakal menjadi acara tahunan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober. Ianya selaras dengan Dasar 1Murid 1Sukan yang dilancarkan sejak tahun 2011.

Memandangkan sejak seminggu lepas negeri Sarawak tidak lagi diselubungi masalah jerebu tebal, maka acara sambutan Hari Sukan Negara pada hari ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sambutan HSN di SMK Bawang Assan telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua yang baharu, iaitu En. Lau Siah Teck dan turut disertai oleh YDP PIBG, En. Embark ak Tani. 


Antara acara yang telah dilaksanakan di sekolah saya adalah:


Jalan Ria

Acara ini adalah sebagai ‘warm-up’ di mana semua warga sekolah perlu berjalan kaki sebanyak 1,000 langkah. Ia dimulakan oleh pelajar-pelajar menengah atas, diikuti para pelajar menengah bawah dan seterusnya diakhiri oleh YDP PIBG, Tuan Pengetua dan para guru.




(errr……..tapi sebenarnya kami tak cukup pun 1,000 langkah. Hehehe……)

Aktiviti berjalan kaki ini sebenarnya merupakan suatu senaman yang sangat bagus untuk kesihatan. Dalam satu kajian, pengkaji mendapati berjalan kaki selama 150 minit seminggu dapat menambah jangka hayat seseorang selama 3.4 tahun. Ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes, osteoporosis dan strok serta dapat mengawal tekanan darah dan mengurangkan stress.


Senamrobik

Sejurus selesai acara jalan ria, semua guru dan pelajar berkumpul di padang sekolah untuk acara senamrobik. Instructornya adalah Cikgu Doris dan dibantu oleh beberapa orang pelajar Tingkatan 4.
Habis keluar segala macam lagu: ada lagu bahasa Inggeris, lagu melayu, lagu Hindustan. Lagu P. Ramlee pun ada.  Memang betul-betul 1 Malaysia. Bukan setakat senamrobik, siap ada tai-chi lagi. Acara ini diakhiri dengan tarian poco-poco yang dah jadi macam acara wajib kat sekolah ni.







Sukaneka

Seterusnya, para guru dan pelajar mengambil bahagian dalam acara sukaneka. Antara acara yang dijalankan adalah ‘Bola Beracun’, di mana ia dibahagikan kepada kategori lelaki & perempuan.




Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pelajar, guru dan staf yang telah berjaya melibatkan diri dalam acara sambutan HSN 2015 pagi tadi. Terima kasih pada semua AJK yang terlibat terutama yang telah membuat persiapan sejak sehari dua lepas.


Majulah Sukan untuk Negara..! 

Kimia Bab 8: Keterlarutan Garam

$
0
0
Tajuk pertama dalam mata pelajaran Kimia Ting. 4 Bab 8: Garam ialah keterlarutan garam.
Adalah penting untuk mengenal pasti garam terlarutkan dan garam tak terlarutkan kerana ia akan menentukan kaedah penyediaan sesuatu garam.

Secara umumnya, terdapat 4 jenis garam yang dibincangkan dalam sukatan m/p Kimia Ting. 4, iaitu:

(i)     Garam nitrat
(ii)    Garam sulfat
(iii)   Garam klorida
(iv)   Garam karbonat

Jika mahu menghafal semua garam yang larut dan garam tak larut, sudah tentulah sukar kerana jumlahnya agak banyak.
Jadi, hanya perlu ingat garam yang tidak larut sahaja kerana jumlahnya sedikit berbanding dengan garam yang larut.

Bagi mengenal pasti keterlarutan garam di samping melatih pelajar untuk menulis formula garam dengan betul, saya meminta pelajar-pelajar saya membina Jadual Keterlarutan Garam. Seterusnya, mereka hanya perlu melorekkan garam yang tidak larut.

Berikut merupakan antara hasil pelajar saya:







Muat turun: 

Jadual Keterlarutan Garam (pelajar-latihan) 

Jadual Keterlarutan Garam (guru-jawapan)

Mnemonik Siri Elektrokimia versi Bahasa Melayu

$
0
0
Cara mudah bagi mengingati Siri Elektrokimia dengan menggunakan kaedah mnemonik (mnemonics). 
Mnemonik ini boleh dipelbagaikan. Ini adalah mnemonik yang digunakan oleh pelajar-pelajar saya: 



Selamat Jalan Pengetua Kandou, Selamat Datang Pengetua Lau

$
0
0
Satu jamuan makan tengah hari untuk warga SMKBA Sibu telah diadakan di Hotel Paramount tengah hari tadi. Tujuannya adalah bagi merakamkan penghargaan buat Tuan Pengetua sebelum ini, iaitu En. Kandou ak Ngadi yang berpindah ke SMK Bkt Assek dua minggu lalu. Beliau telah menerajui SMKBA selama 11 tahun. Dalam masa yang sama, kami meraikan kehadiran Tuan Pengetua yang baharu, iaitu En. Lau Siah Teck yang sebelum ini bertugas di SMK St. Anthony, Sarikei. 


Majlis dimulakan dengan persembahan montaj bagi mengenang kembali saat-saat manis bersama Pengetua Kandou di SMKBA. Pengacara majlis ialah Cikgu Rosmaliana yang berjaya mengendalikan majlis dengan jayanya walaupun diminta untuk menjadi MC pada saat-saat akhir. Good job Cikgu Ros! Kipidap! (ok, lepas ni saya dah boleh pencen dari tugas MC. hehe......) 


Seterusnya, insan-insan yang diraikan dijemput untuk memberikan ucapan dengan dimulai oleh Pengetua Kandou, diikuti Pengetua Lau serta wakil staf SMKBA, Cikgu Jarit. 

Pengetua Kandou smart hari ni pakai baju baru....

Pengetua Lau Siah Teck 

PK HEM, Cikgu Jarit ak Jugah 

Kemudian, Pengetua Kandou menerima cenderamata tanda kenang-kenangan daripada warga SMKBA. 

 Cenderamata daripada guru-guru cina

 Cenderamata daripada Bidang Sains & Matematik

Cenderamata istimewa daripada En. Lahan berupa set alatan menyumpit 

Usai sesi pemberian cenderamata, majlis diteruskan dengan acara gimik menyumpit (salah satu keunikan budaya masyarakat Iban di Sarawak). 

5 biji belon yang akan disumpit 

 Pengetua Kandou memulakan acara 

 Pengetua Lau tak nak kalah 

 Cikgu Jarit yang semangat 

Cikgu Jeffery tetap cool 

Ketua Warden SMKBA yang dedikasi, Cikgu Willy ak Entan 

Tahniah kepada semua yang telah berjaya menyumpit kelima-lima sasaran dengan tepat hanya dengan satu percubaan sahaja. Ternyata para hadirin cukup kagum dan memberikan tepukan yang gemuruh. Tak sia-sia SMKBA ada juara menyumpit negeri Sarawak selaku mentor. 

Pakar menyumpit negeri Sarawak, En. Lahan Suhaili 

Menu kami pada hari ini: 




Kambing masak apa entah. Yang pastinya, akhirnya saya berjaya makan kambing! haha....

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan menjayakan majlis pada hari ini. 
Terima kasih kepada pihak koperasi sekolah yang memberikan sedikit sumbangan dan menguruskan tempahan hotel. 
Terima kasih juga kepada Cikgu Madya yang membantu menguruskan perjalanan majlis. 
(maaf jika ada yang saya tak sebutkan nama). 
Tidak lupa juga kepada semua guru & staf yang hadir memeriahkan majlis. 


Buat Pengetua Kandou, Bon Voyageand good luck in your new school. 
Jangan dilupakan kami di sini. Jika ada kesempatan, pasti kita akan bersua lagi. 

Buat Pengetua Lau, welcome to bawang assan! We are looking forward to follow your path in transforming SMKBA towards excellence. 

SMK Bawang Assan...... BOLEH!!!!  


p/s: sempat juga merasa & bergambar dengan alatan menyumpit. agak berat juga rupanya...... 

Analisis Soalan SPM Kimia 2009-2014 Mengikut Subtopik & Ramalan SPM Kimia 2015

$
0
0
 Jika diperhatikan kebanyakan analisis soalan SPM daripada buku hanya menunjukkan analisis berdasarkan topik / bab. Berdasarkan analisis tersebut, boleh dikatakan hampir semua bab akan disoal dalam peperiksaan SPM. Bagi pelajar-pelajar cemerlang, mereka tiada masalah untuk membuat ulangkaji bagi semua tajuk, namun ianya amat sukar bagi pelajar-pelajar yang sederhana dan “slow-learners”.

Jika kita membuat analisis mengikut sub-topik, kita akan dapat melihat ‘trend’ soalan SPM dengan lebih jelas. Berdasarkan kekerapan sesuatu tajuk / kemahiran disoal dalam SPM, kita boleh merancang tajuk mana yang perlu diberi lebih penekanan. Sedikit sebanyak dapat juga meramalkan soalan yang berkemungkinan akan ditanya pada tahun tersebut.  Saya pernah berdiskusi dengan seorang Guru Cemerlang Kimia dari Johor empat tahun lepas, dan beliaulah yang telah memberikan tips ini kepada saya.

Saya telah membuat analisis soalan SPM Kimia mengikut sub-topik bermula dengan soalan SPM pada tahun 2007. Untuk entri ini, saya tunjukkan analisis bermula tahun 2009 (supaya muat dalam 1 page).
Soalan-soalan yang dijangka ditanya dalam peperiksaan SPM 2015 ditanda dengan simbol *star*.
Perlu diingatkan bahawa ini hanya merupakan jangkaan sahaja. Tambahan pula, saya bukan penggubal soalan mahupun pemeriksa kertas peperiksaan. Analisis bagi tajuk-tajuk ramalan dibuat berdasarkan “trend” soalan tahun-tahun lepas serta soalan-soalan percubaan SPM negeri-negeri.

Berikut merupakan analisis soalan-soalan SPM Kimia yang dikeluarkan sejak 6 tahun kebelakangan.






Berdasarkan analisis di atas, beberapa perkara yang dapat saya simpulkan adalah: 

1.   Tajuk / bab WAJIB (ditanya pada setiap tahun)
(i)    Bab 5 Ting. 4: Ikatan Kimia
(ii)   Bab 6 Ting. 4: Elektrokimia
(iii)  Bab 1 Ting. 5: Kadar Tindak balas 

2.  Kebiasaannya, Bab 9 Ting. 4 (Bahan Buatan dalam Industri) & Bab 5 Ting. 5 (Bahan Kimia untuk Pengguna) digabungkan dalam satu soalan (Kertas 2) sama ada Bahagian A ataupun Bahagian B/C.

3.   Tajuk / bab yang kerap ditanya di Bahagian AKertas 2:
(i)   Bab 2 ting. 4: Struktur Atom (jirim, atom)
(ii)  Bab 3 ting. 4: Formula & persamaan Kimia (penentuan formula empirik)
(iii) Bab 5 ting. 4: Ikatan Kimia
(iv) Bab 6 ting. 4: Elektrokimia (elektrolisis larutan akues / sel kimia)
(v)  Bab 2 ting. 5 : Sebatian Karbon 

4.   Tajuk / bab yang kerap ditanya di Bahagian B / CKertas 2:
(i)    Bab 6 ting. 4: Elektrokimia
(ii)   Bab 7 ting. 4: Asid & Bes (kekuatan asid/alkali, peranan air dalam menunjukkan sifat asid/alkali, pentitratan asid-bes)
(iii)  Bab 8 ting. 4: Garam (analisis kualitatif)
(iv)  Bab 9 ting. 4 + Bab 5 ting. 5: Bahan Buatan dalam Industri & Bahan Kimia untuk Pengguna
(v)   Bab 1 ting. 5: Kadar Tindak balas (mesti menguasai kemahiran melukiskan graf & membuat tangen pada graf)
(vi)  Bab 2 ting. 5: Sebatian Karbon (soalan berangkai) 

5.   Tajuk / bab yang belum pernah ditanya dalam Kertas 3 sejak 2007:
(i)   Bab 3 ting. 4: Formula & Persamaan Kimia
(ii)  Bab 3 ting. 5: Redoks
(iii) Bab 5 ting. 5: Bahan kimia untuk pengguna 


Muat turun (word doc): 

Tindak balas Asid & Logam dan Aplikasinya

$
0
0
Soalan Kimia SPM selalunya menggabungkan banyak topik dalam satu soalan yang sama. Jadi, pelajar perlu menguasai semua tajuk dalam mata pelajaran Kimia bagi memastikan semua soalan dapat dijawab dengan baik. Ramai pelajar yang menganggap terlalu banyak tindak balas kimia yang perlu diingat. Tetapi sebenarnya ada tajuk-tajuk yang menggunakan tindak balas yang sama, cuma dengan aplikasi yang berbeza. Salah satunya adalah tindak balas antara asid dan logam.

Tindak balas asid dan logam digunakan dalam tajuk-tajuk / soalan-soalan berikut:


1. Ujian Pengesahan Asid.
   ( Bab 7, Ting. 4: Asid & Bes)

Bagi mengesahkan sesuatu larutan itu sebagai asid, maka larutan tersebut ditindak balaskan dengan logam (biasanya logam reaktif). Jika terdapat gas yang terbebas dan menghasilkan bunyi ‘pop’ apabila diuji dengan kayu uji bernyala, maka sahlah bahawa larutan tersebut merupakan suatu asid.

Kebiasaannya soalan ujian pengesahan asid memperuntukkan 3 markah. Contoh jawapan:
   i)   masukkan sekeping pita magnesium ke dalam larutan A dalam sebuah tabung uji (1m)
  ii)   dekatkan sebatang kayu uji bernyala ke mulut tabung uji (1m)
 iii)   kayu uji bernyala menghasilkan bunyi ‘pop’ (1m)


2. Ujian Pengesahan Gas Hidrogen

Antara soalan yang dikemukakan untuk tindak balas antara asid dan logam adalah:
 “Terangkan bagaimana anda menguji gas yang terbebas”

Sama seperti jawapan di atas, kita mesti mengujinya dengan kayu uji bernyala. Seterusnya, kayu uji bernyala akan menghasilkan bunyi ‘pop’.



3. Penyediaan Gas Hidrogen
    ( Bab 3, Ting. 4: Formula & Persamaan Kimia)

Dalam eksperimen penentuan formula empirik sebatian, terdapat dua kaedah yang digunakan.
Kaedah I melibatkan pembakaran logam reaktif dalam mangkuk pijar.
Manakala, Kaedah II pula melibatkan penurunan oksida logam kepada logam dengan menggunakan gas hidrogen kering.
Kaedah II digunakan untuk logam-logam yang kurang reaktif daripada hidrogen dalam Siri Kereaktifan Logam seperti kuprum, Cu, plumbum, Pb dan ferum, Fe.

Gas hidrogen dalam eksperimen ini disediakan melalui tindak balas antara asid kuat seperti asid hidroklorik, HCl dan asid sulfurik, H2SO4 dengan logam reaktif seperti magnesium, Mg dan zink, Zn.

Contoh:

Gas hidrogen yang terhasil kemudiannya dikeringkan dengan melalukannya ke dalam tiub-U yang berisi kalsium klorida kontang atau kobalt klorida kontang.


4. Penyediaan Garam Larut
    ( Bab 8, Ting. 4)

Garam larut boleh disediakan melalui 4 kaedah. Tindak balas antara asid dan logam digunakan untuk menyediakan garam larut selain daripada garam natrium, Na+, kalium, K+ dan ammonium, NH4+.

Contoh:


Catatan:
Tindak balas ini TIDAK BOLEH digunakan untuk garam kuprum, Cu2+dan garam argentum, Ag+. Ini kerana logam Cu dan Ag berada di kedudukan yang lebih rendah daripada hidrogen dalam Siri Elektrokimia. Penyediaan garam kuprum dan argentum mesti menggunakan tindak balas antara logam dan oksida logam ataupun karbonat logam.


5. Tindak balas Redoks.
    ( Bab 3, Ting. 5)

Tindak balas antara asid dan logam merupakan salah satu contoh bagi tindak balas redoks, di mana proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak.

Contoh:

Dalam tindak balas di atas:
  i) Nombor pengoksidaan hidrogen, H berkurang daripada +1 kepada 0.
     Jadi, hidrogen mengalami penurunan.

 ii) Nombor pengoksidaan zink, Zn bertambah daripada 0kepada +2.
     Jadi, zink mengalami pengoksidaan.

Pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Maka, tindak balas antara HCl dan Zn merupakan tindak balas redoks.

Jika kita membuat persamaan setengah / persamaan ion, kita boleh huraikan dari segi pemindahan elektron.



  i) Zink, Zn melepaskan dua elektron untuk membentuk ion Zn2+
     Jadi, zink mengalami pengoksidaan.
 ii) Hidrogen,H menerima elektron untuk membentuk molekul hidrogen, H2
     Jadi, hidrogen mengalami penurunan.


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform 2015

$
0
0
Dua hari lepas, iaitu pada 12 & 13 November 2015 ( Khamis & Jumaat ), sekolah saya telah menjalankan program Perkhemahan Bersepadu Unit-unit Beruniform. Program ini merupakan antara acara wajib yang dijalankan di sekolah pada setiap hujung tahun memandangkan para pelajar telah tamat Peperiksaan Akhir Tahun. Pelajar-pelajar yang terlibat ialah pelajar Tingkatan 1 – 4. Aktiviti perkhemahan ini melibatkan 6 unit beruniform, iaitu Pengakap, Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet Bomba, Kadet Remaja Sekolah dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) selaku pengelola pada tahun ini.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang 2 hari perkhemahan adalah:

1. Taklimat Program & Taklimat Keselamatan

Sebelum para pelajar mula memasang khemah, mereka diberikan taklimat berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 2 hari perkhemahan di Dewan Sri Bawang. Taklimat program disampaikan oleh Cikgu Su Hiap Soon, selaku ketua guru penasihat BSMM. Seterusnya, taklimat keselamatan disampaikan oleh Cikgu Azairuddin bagi memastikan semua pelajar sentiasa mengutamakan keselamatan serta berdisiplin sepanjang aktiviti perkhemahan berlangsung. Memandangkan hujan di luar belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, maka taklimat program dipanjangkan sehingga hampir jam 9.00 pagi.


2. Mendirikan khemah

Kami tidak menggunakan khemah pasang siap, jadi pelajar-pelajar perlu mendirikan khemah sendiri dengan menggunakan kayu. Batang-batang kayu diambil dari kawasan semak dan belukar di sekitar padang sekolah. Peralatan seperti parang dibekalkan, tetapi di bawah pemantauan guru. Kebanyakan pelajar sudah biasa dengan kerja-kerja seperti ini memandangkan mereka sudah biasa dengan survival hidup di hutan.  Jadi, tidak banyak yang perlu diarahkan, hanya perlu memastikan cara ikatan yang betul digunakan kerana ia akan diberikan markah untuk pertandingan khemah terbaik. Dalam masa kurang 2 jam, semua khemah telah siap didirikan. Selain daripada khemah, mereka juga perlu menyediakan tempat memasak dan beberapa gajet seperti para peralatan memasak dan sebagainya. Nasib baik juga cuaca redup sepanjang pagi ini.





3. Pertandingan Raja & Ratu Rimba

Sambil-sambil mereka memasang dan menghias khemah, mereka juga mula menghias pelajar yang terpilih untuk Pertandingan Raja & Ratu Rimba. Biasanya, pelajar-pelajar junior lah yang selalu menjadi mangsa untuk ‘dikerjakan’ oleh pelajar-pelajar senior. Kemudian, pada jam 11.00 pagi Raja & Ratu Rimba diarak ke astaka untuk sesi pengadilan. Seronok juga melihat mereka catwalkyang tak menjadi dan mendengar komen-komen lucu daripada para juri.





4. Pertandingan Khemah Terbaik

Lebih kurang jam 12.00 tengah hari, para juri mula melawat tapak perkhemahan untuk memberikan markah bagi setiap khemah unit beruniform. Kekemasan dan kebersihan kawasan sekitar khemah turut diambil kira.




5. Pertandingan Masakan Rimba

Sejurus selesai mendirikan khemah, mereka mula menyediakan tempat memasak dan menghidupkan api. Peralatan memasak dan bahan-bahan masakan asas dibekalkan oleh dewan makan, tetapi dalam jumlah yang terhad. Bahan-bahan basah seperti ikan dan ayam juga dibekalkan oleh dewan makan bagi memastikan kehalalan dan kebersihannya. Kalau nak tunggu budak-budak tangkap sendiri, lepas tu sembelih sendiri, penat lerrr…….

Memandangkan malam sebelum itu hujan lebat tidak berhenti sehingga pagi ini, maka proses menghidupkan api menjadi satu cabaran yang sangat besar. Elok-elok je api dah besar, tak lama selepas itu padam balik. Kena tiup lagi, hidupkan balik. Sepanjang masa memasak, itu ajelah kerja budak-budak ni, tiup api tak berhenti. Nasib baik kebanyakan pelajar menunjukkan kerjasama sepasukan yang baik.





Pemilihan cara masakan terpulang pada kreativiti setiap pasukan. Tetapi ada satu menu yang wajib disediakan setiap pasukan, iaitu pansuh - manok pansuh (ayam pansuh) dan ikan pansuh. Ini juga merupakan menu yang ditunggu-tunggu untuk dirasa para guru terutama guru-guru dari tanah semenanjung memandangkan menu ini merupakan signature bagi masyarakat Iban di sini, jadi ianya jarang-jarang dapat dirasa. Ianya dibakar dalam buluh selepas diperap seketika bersama dengan bahan-bahan tertentu (errr……lupa pulak resepinya). Lebih kurang sama saja macam kita bakar lemang. Jadi, agak lama masa yang diambil untuk memasaknya dan nyalaan api perlu sentiasa dipantau. Rasanya memang sedap jika kena dengan caranya. (susah tau tekak saya ni nak rasa sedap masakan tradisi tempatan).



Selesai memasak, mereka makan beramai-ramai di bawah khemah. Sebahagiannya pula dihidangkan kepada para juri di khemah urusetia. Terharu tengok budak-budak makan setelah seharian berpenat lelah, siap hirup sup sampai licin periuk (budak pasukan saya la ni). Huhuhu…….. Cikgu-cikgu pulak ber-barbequedi khemah urusetia. Aktiviti masak-memasak mengakhiri aktiviti perkhemahan untuk hari pertama.






6. Senamrobik

Hari kedua perkhemahan dimulakan dengan senaman pagi. Seperti biasa, aktiviti senamrobik ini diketuai oleh Cikgu Doris and the team. Kesian pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang bersidai di beranda Pusat Sumber…..teringin nak join sekali laa tu, tapi tak boleh. Hehehe……..





7. Pertandingan Kawad Kaki

Seterusnya, para pelajar membuat persediaan terakhir untuk Pertandingan Kawad Kaki. Manakala pelajar-pelajar yang tidak terlibat, mereka ke tapak perkhemahan untuk membersihkan kawasan masing-masing. Cuaca pada pagi ini cerah dan matahari memancar dengan agak terik. Maka, berkawadlah mereka dalam keadaan panas. Apa yang penting, kerjasama dan semangat sepasukan.





8. Ceramah Pertolongan Cemas

Selesai pertandingan kawad kaki, para pelajar dan guru ke Dewan Sri Bawang bagi mendengar ceramah pertolongan cemas (termasuk CPR) yang disampaikan oleh Cikgu Tang dari SMK Tung Hua.




9. Penutupan & Pembahagian Hadiah

Pada jam 11.15 pagi, majlis penutupan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform 2015 diadakan secara ringkas. Majlis dimulakan dengan persembahan montaj aktiviti-aktiviti yang berlangsung sepanjang perkhemahan, diikuti dengan ucapan perasmian penutupan oleh PKKK, Cikgu Patrick Gerijeh dan diakhiri dengan upacara pembahagian hadiah kepada semua unit beruniform yang terlibat dengan aktiviti perkhemahan pada kali ini.

Senarai keputusan pertandingan:

      i)     Pertandingan Raja & Ratu Rimba: Pandu Puteri
     ii)     Pertandingan Khemah Terbaik: Kadet Remaja Sekolah
    iii)     Pertandingan Masakan Rimba: Kadet Remaja Sekolah
    iv)     Pertandingan Kawad Kaki: BSMM

Keputusan keseluruhan:

  1. Pengakap
  2. Kadet Remaja Sekolah
  3. Pandu Puteri
  4. Kadet Bomba
  5. BSMM
  6. Kadet Polis


TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada semua pelajar yang telah terlibat sepanjang aktiviti perkhemahan 2015 selama 2 hari ini. Tahniah kepada pasukan yang berjaya memenangi pertandingan. Kepada pasukan yang kurang berjaya, jangan berputus asa, cuba lagi tahun hadapan.


Sekalung penghargaan & terima kasih:
- Pengetua, En. Lau Siah Teck, selaku penaung
- PKKK, En. Patrick Gerijeh
- Pengelola program, BSMM: Cikgu Su, Cikgu Yii, Cikgu Alicia  
- Penyelaras Unit Beruniform, Cikgu Chiam
- Ketua keselamatan, Cikgu Azairuddin
- Ketua AJK Peralatan, Cikgu Madya
- Penyelaras-penyelaras pertandingan
- AJK-AJK lain yang tidak tersebut namanya
- Guru-guru penasihat Unit-unit Beruniform
- Juri-juri pertandingan
- Pihak dewan makan 

dan kepada SEMUA pihak termasuk guru-guru & AKP yang telah terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang aktiviti perkhemahan 2015.


JUMPA LAGI TAHUN DEPAN! 

Klik DI SINI untuk view full album. 

Majlis Kecemerlangan Pelajar SMK Bawang Assan 2015

$
0
0
Pada hari Khamis (19 November) yang lepas, sekolah saya telah mengadakan Majlis Kecemerlangan (MK) bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun ini sama ada dalam bidang akademik, sahsiah mahupun ko-kurikulum.


Penganjuran MK pada tahun ini diadakan secara agak besar-besaran di mana kami telah menjemput Yang Berhormat Dato’ Sri Wong Soon Koh selaku perasmi majlis. YB Dato’ Sri Wong Soon Koh merupakan Menteri Kewangan II, juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak merangkap ADUN N. 17 Bawang Assan. Tetamu jemputan pula terdiri daripada Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Pemancha, tuai-tuai rumah, wakil PPD dan ibu bapa pelajar.


Sudah menjadi kebiasaan, penganjuran majlis besar seperti ini sudah tentulah menuntut persiapan yang bukan sedikit. Persediaan bagi MK telah dimulakan sejak sebulan yang lepas dengan diketuai oleh Tuan Pengetua sendiri selaku ‘orang kuat’ majlis yang meneliti segenap aspek.
Antara persiapan yang dibuat sebelum majlis:

Pemasangan banner di simpang masuk ke Bawang Assan  

Pemasangan LCD baharu di Dewan Sri Bawang  

Persiapan persembahan 

 Persiapan pentas 

Potted plants untuk hiasan pentas  

Persiapan persembahan 

Seawal jam 6.30 pagi, para pengawas serta ahli Pasukan Kadet Polis mula berbaris bermula dari pintu pagar utama sekolah sehingga ke Dewan Sri Bawang bagi mengalu-alukan ketibaan tetamu. Cuaca pada pagi itu panas dan agak terik, tetapi mereka tetap memberikan komitmen yang sangat baik.



Majlis penyampaian sijil dan hadiah dibahagikan kepada 3 slot utama. Majlis dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan penyampaian sijil dan hadiah bagi Slot 1, iaitu penyampaian sijil penghargaan kepada:

i)          Ketua Tingkatan & Penolong Ketua Tingkatan
ii)        Pengawas sekolah sesi 2014 / 2015
iii)       Pustakawan sekolah sesi 2014/2015
iv)       AJK Unit Penyiaran Sekolah (baru ditubuhkan 2 bulan)
v)        Mata merit terbanyak bagi setiap tingkatan
vi)       AJK Unit Beruniform, Kelab & Persatuan, dan Sukan & Permainan
vii)      Pelajar terbaik setiap unit ko-kurikulum
viii)     Wakil sekolah ke pertandingan di peringkat bahagian & negeri

Pasangan pengacara majlis, Cikgu Rosmaliana & Cikgu Izham 

Usai slot pertama penyampaian sijil dan hadiah, kami mula membuat persiapan terakhir bagi menyambut ketibaan YB Dato’ Sri. Para ‘kumang’ telah memakai busana tradisional lengkap dan berbaris di hadapan dewan, manakala 4 orang ‘keling’ pula mula bersedia dengan perisai masing-masing.


Lebih kurang pada jam 9.30 pagi, kenderaan rasmi yang membawa Dato’ Sri mula memasuki pekarangan sekolah. Ketibaan YB Dato’ Sri disambut oleh barisan guru serta tetamu jemputan dan diketuai oleh Pengetua Lau. Perarakan masuk Dato’ Sri ke dalam dewan diiringi oleh tarian ngajat oleh 4 orang pelajar yang berpakaian tradisional Iban.





Majlis kemudiannya diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku (lagu kebangsaan negeri Sarawak) dan bacaan doa oleh Cikgu Azairuddin. Selepas itu, pentas diambil alih oleh kumpulan penari SMKBA yang mempersembahkan tarian tradisional Iban, iaitu ngajat dan tarian tradisional Melayu. Pujian seharusnya diberikan kepada para penari dan terutamanya kepada guru pembimbing, iaitu Cikgu Doris, Cikgu Damasus dan Cikgu Atiqah yang telah bertungkus-lumus melatih pelajar dalam jangka masa yang begitu suntuk.




Tirai ucapan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMKBA, En. Lau Siah Teck, diikuti oleh ucapan daripada Guru Besar SKBA, En. Ambau ak Lawieh.

Pengetua SMKBA, En. Lau Siah Teck  

Guru Besar SKBA, En. Ambau ak Lawieh 

Seterusnya, YB Dato’ Sri Wong Soon Koh menyampaikan ucapan dan menyempurnakan upacara perasmian MK 2015. Dalam intipati ucapan Dato’ Sri, beliau amat menekankan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang mesti dikuasai oleh semua golongan rakyat Malaysia terutamanya para pelajar sejajar dengan perkembangan dunia global masa kini. Amat mengejutkan apabila ribuan graduan perubatan tidak mendapat peluang pekerjaan disebabkan gagal dalam English Proficiency Test.


YB Dato’ Sri Wong Soon Koh turut membuat kejutan dengan pemberian cek berjumlah RM5,000 masing-masing kepada SMKBA dan SKBA bagi tujuan penambahbaikan sekolah. Selain daripada itu, selaku ADUN Bawang Assan, Dato’ Sri turut peka terhadap keperluan prasarana di sekolah serta masyarakat setempat. Dengan itu, beliau berjanji untuk melaksanakan projek membaiki dan menaiktaraf jalan masuk ke SK dan SMK BA pada hujung tahun ini. Beliau juga akan membina bumbung di padang sekolah demi keselesaan pelajar menjalankan aktiviti ko-kurikulum.

Ucapan perasmian oleh YB Dato’ Sri diakhiri dengan pukulan gong sebanyak tiga kali serta penyerahan cek berjumlah RM5,000 kepada YDP PIBG.



Slot kedua majlis diteruskan dengan acara penyampaian sijil dan hadiah kepada murid-murid Tahun 6 SKBA, sijil pencapaian akademik terbaik setiap tingkatan, sijil pencapaian akademik terbaik dalam setiap mata pelajaran bagi setiap tingkatan, dan anugerah pencapaian akademik cemerlang dalam PT3 & SPM 2014.

Senarai penerima anugerah cemerlang PT3 2014:

1.   Mohd Hapis bin Yacub


2.   Michelle Menti ak Embark



Senarai penerima anugerah cemerlang SPM 2014:

1.   Yong Ing Kiet (aliran Sains)
2.   Yii Siew Hong (aliran Sains)
3.   Nurhidayah bt Abdullah (aliran Sains)
4.   Nomie ak Unting (aliran Sastera)

Majlis kemudiannya berhenti rehat seketika bagi memberi laluan kepada tayangan montaj yang menonjolkan pencapaian SMKBA dalam bidang akademik, HEM dan ko-kurikulum sepanjang tahun 2015.

Majlis tiba di kemuncak dengan slot ketiga penyampaian sijil dan hadiah, iaitu penyampaian anugerah cemerlang pelajar 2015 & anugerah khas Pengetua untuk staf SMKBA. Anugerah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Wong Soon Koh, manakala biodata penerima anugerah cemerlang pelajar disampaikan oleh PKKK, Cikgu Patrick Gerijeh; KB Votek, Cikgu Esmandi; PK HEM, Cikgu Jarit; dan PK1, Cikgu Jeffery. Ala-ala majlis anugerah bintang popular gitu……

Senarai penerima Anugerah Khas Pelajar Cemerlang:

Olahragawan 2015: Norly ak Paus


Pelajar Terbaik KK 2015: Mohd Hapis bin Yacub


Tokoh Asrama (L): Jacksen Melina ak Edward Roky


Tokoh Asrama (P): Phelimina Insuna ak Emang


Tokoh Kepimpinan (L): Jeffery Limbi ak Empaga


Tokoh Kepimpinan (P): Christina ak Simeon


Pelajar Harapan SPM 2015: Vanessa ak Kata


Anugerah Pelajar Contoh 2015 (Pelajar Terbaik Keseluruhan): Christina ak Simeon



Senarai penerima anugerah khas Pengetua:

1.  PK1, En. Jeffery ak Stephen Mikai
2.  PK HEM, En. Jarit ak Jugah
3.  PKKK, En. Patrick Gerijeh ak Dominic Belansai
4.  KB Bahasa, En. Damasus ak Julian Vincent Tellor
5.  KB Votek, En. Mohamad Esmandi bin Hapni
6.  Ketua Warden asrama, En. Willy ak Entan
7.  KP Kem. Hidup, En. Daniel Simon
8.  Guru Bestari, En. Su Hiap Soon
9.  KP BM, En. Giyong bin Nor Muhamad
10. Cik Rosmaliana bt Mohamad
11. Penyelia asrama, Pn. Noria ak Sibat
12. Juruteknik Komputer, En. Jon Meni ak Sapu

Setelah selesai upacara penyampaian sijil dan hadiah, Pengetua Lau menyampaikan cenderamata kepada YB Wong Soon Koh berupa gambar kenangan semasa beliau menghadiri MK di SMKBA pada kali ini.


Tirai majlis dilabuhkan dengan persembahan tarian ngajat oleh murid-murid SKBA.



TAHNIAH & SYABAS diucapkan kepada seluruh warga SMKBA yang telah merealisasikan Majlis Kecemerlangan 2015 dengan jayanya.


Sekalung penghargaan & jutaan terima kasih diucapkan kepada:

Penaung utama, Pengetua Lau Siah Teck
Guru Besar SKBA, En. Ambau ak Lawieh
Barisan AJK Protokol, iaitu barisan Pen. Kanan
Penyelaras, Cikgu Damasus
Pen. Penyelaras, Cikgu Sembi
Setiausaha, Cikgu Nurul
Pengemudi majlis, Cikgu Rosmaliana (SMKBA) & Cikgu Mohd Izham (SKBA)
Guru-guru persembahan, Cikgu Doris & Cikgu Atiqah
AJK Sambutan & Keselamatan, Cikgu Madya bersama Lembaga Pengawas & Kadet Polis
Penyediaan montaj, Cikgu Norhidayah
Penyediaan sijil, hadiah, rosette & cenderamata: Cikgu Yii & rakan-rakan
Barisan AJK majlis
Semua guru & staf SMKBA
Guru-guru SK Bawang Assan
...........dan semua pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 




Untuk full album, sila klik DI SINI


p/s: saya gembira tahun ini sebab tak perlu lagi jadi MC, jadi boleh berjalan-jalan ke sana sini bersama kamera merah saya. kalau jadi MC kena duduk statik je. hehe.......... 

Malam Apresiasi Staf SMKBA 2015

$
0
0
Setelah seharian berpenat lelah mengendalikan Majlis Kecemerlangan Pelajar pada 19 November yang lalu, malamnya kami (semua guru & staf) diraikan dalam satu majlis makan malam tahunan (annual dinner) yang bertempat di Hotel Kingwood, Sibu.

Sebenarnya, sudah agak lama juga kami tiada annual dinner, mujur tahun ini Pengetua Lau mengetengahkan inisiatif bagi meraikan kami semua dalam satu majlis makan malam. Majlis tersebut dinamakan Malam Apresiasi Staf sebagai menghargai sumbangan semua guru & staf di SMKBA sepanjang tahun ini. Yalah, apa salahnya jika sesekali mahu berkumpul beramai-ramai dan meraikan diri sendiri atas segala usaha.


Majlis bermula sekitar jam 7.00 malam. Seperti biasa, saya diminta untuk mengacarakan majlis. Tiada teks, tiada tentatif rasmi, hanya spontan sahaja. Lagipun majlis dijalankan secara santai. Saya pun apa lagi, main ‘tembak’ sajalah masa bercakap. Haha…..

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Tuan Pengetua, En. Lau Siah Teck. Kemudian, menu dihidangkan, juadah menjadi santapan dengan diselang selikan persembahan daripada beberapa guru yang menyumbangkan suara menghiburkan para hadirin. Banyak juga bakat-bakat terpendam di bawang assan ni rupanya ya……..

Antara mereka yang menjadi ‘artis jemputan’ pada malam tersebut:

Cikgu Patrick penuh penghayatan  




Semasa Malam Apresiasi ini juga kami meraikan salah seorang pembantu makmal, iaitu En. Patrick Ambas yang akan berpindah ke sekolah lain bermula sesi persekolahan 2016.


Selain itu, ada juga acara cabutan bertuah di mana hadiahnya berupa hamper dan juga tupperware. Hadiah-hadiah tersebut merupakan sumbangan koperasi sekolah dan beberapa syarikat pengedar buku tempatan. Nama saja cabutan bertuah, tapi semua guru dan staf dapat. Cabutan dibuat hanya untuk tentukan siapa yang dapat sebab jenis-jenis hamper adalah berbeza. Jadi, dapatlah juga saya merasa dapat hamper. Kalau betul-betul cabutan bertuah memang takda maknanya lah nak pegang hamper sebab nombor saya antara yang terakhir dicabut. Selama ini pun memang selalu tak ada rezeki dapat cabutan bertuah. Huhu…..  

Kemuncak acara majlis adalah pengumuman “King & Queen of the Night”. Sememangnya sudah dijangka, gelaran “King of the Night” menjadi milik En. Lahan bin Suhaili yang tidak pernah gagal mencuri perhatian setiap kali menghadiri mana-mana majlis. Manakala gelaran “Queen of the Night” pula dimahkotakan buat Cikgu Rosmaliana. *clap*clap*.



Wajah-wajah warga SMK Bawang Assan: 

with Principal, Mr. Lau and his lovely wife 

with PK1, Mr. Jeffery and his pretty daughter  

one happy family. PK HEM, Mr.  Jarit 









Transformasi Sekolah ke arah Kecemerlangan: Bermula dari 3 Perkara Asas

$
0
0
Kini, lebih 2 bulan telah berlalu sejak Pengetua yang baharu mula berkhidmat di sekolah kami. Pengetua baharu kami, En. Lau Siah Teck merupakan bekas PK1 dari SMK St. Anthony, Sarikei (sekolah ke-8 terbaik di negeri Sarawak).


Sejak hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi di SMKBA Sibu, telah banyak perubahan yang dilakukan, terutamanya dari segi prasarana sekolah. Makmal Sains yang dulunya serba kekurangan telah mendapat projektor LCD yang baharu, tandas pelajar dibaiki dan dibaikpulih, papan notis dibersihkan, blok asrama dicat baharu, hampir semua koridor di sekolah telah dipasangkan lampu dan banyak lagi penambahbaikan yang telah dan sedang dijalankan.

Kehadiran Pengetua Lau membawa bersama visi dan misi yang jelas demi meningkatkan prestasi sekolah agar mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain yang lebih hebat. Impiannya adalah untuk mentransformasi SMKBA menjadi sebuah sekolah luar bandar yang cemerlang. Persoalannya, mampukah…..?

Sungguh….tugas ini tidak mudah. Ia menuntut komitmen yang padu daripada semua pihak di sekolah termasuklah pihak pengurusan, guru-guru, staf sokongan, para pekerja, pelajar-pelajar dan ibu bapa. Tetapi, impian ini tidak mustahil direalisasikan jika cita-cita yang dijunjung didokong oleh usaha yang menggunung. Jadi, mahu bermula dari mana?

Bermulalah dari perkara yang asas (back to basic). Ini kerana hanya asas yang kukuh mampu memacu jentera untuk terus bergerak ke hadapan dan supaya setiap apa yang dibina itu terus berdiri teguh.

Semasa perjumpaan pertama bersama barisan guru serta semasa perhimpunan pertama bersama para pelajar, beliau menegaskan 3 perkara:

1.  Kebersihan & keceriaan sekolah
2.  Akademik
3.  Disiplin


Kebersihan & Keceriaan Sekolah

Kebersihan dan keceriaan merupakan aspek yang sangat penting dalam memberikan keselesaan kepada pelajar semasa proses pembelajaran. Ia juga mampu memberikan motivasi kepada anak-anak murid untuk lebih rajin belajar dan lebih fokus semasa proses PdP berlangsung. Maka, Pengetua Lau amat menitikberatkan aspek kebersihan sekolah terutamanya di dalam kelas.

Sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk mengubah budaya setempat yang telah lama berakar umbi demi membentuk peribadi murid yang cintakan kebersihan dalam sekelip mata. Namun Alhamdulillah, dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Tuan Pengetua, maka perlahan-lahan sikap pelajar mula berubah ke arah yang lebih positif. Saya benar-benar berharap agar perubahan ini akan berterusan dan semakin mantap supaya motto Pengetua akan dapat direalisasikan, iaitu:
“ Vandalisme Sifar”.

Selaras dengan matlamat ini juga, kami telah mengadakan satu program gotong-royong perdana pada hari Sabtu, 31 Oktober baru-baru ini. Program ini melibatkan semua guru, staf sokongan dan semua pelajar untuk membersihkan dan membaikpulih kawasan sekitar sekolah melibatkan blok akademik, blok pentadbiran, makmal komputer, pusat sumber & perpustakaan, bilik BOSS dan juga blok asrama. Semua papan notis dibaiki, rel-rel langsir dipasang di kelas-kelas, dan semua meja pelajar dibalut dengan linoleum(tikar getah). Manakala guru-guru pula mengemaskan meja guru masing-masing kerana bilik guru akan disusun atur semula dan kami akan menerima meja guru yang baharu.

Golongan yang paling bertuah sudah tentulah pelajar-pelajar Tingkatan 5 kerana kelas-kelas yang menjadi bilik peperiksaan SPM telah dicat baharu, dipasang langsir baharu, semua kerusi baharu dan papan notis juga berwajah baharu dengan begitu cantik dan kemas. Semuanya adalah demi memastikan keselesaan pelajar-pelajar Tingkatan 5 berada pada tahap optimum semasa menduduki peperiksaan SPM.


(penambahbaikan yang lain akan disenaraikan dalam entri seterusnya)


Akademik

Sekolah merupakan institusi pendidikan. Tempat ilmu ditimba dan dikuasai. Sudah tentulah kecemerlangan akademik menjadi salah satu kayu ukur kejayaan sesebuah sekolah. Hakikatnya, penguasaan akademik bagi pelajar-pelajar di sesebuah sekolah adalah tidak sama. Begitu juga jika dibandingkan sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain.

Pokok pangkalnya, penyampaian ilmu mestilah disesuaikan dengan tahap penerimaan pelajar di sesebuah sekolah. Mungkin ada sesetengah pendekatan tidak sesuai dilaksanakan kerana tahapnya terlalu tinggi untuk dicapai oleh pelajar. Bimbang nanti apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Atas dasar itu, Tuan Pengetua telah menyeru seluruh warga sekolah untuk mengubahsuai susunan meja dalam bilik darjah. Tiada lagi susunan kelas abad ke-21, semuanya back to traditional seating supaya pelajar lebih fokus pada pengajaran guru di hadapan, terutamanya semasa guru menggunakan kaedah direct teaching method.

sebelum: susunan meja mengikut contoh susun atur bilik darjah abad ke-21 

selepas: susunan meja semua pelajar menghadap ke hadapan 

Bukan tidak mahu maju ke hadapan, tetapi disiplin pelajar semasa PdP perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Ada ketikanya peribahasa Melayu, “biar lambat asal selamat” masih relevan untuk digunakan dalam sesetengah situasi. Walau bagaimanapun, kami tetap mengimplementasikan peta pemikirani-think dan elemen-elemen KBAT semasa proses PdP. Selain itu, penglibatan pelajar secara aktif dalam kelas tetap diutamakan. Cuma untuk menuju ke arah konsep pembelajaran abad ke-21 memerlukan masa dan perlu dibuat secara beransur-ansur agar pelajar tidak mengalami kejutan budaya.


Disiplin

Secara peribadi, saya merasakan bahawa aspek disiplin merupakan aspek yang paling penting demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam sesuatu perkara, terutamanya dalam bidang pendidikan. Mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikan saya yang telah dibiasakan dengan disiplin yang tegas membuatkan saya sentiasa percaya bahawa untuk berjaya dengan cemerlang kita mesti mempunyai disiplin kendiri yang mantap.

Kami agak bernasib baik kerana secara keseluruhannya disiplin pelajar-pelajar di sini masih berada pada tahap yang terkawal. Cuma, ianya perlu dimantapkan lagi, antaranya aspek kebersihan & kekemasan diri, punctuality, vandalisme, disiplin dalam bilik darjah serta beberapa lagi isu yang masih perlu ditangani.

Sebagai contoh, bagi mengatasi masalah merokok dalam kalangan pelajar di sekolah (biasanya di dalam tandas), Pengetua telah mengarahkan seorang pak guard untuk memeriksa setiap pelajar lelaki yang ingin masuk ke dalam tandas. Pelajar-pelajar juga dikehendaki untuk menulis nama sebelum masuk ke dalam tandas sebagai rekod bagi mengatasi kegiatan vandalisme di dalam tandas. Kedengaran seperti agak menyeksakan, tetapi alhamdulillah kesan positifnya telah dapat dilihat dalam masa yang agak singkat.

Apabila Pengetua sendiri yang mengambil tindakan dalam mengawal disiplin pelajar, maka pelajar-pelajar menjadi lebih ‘mendengar kata’. Secara tidak langsung, para pelajar juga lebih hormat pada guru-guru.


Secara keseluruhannya, saya melihat banyak perubahan positif yang telah dapat diperhatikan dalam masa dua bulan ini. Banyak perkara dapat diteladani hasil kepimpinan Pengetua Lau. Tetapi, ini bukan bermakna setiap apa yang kami lakukan merupakan sesuatu yang sempurna kerana kesempurnaan hanya milik DIA. Nilainya terletak pada usaha yang disemai dan keringat yang membasahi.

Besar harapan kami warga SMKBA untuk merealisasikan impian menuju kecemerlangan. 3 perkara ini cuma baru permulaan. Sudah tentu lebih banyak lagi yang akan tersenarai pada tahun hadapan.

Kerja keras semestinya menanti.
Pengorbanan masa & tenaga, itu sudah pasti.

Ibarat kata pepatah Melayu, 
“ Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Seperti kata pepatah Inggeris, 
“ There’s no elevator to success, you have to take the stairs”

Semoga kami akan terus kuat menempuhi……….



p/s: untuk senarai program / penambahbaikan / penaiktarafan yang telah dilaksanakan setakat ini, nantikan entri seterusnya. 

35 Transformasi SMKBA dalam masa 2 Bulan

$
0
0
Sejak kehadiran Pengetua Lau, beberapa perubahan, aktiviti dan program dilaksanakan secara aktif selaras dengan visi Pengetua untuk mentransformasi SMKBA ke arah sebuah sekolah luar bandar yang cemerlang. Transformasi yang dijalankan meliputi segenap aspek dari segi akademik, disiplin dan prasarana sekolah.


Antaraprogram-program akademik yang telah dilaksanakan dalam masa 2 bulan ini ialah:

1. Pecutan akhir PT3 dan SPM – melibatkan kelas petang dan kelas malam


2. Prep pada waktu malam untuk pelajar-pelajar asrama
3. Kelas ekspres pagi untuk m/p kritikal Matematik & Bahasa Inggeris
Dijalankan dari jam 6.30 – 6.50 pagi
4. Kuiz Matematik & Bahasa Inggeris (diselang seli antara Isnin – Jumaat)
5. Hari Matematik (dirancang tidak sampai seminggu)



Antara prasarana baharu, penambahbaikan & penaiktarafan yang telah dilaksanakan setakat ini:

1. LCD baharu di kedua-dua Makmal Sains


2. Penaiktarafan meja guru di Makmal Sains
3. Meja makmal sains dicat baharu


4. Pembaikian & penambahbaikan tandas pelajar



5. Bangunan asrama dicat baharu


6. Koperasi sekolah yang baharu


7. Bilik kelas 5 Sains & 4 Sains
8. Penaiktarafan perpustakaan & Pusat Sumber Sekolah
(photo credited to cikgu dara william) 

9. Pembesaran tempat meletakkan motosikal pelajar


10. Pembesaran laluan ke gelanggang bola tampar (sebagai tempat parking kereta tambahan)
11. Pembaikan pintu rumah flat guru  
12. Pemasangan lampu-lampu di sepanjang koridor di blok pentadbiran, blok akademik, makmal & bengkel.


13. Penyediaan bilik peperiksaan SPM yang lebih baik & selesa: kerusi plastik baharu, linoleum meja baharu & seragam, langsir baharu


14. Linoleum & kain papan notis yang baharu dan SERAGAM untuk SEMUA bilik darjah 


15. Penstrukturan semula bilik guru – kedudukan & tempat untuk semua guru (mengikut panitia)
16. Meja guru baharu (lepas ni tak boleh lagi ada barang atas meja guru yang melepasi paras kepala semasa duduk)


17. Penyediaan papan notis di blok akademik bagi tujuan program Kuiz Matematik & Bahasa Inggeris (diadakan secara mingguan) 


18. Penaiktarafan papan notis bidang / panitia


19. Makmal komputer dicat baharu


20. Sinki pelajar di bangunan akademik (pelajar tidak perlu kerap ke tandas semasa pdp)


21. Penaiktarafan Bilik Gerakan Warden
22. Penambahbaikan Dewan Sri Bawang - dicat semula & dipasang LCD baharu


Manakala antara penambahbaikan dan penaiktarafan yang dirancang dan akan diteruskan semasa cuti sekolah hujung tahun ini / awal tahun hadapan:
1. Proses mengecat kelas (semua seragam warna putih)



2. Pemasangan lampu spotlight 


3. Pembinaan tempat menunggu pelajar

(Pengetua sendiri turun padang) 

4. Penaiktarafan surau
5. Proses mengecat bangunan asrama perempuan


Perubahan-perubahan lain yang telah dijalankan:
1. Perhimpunan hanya diadakan pada hari Isnin sahaja (berbanding sebelum ini diadakan pada setiap pagi). Hari Selasa-Jumaat, pelajar-pelajar menyanyikan lagu & bacaan doa di dalam kelas sahaja dengan kehadiran guru tingkatan (pada waktu pagi) atau guru m/p (sebelum pulang)
2. Penubuhan AJK Siaraya – bertugas pada waktu pagi, semasa rehat & sebelum pulang
3. Penubuhan Skuad Pembaikan Sekolah  


p/s: tahun 2016 pastinya bakal menyaksikan proses transformasi yang lebih giat. excited plus nervous! 

BRUNEI: Negara yang Kaya Budi, Tinggi Pekerti

$
0
0
Saya melawat Brunei pada bulan April tahun lepas. Suatu perjalanan yang pada awalnya tidak dirancang. Keputusan dibuat pada saat-saat akhir untuk mengikut seorang rakan & keluarganya berjalan-jalan ke Brunei. Lagipun kami di Sarawak cuti 4 hari (Jumaat: Good Friday, Isnin: Easter Monday). Kami konvoi beberapa buah kereta. Saya berdua bersama Cikgu Zila. Memandangkan ini merupakan kali pertama kami berdua akan ke luar negara & keputusan pula dibuat pada saat akhir, maka sebaik tamat sahaja sesi persekolahan pada hari Khamis kami terus bergegas ke Jabatan Pendaftaran bagi tujuan membuat passport. Nasib baiklah sekarang ni passport boleh siap dalam masa 1 jam. Staf-stafnya pula semua mesra alam menyebabkan semua urusan dapat berjalan dengan lancar.

Selesai urusan membuat passport, kami bergegas pula ke tempat pertukaran mata wang asing. Perlu tukar duit siap-siap sebab sebaik sahaja masuk sempadan Brunei, terus akan ada plaza tol & perlu dibayar dengan menggunakan mata wang mereka. Hanya ada satu sahaja di Sibu. Itupun agak terpencil, sesat jugalah sekejap. Pada masa itu 1 dolar Brunei = RM 2.65 (sama mahal dengan dolar Singapura). Kami hanya mampu berhuhuhu sajalah…..

Perjalanan dimulakan pada petang Khamis tersebut, malamnya kami bermalam di Bintulu. Keesokan harinya kami bergerak pula ke Miri, pada pagi Sabtu baru kami memulakan perjalanan masuk ke Brunei. Masa perjalanan: Sibu-Bintulu (3 jam), Bintulu-Miri (3 jam), Miri-Brunei (3 jam). Sesiapa kalau nak pegi luar negara ikut jalan darat guna kenderaan sendiri, pastikan semua dokumen ada terutamanya passport (border pass tak main yer..), roadtax ok, geran kereta bawak, dan jangan lupa bawak pen. Senang, sebab ada borang-borang yang perlu diisi. Yang paling penting kalau nak masuk Brunei, sila pastikan kereta tidak ber-tinted ye… kalau tak sesia je kena koyak dengan pegawai imigresen.

antara landmark yang terdapat di Bandar Seri Begawan 

Sebaik sahaja merentasi sempadan, maka bermulalah pengembaraan kami di Brunei. Kekaguman saya terus bermula sebaik sahaja saya memasuki highway di negara Brunei. Antara pengalaman mengagumkan saya di negara yang kaya raya ni adalah:

Disiplin pemanduan yang sangat hebat

Orang-orang Brunei ni hampir semuanya bawak kereta macam kilat semasa di highway. Kami yang bawak 120 km/j ni pun rasa macam perlahan jika dibandingkan dengan mereka, agaknya mereka ni bawak 140 km/j ke atas. Maklumlah, kami ni guna Perodua je, orang-orang Brunei guna kereta import dari Barat atau Jepun/Korea. Tak nampak pun bayang orang Brunei bawak kereta import dari Malaysia.

Yang kagumnya, diorang ni walaupun bawak 200 km/j sekalipun tetapi tetapikut peraturan jalan raya. Sepanjang masa dok di lorong kiri, mereka hanya akan bergerak ke lorong kanan apabila semasa hendak memotong sahaja. Habis memotong, masuk balik lorong kiri. Jadi, kalau kita bawak kereta di lorong kanan, mesti akan rasa malu sangat sebab kereta kita je dok kat lorong tu. Tambahan pula, setiap kali nak tukar lorong, mereka mesti akan bagi lampu signal. Agak-agaknya, kalau nak dibandingkan dengan cara orang Malaysia bawak kereta macam mana ya…..? *uhuk* *uhuk*

Keluar dari highway, kami masuk kawasan bandar, tapi belum sampai Bandar Seri Begawan lagi. Tiba-tiba sahaja kami terpaksa menempuh traffic jam. Pelik betul. Rupa-rupanya, traffic jamsebab budak-budak sekolah baru balik. Sesak dengan kereta ibu bapa yang ambil anak-anak. Baru kami tahu rupa-rupanya di Brunei, sekolah bercuti pada hari Jumaat dan Ahad, hari Sabtu mereka bersekolah. Laaa…….. kami ni sengaja datang hari Sabtu sebab ingatkan hari cuti di Brunei.

Tetapi jangan risau jika menempuh traffic jam di Brunei, sebab anda tidak akan dengar bunyi hon dan tiada kereta menyelit masuk sesuka hati. Ini menunjukkan orang Brunei sangat penyabar semasa memandu. Jika mereka mahu menyelit masuk, mereka akan bagi signal, kemudian angkat tangan dahulu kepada kereta belakang sebagai tanda minta izin & terima kasih. Masa tu jugak ada kemalangan jalan raya. Aduhaiii…….. lagilah sesak jadinya. Tapi yang anehnya trafik tetap berjalan agak lancar. Tidaklah terperangkap dalam jem selama berjam-jam macam di tempat kita.

Part yang paling best ialah masa nak melintas jalan. Bayangkan anda sedang ingin melintas di sebatang jalan raya yang agak lapang. Ada sebuah kereta sedang menuju ke arah anda. Sudah tentulah kita tunggu kereta tu jalan dulu, baru kita melintas kan. Tapi, tetiba kereta tu berhenti dan bagi anda melintas dulu walaupun di situ tiada tanda zebra crossing. Sanggup berhenti okayyy walaupun tengah bawak laju. Bukan sekali, tapi setiap kali nak lintas jalan macam tu. Terharu sangat, macam mau nanges. Huhu……..

Secara keseluruhannya, inilah pengalaman pemanduan yang paaaaling best dalam seumur hidup saya. Memang langsung tidak berasa stress memandu dalam kesesakan di Brunei disebabkan oleh disiplin & adab mereka di jalan raya. Mudah memberi laluan kepada orang lain & tidak mementingkan diri (eh…kereta) sendiri.


Kecil, tetapi agak sistematik

Negara Brunei ni kecik je, mungkin sebesar Perlis saja kot…. (ada ‘kot’ sebab saya belum sampai Perlis). Jadi, tempat parking nya agak terhad. Tapi mereka menggunakan sepenuhnya ruang yang ada di tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat parking. Tepi jalan pun boleh, tapi mesti pastikan ada petak parking. Kalau tak sesia je kena saman, kena bayar guna duit Brunei pulak tu, maunya tak nangis. Satu lagi disiplin orang Brunei merekatak parkingkereta merata-rata. Agak susah jugak kami cari parking hari tu, tapi nasib baik polis penjaga parking sangat membantu. *senyum*


Pengiktirafan bahasa melayu & tulisan jawi

Sama seperti Malaysia, Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara Brunei. Bezanya, mereka memang betul-betul mengiktiraf kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan di mana-mana sahaja. Papan-papan tanda di sana semuanya menggunakan Bahasa Melayu & turut ditulis dalam tulisan jawi. Papan-papan iklan yang mempromosikan BM juga banyak.


Sangat mementingkan kebersihan

Kami singgah solat jamak Zohor & Asar di Masjid Sultan Omar AliSaifuddin. Jika datang ke negara Brunei, tidak sah jika tidak singgah di masjid yang cukup terkenal dengan jolokan Masjid Kubah Emas ini. Jolokan itu diberikan sempena dengan kubahnya yang dilapisi dengan emas tulen. Sangat kaya kan negara Brunei ni. Kekaguman saya bukan hanya setakat kubah emas itu sahaja, tetapi juga pada jemaah yang tidak putus-putus mengunjungi masjid untuk mendirikan solat. Bukan hanya sekadar menjadi tempat persinggahan pelancong. Sangat jauh beza perasaannya dengan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Terengganu.


Keindahan dan kemewahan masjid ini terpancar dari luaran dan juga ruang dalaman masjid. Namun, pengunjung dilarang untuk mengambil foto di dalam masjid. Ruang mengambil wuduknya sangat selesa dan bersih. Begitu juga dengan kain telekung yang disediakan. Ruang solat wanita agak sempit sedikit, tetapi masih selesa dan sejuk dengan air-cond. Saya cukup kagum dengan kebersihan masjid yang cukup terjaga. Walau hanya ada setitik darah di lantai karpet masjid, terus pekerjanya datang membersihkan. (kebetulan masa itu ada seorang kanak-kanak luka kakinya, jadi darahnya menitik atas karpet masjid secara tidak sengaja).


Di bahagian belakang masjid, terdapat sebuah replika berbentuk kapal yang dibina di atas tasik dan dihubungkan dengan masjid oleh jambatan. Dikatakan bahawa replika ini dibina sebagai memperingati 1400 tahun Al-Quran diturunkan ke dunia (Nuzul al-Quran). 



Kampong Ayer – Perkampungan air terbesar di dunia!

Sedang berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan, kami didekati seseorang yang mempromosikan pakej lawatan ke Kampong Ayer. Tertarik dengan tawaran tersebut, kami menerimanya untuk merasai pengalaman menyusuri Sungai Brunei dan melihat sendiri kehidupan masyarakat Brunei di atas air. Tambahan pula, saya ini memang suka naik bot laju (speed boat) walaupun tak pandai bawak sendiri. Hehe…….

menelusuri Sungai Brunei yang jernih bersama pemandangan sekeliling yang menyejukkan mata 

Kampong Ayer ni merupakan gabungan 42 buah kampung dan merupakan perkampungan atas air yang terbesar di dunia. Mendapat jolokan “Venice Timur” (Venice of the East). Sambil menikmati pemandangan yang menenangkan jiwa di sepanjang sungai, kami mendengar cerita pemandu bot tentang sejarah Kampong Ayer, budaya masyarakat di situ serta beberapa trademark negara Brunei yang dapat dilihat di seberang sungai. Termasuk juga sebuah legenda tentang anak derhaka yang disumpah menjadi batu oleh ibunya (seperti cerita Si Tanggang). Batu tersebut ada di sungai tersebut. Tak tahulah pula sejauh mana kebenarannya.

batu "Si Tanggang" 

Perkampungan air sama sahaja seperti mana-mana kampung di daratan. Kebanyakan rumah sudah moden, diperbuat daripada konkrit. Ada semua kemudahan asas (bekalan air & elektrik), sekolah, masjid, stesen minyak dsb. Cuma bezanya SEMUA itu terletak di atas air. Jadi, hampir semua rumah memang mempunyai bot sendiri sebagai pengangkutan utama. Budak 8 tahun pun dah pandai bawak bot. Best kan…. Tapi yang paling best dan paling membuatkan saya kagum adalah, persekitaran Kampong Ayer adalah sangat sangat sangat bersih. Tiada satu pun sampah yang saya lihat dibuang ke dalam sungai di bawah rumah. Sungai Brunei juga sangat jernih. 

deretan rumah di Kampong Ayer  

persekitaran rumah yang bersih & cantik. 

masjid terapung di Kampong Ayer  

galeri ala muzium, salah satu tempat yang disinggah, tetapi dilarang mengambil foto di dalamnya 

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang Kampong Ayer ni, boleh baca DISINI.  


Selain pengalaman-pengalaman yang mengagumkan, terdapat juga beberapa pengalaman lucu yang tidak dapat dilupakan:


Sesat

Satu kekurangan di Brunei ialah papan tanda yang sangat kurang. Jadi, kalau tidak biasa dengan jalan-jalan di Brunei memang akan mudah sesat. Kami sesat berjam-jam jugalah semasa nak mencari pusat cenderamata. Brunei tak macam Malaysia yang ada banyak kedai cenderamata. Akhirnya, berjaya juga jumpa setelah banyak kali berhenti & bertanya kepada orang ramai, tapi dah lupa nama tempatnya. Walau apa pun, tak boleh shopping sakan sebab tak banyak duit Brunei yang dibawa. Jimat punya pasal……. Jika masuk shopping complex lagilah tak boleh shopping. Mahal weiii barang-barang Brunei…. Shopping complexpun mewah kemain.


Peristiwa lucu di bulatan (roundabout)

Pernah satu ketika saya tiba di satu simpang empat, berhenti untuk ke simpang sebelah kanan. Dalam hati pelik juga kenapa tiada lampu isyarat. Lagi pelik bila tengok kereta tidak dipandu lurus, tetapi agak bengkok. Beberapa lama kemudian baru saya faham rupa-rupanya itu bukan simpang empat, tapi roundabout. Ada seketul batu sederhana besar yang diletakkan di tengah-tengah sebagai tanda. Alahaiii……….saya hanya mampu gelak jelah dengan member sebelah. Nasib baik tiada kereta belakang yang hon pada saya. Mungkin mereka faham apabila melihat plat kereta Q dari Sarawak. Maklumlah Brunei ni negara tak besar, jadi dia punya bulatan pun kecik je, berbanding dengan Sarawak yang punya roundabout besar dinosaur. Keh….keh….keh…..

***************************************************************

Sesungguhnya pengalaman seketika di negara Brunei meninggalkan pengalaman yang cukup berharga bagi saya. Selama ini, saya cukup mengagumi negara Jepun yang cukup terkenal dengan teknologi-teknologi moden yang hebat, di samping tahap disiplin dan kebersihan yang cukup tinggi. Rupa-rupanya kita punya jiran terdekat yang juga hebat disiplin dan kebersihannya. Ditambah pula dengan keramahan & adab sopan orang-orang Brunei. Rasa macam nak pergi lagi sekali. Hari tu tak puas sebab banyak tempat yang tak sempat dikunjungi dek hambatan masa.

Ketenangan yang dirasai sepanjang berada di Brunei juga mungkin hasil kredibiliti pemerintahan Sultannya yang berjaya mentarbiyah rakyat yang berada di bawah kepimpinannya. Ditambah pula dengan hukum hudud yang mula dilaksanakan sebagai asas perundangan negara. Sememangnya Brunei merupakan sebuah negara yang wajar dikagumi & dicontohi!



p/s: lepas ni kalau nak pergi, rasanya better ambik pemandu pelancong, pergi sana naik ‘belon’. Tak perlu lagi letih memandu dari Sibu, tak payah dah sesat barat di jalan raya, dan tak perlu lagi terpinga-pinga di bulatan yang ‘comel’. Hehehe……. 

Menggapai Awan di Puncak KLCC

$
0
0
Salah satu bangunan ikonik di Malaysia sudah tentunya Menara Berkembar Petronasyang merupakan menara berkembar tertinggi di dunia. Dengan ketinggian 451.9 meter, ia pernah memegang gelaran bangunan tertinggi di dunia. Salah satu keunikannya terletak pada jambatan gantung (skybridge) yang terletak di tengah-tengah bangunan yang menghubungkan 2 menara.

sisi menara berkembar berbentuk huruf 'M' yang mewakili 'Malaysia'

Saya telah berpeluang untuk merasai pengalaman berada di skybridge Menara Berkembar Petronas dan ke tingkat tertinggi menara tersebut melalui pakej lawatan Petronas Twin Towers Visit. Memandangkan Menara Berkembar Petronas (MBP) menempatkan pejabat-pejabat, jadi tak bolehlah kita sesuka hati saja nak naik ke skybridge tu, kenalah ikut pakej yang disediakan. Bilangan pelawat pula dihadkan kepada 500 orang sahaja (jika tak silap) dalam satu hari yang dibahagikan kepada beberapa trip dari pagi sehingga tengah hari. 

Semasa lawatan, kita akan diiringi 1-2 orang tour guide yang akan memberikan penerangan sepanjang lawatan termasuklah sejarah pembinaan MBP, strukturnya, galeri pameran dan macam-macam lagi. Penerangan diberikan dalam dwibahasa.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, kami tiba di skybridge yang terletak di tingkat 41. Jambatan ni sebenarnya ada dua tingkat. Jambatan yang terletak di tingkat 42 hanya digunakan oleh para staf di situ sahaja. Kami diingatkan bahawa kami mungkin akan berasa sedikit pening jika ada angin kencang kerana jambatan tersebut akan “slide” sedikit. Tujuannya adalah bagi mengelakkan jambatan runtuh. Tapi, nasib baiklah masa tu angin tak kuat. Pheww…..

skybridge @ Petronas Twin Towers with length 58.4m. di hujungnya terdapat satu ruang untuk"sliding"

tidak ramai pelawat yang dibenarkan naik ke skybridge pada satu-satu masa

Kami diberikan masa lebih kurang 15 minit untuk berjalan-jalan dan menikmati pemandangan udara dari skybridge. 
pemandangan dari tingkat 41 menara petronas (170 meter dari bawah) 

Seterusnya, kami dibawa ke pelantar pemandangan (observation deck) di tingkat 86, iaitu tingkat tertinggi untuk dinaiki. (sebenarnya ada 2 tingkat lagi – tingkat 87 & 88 digunakan untuk pengurusan menara). Di sini, boleh lihat keseluruhan bandaraya Kuala Lumpur dari ketinggian 360 meter. Di sini juga terdapat galeri yang mempamerkan menara-menara pencakar langit di seluruh dunia, fakta-fakta berkaitan MBP, model-model menara dan pelbagai lagi informasi menarik. Masa ni bolehlah tengok puncak menara Petronas secara dekat puas-puas. Rasa macam boleh gapai dengan tangan, nak pegang je benda bulat kat atas tuu……..     

galeri di tingkat 86 

puncak menara sebelah 


Bagaimana menyertai Petronas Twin Towers Visit

Kaunter tiketnya terletak di tingkat bawah (ground level) MBP. Boleh juga ke sana melalui Suria KLCC, kemudian carilah papan tanda yang menunjukkan arah ke Concourse KLCC. Tak pun, tanya jelah mana-mana staf atau polis pengawal yang korang nampak. Senang citer.

Bagi yang merancang nak merasai pengalaman naik ke skybridge MBP, perlu diingatkan kena beratur awal-awal di kaunter tiket. Ini kerana mereka mengamalkan konsep “siapa cepat dia dapat” (first come first serve). Walaupun anda pegi kaunter jam 9.00 pagi sekalipun tapi jika ditakdirkan semua tiket sudah “sold out” maka jawabnya gigit jari ajelah. Terutamanya jika pelancong asing ramai pada hari tu. Tiada sebarang kuota istimewa diberikan walaupun anda warganegara Malaysia. Kita cuma akan diberikan diskaun harga tiket sahaja dengan syarat mengemukakan MyKad. Harga tiket lebih kurang dalam RM 20++ untuk seorang dewasa & RM12 untuk kanak-kanak. 

Saya sendiri perlu pergi dua kali baru dapat beli tiket. Mula-mula pergi tu tiket sudah sold-out, (sebab sebelum tu pegi petrosains dulu berjam-jam) maka terpaksalah datang balik keesokannya. Punyalah gigih, jam 8.30 pagi dah terpacak depan kaunter tiket. Haha……Masa beli tiket, kita boleh pilih kita nak trip pada pukul berapa. Satu trip ada lebih kurang 20-30 orang. Bersesak-sesak lah kejap dalam lif nya. Kalau diapit pelancong-pelancong asing yang tinggi melangit, nasib kaulah…..

Apa-apa pun, pengalaman ini sememangnya suatu pengalaman yang cukup berharga. Rasa bangga sekejap sebagai rakyat Malaysia. Walaupun harga tiket mungkin agak mahal, dengan masa lawatan yang tak sampai sejam, tetapi bagi saya ianya dikira berbaloi untuk pengalaman sekali seumur hidup. Lebih-lebih lagi sebagai cikgu, bila dapat first hand experience sebegini, dapat kongsikan dengan pelajar secara lebih terperinci tentang pembinaan & kestabilan sesebuah bangunan. Bolehlah cikgu ‘eksyen’ sket kann……. hehe….





p/s: thanx to my dear bff, Lynn yang menemani saya. ^_^ 

RPT Kimia & Sains 2016

$
0
0
Berikut merupakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bagi mata pelajaran Sains menengah rendah dan juga Sains Tulen (Kimia & Biologi) untuk tahun 2016. Semua RPT adalah dalam versi Bahasa Melayu.



Dalam RPT tersebut telah disertakan peta i-think yang berkaitan dan juga aktiviti-aktiviti tambahan yang berteraskan KBAT / HOTS.


Muat turun: 

RPT Sains Ting. 1 2016 

RPT Sains Ting. 2 2016  (kredit: cikgu Yii Hea Lang)

RPT Sains Ting. 3 2016  (kredit: cikgu Norhidayah)


RPT Sains Ting. 5 2016 ( kredit: cikgu Su Hiap Soon)


RPT Kimia Ting. 4 2016 

RPT Kimia Ting. 5 2016 

RPT Biologi Ting. 4 2016  (kredit: cikgu Yii Hea Lang)

RPT Biologi Ting. 5 2016 ( kredit: cikgu Su Hiap Soon)


Cover RPT 



Eksperimen Kadar Tindak Balas Menggunakan Panadol Soluble

$
0
0
Kadar tindak balas dipengaruhi oleh 5 faktor:

i) Saiz bahan tindak balas
ii) Kepekatan bahan tindak balas
iii) Suhu bahan tindak balas
iv) Kehadiran mangkin
v) Tekanan

Walaupun dalam sukatan pelajaran Kimia disenaraikan 5 faktor, namun yang dibincangkan secara terperinci hanya 4 faktor sahaja. Jadi, terdapat 4 eksperimen yang dijalankan bagi mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas. 

Saya menggabungkan 3 faktor untuk dibincangkan dalam satu sesi PdP (2 waktu). Faktor saizdijadikan sebagai set induksi, di mana saya menggunakan panadol soluble yang dilarutkan dalam air.
Dua lagi faktor, iaitu faktor kepekatan bahan & suhu bahan tindak balas dijalankan eksperimen oleh pelajar-pelajar saya. Dua eksperimen ini boleh dijalankan serentak memandangkan kedua-duanya menggunakan bahan tindak balas yang sama.

Kronologi langkah yang saya jalankan:

(A) Set induksi

1. Sediakan dua buah bikar berisi air & dua biji panadol soluble
2. Minta pelajar patah-patahkan sebiji panadol soluble sehingga menjadi ketulan-ketulan kecil


3. Tanya pelajar apa perbezaan luas permukaan panadol soluble antara ketulan besar & ketulan kecil.
(ketulan kecil mempunyai luas permukaan yang lebih kecil bagi setiap ketulan, tetapi mempunyai Jumlah Luas Permukaan yang lebih besar berbanding sebiji ketulan besar panadol soluble)

4. Masukkan panadol soluble ke dalam 2 buah bikar berisi air. Perhatikan panadol soluble dalam bikar mana yang paling cepat larut dan berhenti bertindak balas.


5. Minta pelajar nyatakan pemerhatian.
(ketulan kecil panadol soluble lebih cepat larut & lebih cepat berhenti bertindak balas)

6. Pelajar membuat rumusan / kesimpulan:
Semakin kecil saiz bahan tindak balas, semakin besar jumlah luas permukaan bahan yang terdedah, semakin tinggi kadar tindak balas

7. Aplikasi dalam kehidupan seharian: memasak makanan yang bersaiz kecil lebih cepat berbanding makanan yang bersaiz besar. 


(B) Eksperimen berkumpulan

1. Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan. 2 kumpulan mengkaji faktor kepekatan bahan, manakala 2 kumpulan lagi mengkaji faktor suhu.
2. Guru menunjukkan demo eksperimen (menggunakan radas kosong) & menerangkan langkah berjaga-jaga semasa menjalankan eksperimen.
3. Pelajar menjalankan eksperimen (rujuk prosedur dalam Buku Teks Kimia Ting. 5 & hands-on)
4. Pelajar mencatatkan masa yang diambil untuk tanda 'X' tidak kelihatan 



(C) Melukis graf & pembentangan

1. Pelajar melukis graf kepekatan melawan 1/masa & suhu melawan 1/masa
2. Pelajar membentangkan data & graf kumpulan masing-masing sebagai perkongsian dengan kumpulan lain.
3. Semua graf yang dilukis menunjukkan graf garis lurus (berkadar langsung).


Langkah berjaga-jaga & peringatan kepada pelajar:

1. Terus mulakan jam randik sebaik sahaja asid dituangkan ke dalam kelalang kon berisi natrium tiosulfat kerana tindak balas terus berlaku.

2. Gunakan kelalang kon yang sama saiz kerana saiz yang berbeza mempengaruhi ketinggian mendakan yang terbentuk. Seterusnya, ia mempengaruhi masa yang diambil untuk tanda ‘X’ tidak kelihatan.

3. Pastikan mata berada pada aras meniskus cecair semasa mengukur isipadu natrium tiosulfat.


4. Gunakan penyepit / kain semasa memegang kelalang kon yang panas. Memegang radas yang panas boleh mendatangkan kemalangan.


5. Sebaik sahaja natrium tiosulfat mencapai suhu yang diingini, terus masukkan asid & mulakan jam randik.

6. Lihat tanda ‘X’ dari atas kelalang kon, bukan dari tepi.


7. Tutup kipas sepanjang eksperimen dijalankan bagi memastikan suhu sekeliling tidak mempengaruhi suhu bahan tindak balas.

8. Sebaik-baiknya eksperimen dijalankan dengan pantas kerana semakin lama masa diambil, kelalang kon yang digunakan menjadi semakin kabur disebabkan sisa sulfur yang melekat pada dinding kelalang kon. Menggunakan kelalang kon yang lain, tetapi sama saiz adalah lebih baik.


9. Jangan buang sisa bahan kimia ke dalam sinki. Buang sisa bahan kimia dalam bekas sisa bahan kimia yang disediakan oleh guru. 

10. JANGAN gunakan istilah tanda 'X'hilang, tetapi gunakan ayat "tanda 'X'hilang dari pandangan" ataupun "tanda 'X'tidak kelihatan"


**Rujukan lanjut: https://www.facebook.com/rajinder.pw/posts/10153915429201654

Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu 2016

$
0
0
Acara merentas desa merupakan suatu acara sukan yang bukan hanya bertujuan untuk melahirkan murid yang cergas dan aktif dalam bidang sukan, tetapi juga bagi memupuk nilai mencintai alam sekitar.  Kejohanan Merentas Desa bagi peringkat MSS Daerah Sibu tahun 2016 telah diadakan pada hari Sabtu, 23 Januari. SMK Bawang Assantelah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut setelah kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2014.


Kejohanan pada kali ini menyaksikan penyertaan yang amat menggalakkan dengan disertai oleh 21 buah sekolah (daripada 27 buah sekolah menengah di Sibu), termasuk sebuah sekolah dari Kanowit iaitu SMK Nanga Dap. Jumlah peserta bagi semua kategori pula mencecah 440 orang, iaitu sekali ganda daripada jumlah keseluruhan pelajar SMK Bawang Assan.

Para peserta bersama pengurus pasukan masing-masing mula tiba di pekarangan SMKBA seawal jam 6.45 pagi. Memandangkan sekolah agak kecil dengan kapasiti pelajar yang sedikit, tempat meletakkan kenderaan amat terhad dan sempit. Namun mujur dengan adanya bantuan daripada pengawal keselamatan dan juga anggota pasukan Kadet Polis, pergerakan menjadi agak lancar.


Setelah para peserta melaporkan diri di khemah pendaftaran, satu taklimat berkaitan laluan merentas desa disampaikan oleh Pegawai Teknikal kejohanan, Cikgu Willy. Tidak lama kemudian, para peserta mula bergerak ke tapak perhimpunan bagi memulakan acara.


Tepat jam 8.38 pagi, Tuan Pengetua SMKBA, En. Lau Siah Teck mengibarkan bendera kejohanan sebagai tanda perlepasan peserta. Kategori pertama yang dilepaskan ialah kategori Lelaki Junior (Bawah 15 tahun),kemudian diikuti oleh kategori Perempuan Senior (Bawah 18 tahun), Lelaki Senior, dan diakhiri dengan kategori Perempuan Junior.


Pada jam 9.45 pagi, wakil Pegawai PPD Sibu tiba di pekarangan sekolah dan disambut oleh Tuan Pengetua.


Cuaca pada sebelah pagi ternyata menyebelahi kami dengan suasana yang redup. Namun, sebaik sahaja majlis perasmian penutupan dimulakan, hujan turun dengan lebat menyebabkan majlis perasmian terpaksa ditangguhkan seketika. Sebaik sahaja hujan reda, tanpa melengahkan masa majlis diteruskan di tapak perhimpunan sebagaimana perancangan asal.

Ternyata SMK Sedaya menjadi bintang pada kejohanan kali ini kerana berjaya menggungguli kedua-dua kategori lelaki & perempuan di mana mereka merupakan Juara Keseluruhan bagi kategori Perempuan dan juga Naib Juara bagi kategori Lelaki Keseluruhan. Mereka turut menjuarai kategori Perempuan Senior dan juga Perempuan Junior.

Juara kategori Perempuan Keseluruhan, SMK Sedaya 

Kategori lelaki pula memperlihatkan penguasaan SMK Sacred Heart. Selaku juara kategori Lelaki Junior & Lelaki Senior, mereka berjaya membawa pulang piala Juara Keseluruhan bagi kategori Lelaki.

Juara kategori Lelaki Keseluruhan, SMK Sacred Heart 


SMK Bawang Assan turut tidak mengecewakan apabila mendapat tempat ke-3 bagi kategori Lelaki Junior. Kecil-kecil cili padi. Peserta sekolah kami merupakan antara peserta yang paling kecil fizikalnya jika dibandingkan dengan peserta-peserta dari sekolah lain. Walau apa pun, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun rezeki untuk menjadi juara kategori tidak berpihak kepada kami. 

SMK Bawang Assan - tempat ketiga Lelaki Junior 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pasukan yang telah menyertai Kejohanan Merentas Desa pada kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Adat bertanding, ada kalah dan ada menang. Adat menguruskan acara, ada kelemahan dan ada kesilapan. Apa yang penting, semangat kesukanan dapat terus kita pupuk demi melahirkan generasi yang lebih berdisiplin dan berdaya saing dalam segenap aspek.

Berakhir sudah kejohanan merentas desa,
SMK Bawang Assan melambai ceria,
Sukan membentuk semangat waja,
Rakyat sihat, negara sejahtera.

Warna – warni sepanjang kejohanan:




Peserta SMKBA warming-up 










Sekalung penghargaan & jutaan terima kasih kepada:

1. En. William Anut, wakil Pegawai PPD Sibu selaku perasmi kejohanan
2. En. Lau Siah Teck, Pengetua SMKBA selaku Penaung.
3. En. Patrick Gerijeh, PKKK SMKBA selaku Pengurus & Penyelaras Kejohanan
4. En. Chia Fuk Kien, Pengerusi Teknikal MSSD Sibu
5. Para jurulatih, pengurus-pengurus pasukan & guru-guru pengiring
6. Para peserta kejohanan
7. Para pengawas & semua pelajar SMKBA yang menjadi AJK Kejohanan

Dan terutamanya kepada seluruh warga SMK Bawang Assan, para guru dan staf, yang telah bertungkus lumus menzahirkan komitmen padu dari awal sehingga ke akhir demi menjayakan Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu tahun 2016. Tahniah dan terima kasih semua……!  
  
Muat turun teks MC DI SINI 

Aktiviti Membuat ‘Aiskrim Goyang’

$
0
0
Kebiasaannya, aiskrim dibekukan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku. Aktiviti kali ini menunjukkan aiskrim boleh disediakan & dibekukan dalam masa yang singkat tanpa perlu memasukkannya ke dalam peti sejuk. Caranya adalah dengan menyejukkannya di antara ketulan ais yang direndahkan takat bekunya.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 2 kotak susu segar (perisa terpulang pada individu)
2. ¼ tin susu pekat manis (nak guna gula pun boleh)
3. Plastik aiskrim
4. Ais secukupnya  
5. Garam kasar



Cara-caranya:

1. Campurkan susu segar dan susu pekat.


2. Masukkan campuran aiskrim ke dalam plastik aiskrim dan ikat dengan ketat


3. Letakkan ais dalam besen @ tong ais
4. Taburkan garam kasar ke dalam ais (untuk merendahkan takat beku)
5. Masukkan aiskrim ke dalam besen / tong ais, kemudian tutup


6. Goyangkan besen / tong ais sehingga aiskrim beku (antara 20-30 minit)



Tips:
*Jika ais mula mencair, keluarkan air tersebut.
*Saiz aiskrim yang lebih kecil menjadikannya lebih cepat membeku
*Tekstur aiskrim ini adalah lembut (kerana menggunakan susu). Jadi, ia tidak akan mengeras seperti ais batu.


Konsep:
> Berdasarkan Teori Kinetik Jirim, jirim terdiri daripada 3 keadaan, iaitu pepejal, cecair dan gas.
> Air tulen akan membeku pada takat bekunya, iaitu 0oC.
> Kehadiran bendasing (garam) akan merendahkan takat beku ais, iaitu antara -1 oC sehingga -6 oC
> Jadi, pada suhu 0oC, ais akan mencair kerana ia belum mencapai takat bekunya
> Semasa proses peleburan ini, ais / air menyerap haba daripada persekitaran (dalam kes ini, aiskrim kita). Aiskrim yang kehilangan tenaga haba pula akan membeku.
> Suhu ais yang mencair ini adalah lebih rendah daripada suhu ais biasa. 
> Suhu ais yang lebih rendah akan dapat membekukan cecair lain (aiskrim) dengan lebih mudah

(p/s: penerangan konsep adalah bergantung kepada m/p yang diajar, tahun / tingkatan yg diajar & tahap penerimaan murid. penerangan bagi m/p Kimia dan Fizik mungkin sedikit berbeza) 


Aktiviti ini sesuai digunakan untuk topik-topik berikut:

i) Kimia ting. 4, Bab 2 (Jirim di Sekeliling Kita), Subtopik 2.1: Menganalisis Jirim
ii) Sains ting. 1, Bab 7 (Haba), Subtopik 7.3: Menganalisis kesan haba ke atas jirim.
iii) Sains ting. 2, Bab 5 (Air dan Larutan), Subtopik 5.1: Menganalisa ciri fizikal air
iv) Sains Tahun 5, tajuk Keadaan Bahan


Bacaan Lanjut: 

https://stuffexplained.wordpress.com/2012/08/06/adding_salt_to_ice_in_a_cooler/
https://www.inverse.com/article/10544-if-salt-melts-snow-and-ice-why-is-it-essential-in-making-ice-cream


# Muat turun nota ini 


p/s: best rasa aiskrim ni sebab teksturnya lembut kerana menggunakan susu. tak perlu pun blend sepertimana kebanyakan resepi aiskrim lain. 

Pelan Strategik, Pelan Taktikal & Pelan Operasi (PS, PT, PO) Panitia Kimia 2016-2020

Contoh Laporan Program Peningkatan Akademik SPM (Kimia)

Membina Struktur Molekul & Isomer Sebatian Karbon Menggunakan Magnet

$
0
0
Bagi tajuk Sebatian Karbon peringkat SPM, terdapat lima siri homolog yang dipelajari, iaitu:

i) Alkana
ii) Alkena
iii) Alkohol
iv) Asid karboksilik
v) Ester

Setiap siri homolog mempunyai formula am/formula molekul dan kumpulan berfungsi yang berbeza. Nama bagi setiap sebatian karbon pula bergantung kepada formula struktur bagi molekul tersebut.

Sebatian karbon yang mempunyai formula molekul yang sama, tetapi formula struktur yang berbezadisebut sebagai ISOMER.

Ramai pelajar (terutama pelajar di sekolah saya) yang keliru dan sering cuai semasa menjawab soalan sebatian karbon terutamanya yang berkaitan dengan isomer. Antara kesukaran yang mereka hadapi ialah:
i) melukiskan & menamakan formula struktur sebatian karbon
ii) membayangkan pembentukan isomer
iii) melukiskan isomer-isomer yang terbentuk (dengan hanya diberikan formula molekul)
iv) mengenal pasti isomer yang sepadan dengan formula molekul

Bagi memudahkan kefahaman pelajar, saya menggunakan magnet semasa sesi PdP Sebatian Karbon.

Setiap magnet mewakili setiap atom yang terdapat dalam molekul sebatian karbon. Jenis atom yang berbeza diwakili oleh warna magnet yang berbeza, termasuklah kumpulan berfungsi masing-masing.


Contoh: 


# magnet merah jambu mewakili atom karbon, C
# magnet biru mewakili atom hidrogen, H
# magnet kuning mewakili kumpulan berfungsi bagi alkohol, iaitu kump. Hidroksil, -OH

Apabila mahu membina struktur molekul yang lain, hanya perlu tambah bilangan magnet sahaja. 


Untuk membina isomer pula, pelajar hanya perlu menggerakkan magnet-magnet tertentu ke tempat baru.
Biarkan mereka meneroka sendiri dengan cara berbincang sesama rakan.



Hasilnya:


Antara kesilapan yang sering pelajar lakukan ialah mengekalkan nama molekul induk yang asal di bahagian belakang. Jadi, perlu ingatkan pelajar walaupun formula struktur yang asal ialah butan-2-ol, tetapi apabila strukturnya berubah, nama bagi isomer yang terbentuk perlu mengikut rantai panjang yang baru.

Penggunaan magnet saya teruskan untuk sub-tajuk sifat kimia (melibatkan tindak balas) bagi setiap sebatian karbon. Pelajar jadi lebih mudah ‘nampak’ bagaimana sesuatu hasil tindak balas terbentuk. 


Nota:

# Penamaan molekul & pembinaan struktur sebatian karbon melibatkan 10 ahli pertama bagi alkana & alkena, manakala penamaan bagi alkohol, asid karboksilik & ester hanya melibatkan 4 ahli pertama sahaja.

# Isomer hanya melibatkan alkana, alkena dan alkohol sahaja.

# Kaedah ini pertama kali saya laksanakan pada tahun 2015

# Memandangkan di sekolah saya (pada tahun lepas) masih menggunakan papan hitam, jadi saya menggunakan papan putih bermagnet (mini magnetic whiteboard) yang dibeli sendiri dari kedai buku Popular.

# Bilangan pelajar 5Sc pula hanya 10 orang, jadi sesi PdP menjadi lebih mudah kerana setiap pelajar mempunyai peluang untuk mencuba dan bergiat aktif dalam perbincangan kumpulan.

# Kos agak tinggi untuk membekalkan mini whiteboardkepada setiap kumpulan pelajar (jika ramai).

# Kos dapat dikurangkan jika sekolah memang menggunakan whiteboard. Lebih mudah & boleh minta pelajar untuk mencuba di hadapan.

# Kos magnet: 1 paket 6 magnet = RM 3 (dibeli dari kedai buku Popular)

# Boleh juga digunakan untuk tajuk-tajuk lain seperti susunan atom dalam jirim, susunan elektron bagi atom& ikatan kimia. 


Impak:

i) pelajar lebih berminat & aktif dalam kelas
ii) pelajar lebih mudah untuk memvisualisasikan pergerakan atom semasa pembentukan isomer & tindak balas kimia
iii) pembelajaran berasaskan murid.
iv) memudahkan pengajaran guru & proses pdp menjadi lebih lancar.
 v) menjimatkan masa: tidak perlu ulang proses lukis, padam & lukis balik. Hanya perlu tukar kedudukan magnet sahaja.


Viewing all 130 articles
Browse latest View live