Quantcast
Channel: Cikgu Nurul
Viewing all 130 articles
Browse latest View live

Aplikasi Tekanan Udara Dalam Kehidupan Seharian

$
0
0
Konsep tekanan udara dapat memudahkan urusan seharian. Antara aplikasi tekanan udara dalam kehidupan seharian kita adalah: 



1. Picagari


Kegunaan:
Untuk memindahkan cecair dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya, ubat cecair.

Prinsip:
Apabila omboh ditarik ke atas, isipadu udara dalam silinder bertambah. Ini merendahkan tekanan udara dalam silinder. Tekanan udara yang lebih tinggi di luar akan menolak cecair untuk masuk ke dalam picagari.


2. Sifon


Kegunaan:
Memindahkan cecair dari kawasan tinggi ke kawasan rendah.

Prinsip:
Salah satu hujung tiub sifon dimasukkan ke dalam cecair di mana kedua-dua hujungnya ditutup dan hujung yang satu lagi diletakkan lebih rendah. Apabila kedua-dua hujungnya dibuka, tekanan udara akan menolak air masuk ke dalam sifon dan mengalir ke hujung tiub satu lagi.


3. Penyembur racun serangga / pam penyembur


Kegunaan:
Untuk membebaskan racun serangga / cecair dalam bentuk titisan cecair

Prinsip:
Apabila omboh ditolak ke arah dalam silinder, udara yang terdapat dalam silinder keluar melalui muncung dengan halaju tinggi dan mewujudkan kawasan bertekanan rendah di bahagian atas tiub. Udara dari luar yang masuk melalui lubang mengenakan tekanan ke atas racun serangga dan menolaknya keluar melalui tiub. Cecair yang keluar dipecahkan kepada titisan-titisan kecil oleh udara yang keluar dengan laju daripada silinder.

Contoh aplikasi: Botol febreeze


4. Penyedut minuman


Kegunaan:
Untuk meminum air

Prinsip:
Apabila udara dalam penyedut minuman disedut keluar, tekanan rendah terbentuk dalam penyedut minuman. Tekanan udara yang tinggi di luar menolak air daripada gelas masuk ke dalam penyedut minuman.


5. Penitis

Kegunaan:
Mengambil cecair / bahan kimia daripada botol reagen / radas makmal

Prinsip:
Apabila pemegang getah penitis dipicit, udara dari dalam penitis dikeluarkan mewujudkan tekanan udara yang rendah. Penitis kemudiannya dimasukkan ke dalam cecair dan pemegang getah dilepaskan. Tekanan udara yang lebih tinggi di luar menolak masuk cecair ke dalam penitis.

Catatan:
*antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar semasa menggunakan penitis adalah memasukkan penitis ke dalam cecair terlebih dahulu sebelum pemegang getah dipicit.
*cara yang betul adalah picit pemegang terlebih dahulu, masukkan penitis dalam cecair, baru pemegang getah dilepaskan.
*ini bagi mengelakkan udara dari dalam penitis masuk ke dalam cecair dan kemudian masuk semula ke dalam penitis (gelembung gas)

Contoh lain: demo no. 8


6. Pelekap getah

Kegunaan:
Digunakan untuk menyangkut barang-barang harian

Prinsip:
Apabila pelekap getah ditekan ke atas permukaan dinding, udara yang berada di bawah pelekap getah dikeluarkan. Tekanan rendah terbentuk. Tekanan udara sekeliling yang lebih tinggi menekan pelekap getah di dinding dan mengelakkannya daripada jatuh.

Contoh lain: Tikar atmosfera (atmospheric mat) – demo no. 12


7. Pam sedut


Kegunaan:
Untuk mengeluarkan kotoran yang tersumbat dalam sinki / paip 

Prinsip:
Apabila cawan getah ditolak ke bawah, udara dari dalam cawan getah ditolak keluar. Apabila cawan getah diangkat semula, isipadu udara bertambah dan merendahkan tekanan udara. Tekanan udara yang lebih tinggi dalam paip menolak kotoran keluar ke atas.


8. Pembersih vakum

Kegunaan:
Menyedut debu / kotoran

Prinsip:
Apabila suis pembersih vakum dihidupkan, udara yang terdapat dalam pembersih vakum disedut menghasilkan suatu keadaan vakum dan mewujudkan tekanan udara yang rendah di dalam. Udara yang bertekanan lebih tinggi di luar menolak masuk debu dan kotoran ke dalam pembersih vakum.


9. Susu pekat


Kegunaan:
Untuk menuang susu pekat daripada tin dengan mudah.

Prinsip:
Tin susu pekat perlu dibuat dua lubang di bahagian atas. Apabila susu pekat dituang daripada tin, udara dari luar akan masuk ke dalam tin melalui lubang yang berada di atas. Tekanan udara dari luar akan menolak keluar susu pekat daripada tin dengan lebih mudah.

Contoh lain:
-Jika minum air daripada botol air minuman, pastikan permukaan botol air tidak ditutup sepenuhnya. Jika tidak, udara dari luar tidak dapat masuk untuk membantu menolak air masuk ke dalam mulut.
-Begitu juga apabila minum kopi / teh daripada bekas minuman yang mempunyai penutup seperti ini:

sumber: http://blog.teachersource.com/2014/02/01/examples-of-air-pressure-in-everyday-life/

Lubang udara kecil di bahagian atas berfungsi untuk membenarkan udara masuk dan menolak air keluar melalui bukaan bawah. Pastikan lubang udara itu tidak tertutup oleh hidung anda! (bunyi macam agak kelakar, tapi ini fakta).


10. Tin / botol minuman berkarbonat

Kegunaan:
Membebaskan gas termampat sebelum air diminum

Prinsip:
Tin / botol minuman berkarbonat mempunyai gas termampat bertekanan tinggi yang akan terbebas apabila tin / botol dibuka. Penutup tin / botol sedikit terlebih dahulu bagi membebaskan gas tersebut sebelum ia dibuka sepenuhnya. Jika penutup tin / botol dibuka dengan terlalu pantas, ia akan menyebabkan air berkarbonat tadi terpancut keluar dengan laju dan tumpah.


11. Tin aerosol


Kegunaan:
Untuk menyimpan gas di bawah tekanan tinggi.

Prinsip:
Tin aerosol merupakan salah satu alat yang menggunakan prinsip pemampatan gas di bawah tekanan tinggi. Apabila gas dimampatkan, gas akan disimpan dalam bentuk cecair. Injap dan spring menghalang cecair daripada keluar jika tidak digunakan. Tin aerosol mempunyai gas termampat yang akan menolak cecair keluar melalui tiub. Apabila butang ditekan, injap masuk ke dalam tin bagi memberi ruang kepada cecair untuk keluar. Gas termampat yang bertekanan tinggi menolak cecair keluar daripada tin ke atas. Sebaik sahaja cecair tadi dilepaskan, ia akan terbebas sebagai gas.  

Contoh lain:
-tin cat spray

-botol minyak wangi / deodoran 


Rujukan gambar: 
Teacher's manual, science form 2, pan asia

Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 1

$
0
0
Pagi tadi, Karnival Sains & Teknologi bagi tahun 2015 di sekolah saya telah dilancarkan secara rasminya oleh Tuan Pengetua. 

Sebelum ini ia dikenali sebagai Minggu Sains & Matematik dan merupakan acara tahunan dalam kalendar Bidang Sains dan Matematik. Kebiasaannya dijalankan pada bulan Julai / Ogos. Bermula pada tahun lepas, pelaksanaan Minggu Sains menggabungkan dua bidang iaitu Bidang Sains & Matematik serta Bidang Vokasional & Teknikal (VoTek). Sejak itu, namanya ditukar menjadi Karnival Sains & Teknologi.

Selain daripada dua bidang utama yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan Karnival Sains & Teknologi di SMK Bawang Assan, Sibu, pada tahun ini kami turut mendapat kerjasama daripada unit Ko-Kurikulum, Jawatankuasa Asrama serta Persatuan Kadet Bomba. Saban tahun, satu tema akan dipilih sebagai fokus utama aktiviti sepanjang Karnival Sains berlangsung. Jika pada tahun lepas Kimia menjadi temanya, tema pada tahun ini pula adalah Fizik. Maka, gimik perasmian serta aktiviti utama sepanjang minggu ini lebih berfokuskan kepada Fizik.




Gimik Perasmian

Perasmian Karnival Sains & Teknologi dilakukan di tapak perhimpunan semasa perhimpunan pagi. Seperti biasa, upacara perasmian dijalankan secara ringkas dan hanya memakan masa yang singkat.


Untuk gimik perasmian, Tuan Pengetua bersama PK1, PK HEM dan PKKK melepaskan anak panah ke arah sasaran yang telah disediakan. Set memanah disediakan oleh KP Fizik, Cikgu Norhidayah selaku perancang utama Karnival Sains pada tahun ini.


Nampak seperti agak mudah untuk memanah, tapi rupa-rupanya agak sukar juga jika tidak kena dengan gayanya. Barisan pentadbiran terpaksa mencubanya beberapa kali sebelum anak panah mereka mengenai sasaran. Memanah memerlukan konsentrasi dan teknik yang betul bagi menepati sasaran. Walau apapun, barisan pentadbiran patut dipuji kerana berjaya melakukan gimik perasmian dengan baik walaupun ini merupakan kali pertama mereka memegang anak panah.



Objektif menjadikan aktiviti memanah sebagai gimik perasmian adalah bagi menunjukkan konsep Fizik dalam kehidupan seharian kepada para pelajar terutamanya bagi pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5. Konsep Fizik yang terlibat antaranya momentum, impuls dan letupan kemudiannya diterangkan oleh Cikgu Esmandi sejurus setelah selesai gimik perasmian.


Sebaik sahaja semua guru dan pelajar bersurai, saya dan beberapa guru lain tidak melepaskan peluang untuk mencuba aktiviti memanah. Bila lagi mahu rasa pengalaman memanah kan. Kebetulan pula tiada kelas masa pertama & kedua, maka kami pun mainlah sampai puas. Bila matahari dah meninggi baru berhenti. Hehe…..
 Antara guru-guru yang telah menunjukkan skill a.k.a stail mereka: 










*tapi kebanyakannya tak kena sasaran pun...stail je lebih. haha...... 

Aktiviti Hari Pertama

Aktiviti untuk hari pertama cukup ringkas dan dikendalikan oleh Panitia Matematik di bawah seliaan KP Matematik, Cikgu Harmila. Semua aktiviti hanya dijalankan dalam kelas oleh guru matematik. Antara aktiviti yang dijalankan adalah:
i)                    Pertandingan menghitung bilangan gula-gula dalam botol
ii)                   Kuiz Sudoku
iii)                 Kuiz “Who Am I”



                                # jabatan bomba
                                # firedrill
                                # demo memadamkan api 

Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 2

$
0
0
Pada hari kedua, kami menjemput pihak luar bagi membuat demonstrasi dan pameran. Pada tahun lepas, kami menjemput Jabatan Kimia Malaysia cawangan Sibu bagi menunjukkan pameran daripada beberapa bahagian seperti Forensik, Narkotik dan sebagainya. Memandangkan di Sibu tiada cawangan Jabatan Fizik, maka kami mengambil keputusan untuk menjemput Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Aktiviti ini dikira sebagai 2 dalam 1 di mana selain menjadi sebahagian daripada aktiviti Karnival Sains & Teknologi, demonstrasi ini juga dikira sebagai aktiviti rasmi sekolah dan asrama. Lagipun memang sepatutnya latihan kebakaran (firedrill) dijalankan di sekolah / asrama sekolah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Jadi, aktiviti ini melibatkan seluruh warga sekolah termasuk pelajar, guru, staf sokongan, pekerja kantin, tukang cuci serta pekerja di Dewan Makan. Kami turut dibantu oleh Persatuan Kadet Bomba yang memantau pergerakan pelajar semasa aktiviti berlangsung.


Sebelum ini, satu taklimat ringkas telah diberikan kepada seluruh warga sekolah pada hari Jumaat yang lepas bagi menerangkan laluan kecemasan semasa berlaku kebakaran. Pagi ini, sesi PdP dijalankan seperti biasa sementara menanti jentera bomba tiba. Nasib baik sekarang sudah ada jalan alternatif untuk ke SMKBA, jadi bolehlah pihak Jabatan Bomba & Penyelamat datang bersama jentera mereka yang besar. Jika guna jalan biasa memang tak dapatlah sebab jalan ke sekolah kami hanya muat untuk sebuah kereta sahaja.

Lebih kurang pada jam 9.00 pagi, Jabatan Bomba & Penyelamat tiba di sekolah kami dengan anggotanya seramai 4 orang.  Excitedcikgu-cikgu yang berada di bilik guru kerana dapat melihat jentera bomba dari dekat. Tidak lama kemudian, siren dibunyikan bagi menandakan latihan kebakaran bermula. Semua pelajar nampaknya telah menggunakan laluan yang betul untuk ke tempat berhimpun. Malangnya, ia dikira gagal kerana semua pelajar dan guru telah mengambil masa yang agak lama untuk ‘menyelamatkan diri’. Masa yang diambil adalah selama 4 minit lebih, sedangkan tempoh masa yang selamat ialah cuma 2 minit sahaja.


Seterusnya, En. Augustine selaku ketua pasukan bomba memberikan penerangan tentang langkah-langkah keselamatan yang harus diambil apabila berlakunya kecemasan. Beliau juga menunjukkan cara-cara untuk menggunakan alat pemadam api bagi memadamkan kebakaran. Kemudian, latihan memadamkan api dilakukan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar yang terpilih, dimulai dengan Tuan Pengetua dan Penolong Kanan.










Sejurus selesai latihan memadamkan kebakaran, warga SMKBA menuju ke tapak perhimpunan di hadapan Bilik Guru bagi melihat pameran jentera bomba. Pihak bomba menunjukkan peralatan-peralatan yang terdapat dalam sesebuah jentera bomba serta penerangan tentang tugas-tugas yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kami juga diberi peluang untuk menggunakan peralatan-peralatan yang ada, antaranya topeng oksigen dan hos air.






Paling best bila kami diberi peluang untuk menaiki jentera bomba. Kebiasaannya tidak dibenarkan, tapi mungkin kerana jumlah kami yang sedikit jadi senang untuk dikawal. Maka, ramailah guru dan pelajar yang tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman menjadi penumpang dan memegang stereng jentera bomba. Anggota bomba pula semuanya ‘sporting’. Apa lagi, layankan aje lerr…….



Pada masa yang sama, kami juga dapat bertanyakan pelbagai soalan kepada anggota bomba yang ada. Antara soalan yang ditanya oleh pelajar ialah bagaimana mahu memohon untuk menjadi seorang ahli bomba. Ada juga yang bertanya tentang gaji, tugas-tugas ahli bomba serta kes yang selalu diterima.



Aktiviti pada hari ini diakhiri dengan jamuan di dewan makan untuk semua guru, staf dan pelajar.


FAKTA:
# berat sebuah alat pemadam api adalah 9kg.
# berat sut lengkap ahli bomba (termasuk baju, but, topeng oksigen) adalah dalam lingkungan belasan kilogram.
# berat satu gulung hos air yang kosong adalah lebih kurang 20kg dan menjadi lebih berat apabila disambungkan kepada pili bomba.
# harga sebuah jentera bomba yang lengkap bersama peralatan adalah lebih kurang RM1.5 juta.
# untuk memohon sebagai ahli bomba perlu mengisi borang SPA secara online. Mereka yang layak akan dipanggil untuk temuduga (latihan fizikal & temuduga lisan).

# kriteria untuk menjadi ahli bomba dari segi fizikal : tinggi minimum 155cm & berat minimum 54kg. 



                    # cabaran saintis muda
                    # pameran 
                    # enjoy my science 



Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 3

$
0
0
Terdapat dua aktiviti utama pada hari ketiga, iaitu Pertandingan Saintis Muda dan aktiviti “Enjoy My Science”.

Pertandingan Cabaran Saintis Muda 

Pertandingan Saintis Muda merupakan sebuah pertandingan ala-ala explorace di mana setiap kumpulan pelajar perlu menyelesaikan satu tugasan di setiap stesen bagi menamatkan cabaran. Pertandingan ini juga merupakan salah satu kategori yang dipertandingkan semasa Karnival Sains peringkat daerah yang kami sertai saban tahun. Jadi, selain daripada bertujuan untuk memeriahkan Karnival Sains peringkat sekolah, melalui pertandingan ini juga kami ingin memilih pelajar yang akan menjadi perintis sebagai wakil sekolah untuk Pertandingan Saintis Muda di peringkat daerah pada tahun hadapan.

Terdapat 5 stesen yang disediakan untuk Pertandingan Saintis Muda. Di setiap stesen, kumpulan peserta akan diberikan arahan untuk menjalankan sesuatu aktiviti. Selepas itu, para peserta perlu menjawab beberapa soalan yang disediakan. Markah akan dikira berdasarkan ketepatan para peserta melaksanakan cabaran dan menjawab soalan serta kerjasama antara ahli kumpulan.

Stesen 1: Lihatlah Alam

Peserta perlu menggunakan kanta yang diberi dan memantulkan imej dari kawasan sekitar ke atas kertas putih.  


Stesen 2: Apakah Itu?

Para peserta perlu mengasingkan campuran garam, pasir dan serbuk besi.


Stesen 3: Deria Rasa Saya

Peserta perlu merasa air yang disediakan dan mencatatkan rasa bagi setiap minuman.



Stesen 4: Denyutan Nadi

Di sini, peserta perlu mengira kadar denyutan nadi dalam satu minit dan mengaitkannya dengan sistem peredaran darah.


Stesen 5: Belon Magik

Aktiviti ini melibatkan tindak balas kimia antara cuka (asid etanoik) dan soda bikarbonat. Belon diletakkan di mulut botol air minuman. Gas yang terbebas hasil tindak balas tadi akan mengembangkan belon. Pemenang dikira berdasarkan ukur lilit belon yang paling besar.





Enjoy My Science

Aktiviti “Enjoy My Science” dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pameran hasil kerja pelajar dan demo eksperimen. Pameran hasil kerja pelajar melibatkan Panitia Sains dan Panitia Kemahiran Hidup Bersepadu (di bawah Bidang Votek).

Antara bahan-bahan yang dipamerkan oleh Panitia Sains adalah:

Hasil kerja pelajar berasaskan bahan kitar semula



Alatan mudah untuk menunjukkan konsep sains




Hasil kerja pelajar – model Biologi menggunakan plastisin




Penyertaan / Pencapaian semasa Karnival Sains peringkat daerah




Bahan-bahan yang dipamerkan oleh Panitia KHB pula antaranya:

Projek Inovasi: Perangkap Lipas


Taman Mini









Demonstrasi eksperimen sains pula dilakukan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 4 dari Ting. 4 Sains dan 4A1. Mereka bertindak sebagai ‘ejen promosi’ bagi meningkatkan minat pelajar-pelajar lain untuk mempelajari Sains dan memilih aliran Sains Tulen apabila ke Tingkatan 4 nanti. Beberapa soalan mudah akan ditanya kepada pelajar-pelajar yang melawat tapak pameran. Pelajar yang dapat menjawab soalan dengan betul akan diberikan gula-gula Cadbury.

Terdapat 7 stesen telah disediakan untuk melakukan demo sains.

Stesen 1: Hukum Hooke (Fizik)

Bertujuan untuk menunjukkan perbezaan pemanjangan spring apabila menggunakan susunan spring yang berbeza.



Stesen 2: LED Kelip….Kelip (Sains + Fizik)

Menunjukkan pengaliran arus elektrik oleh bahan-bahan berasid seperti buah limau atau lemon. Litar disambungkan kepada LED. Pelajar diminta untuk meneka adakah LED akan menyala jika disambungkan kepada lemon.
(tips: mesti menggunakan lemon yang betul2 masam. Jika lemon sudah hampir masak, arus elektrik yang terhasil adalah sangat kecil, tiada bacaan pada mikroammeter).




Stesen 3: Hukum Gas (Fizik)

Eksperimen pertama menunjukkan bagaimana haba boleh mengembangkan bola pingpong yang kemek.
Eksperimen kedua pula melibatkan pembakaran belon yang kosong dan belon yang berisi air. Pelajar diminta meneka adakah belon yang berisi air akan meletup jika dibakar menggunakan penunu Bunsen.



Stesen 4: Model Sel Haiwan & Sel Tumbuhan (Biologi)

Pelajar-pelajar didedahkan dengan struktur lengkap sel haiwan dan sel tumbuhan berdasarkan model yang telah dihasilkan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 5 Sains menggunakan plastisin.



Stesen 5: Gunung Berapi Krakatou (Kimia)


Menunjukkan tindak balas antara cuka, sabun dan soda bikarbonat (baking soda). Pelajar-pelajar diberi peluang untuk mencuba sendiri eksperimen tersebut.



~aktiviti ini merupakan gimik perasmian Karnival Sains & Teknologi 2014 serta merupakan salah satu stesen cabaran Saintis Muda pada tahun lepas. Memandangkan aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar pada tahun lepas, maka kami tunjukkan sekali lagi pada tahun ini.

Boleh lihat videonya DI SINI.


Stesen 6: Oh…. Meletop!! (Kimia)

Demo tindak balas antara natrium dan air. Sengaja kami guna ketulan yang agak besar supaya ia meletup dan menghasilkan bunga api.



Stesen 7: Giant Bubble (Sains + Fizik)


Stesen yang paling mendapat sambutan. Seronok melihat guru-guru lain yang berkongsi aktiviti ini di group FB Cikgu Sains Kreatif, maka kami tidak mahu ketinggalan untuk mencubanya. Terdapat banyak versi campuran yang dikongsi menyebabkan kami tidak pasti mahu merujuk ramuan yang mana satu. Jadi, kami trial and error sajalah. Masa mula-mula buat, campuran agak cair menyebabkan buih yang terhasil tidak besar dan mudah pecah. Setelah itu kami pekatkan campuran berdasarkan kuantiti berikut:
Ø  1 botol Joy
Ø  800 mL air
Ø  4-5 sudu besar tepung kanji / tepung ubi

Excited budak-budak main. Cikgu pun join sekali…………










Penat sebab seharian memantau pelajar di tapak pameran “Enjoy My Science”. Tapi, apa yang penting semua dapat enjoy!


                                # Kuiz Perdagangan
                                # “I am CEO”
                                # Pertandingan roket & payung terjun

                                # pameran Jabatan Bomba & Penyelamat



p/s: seronok bila mendapat pujian daripada Si-Partner yang kebetulan datang ke sekolah. Boleh naikkan semangat untuk teruskan pada tahun hadapan. Katanya, sekolah-sekolah di bandar tiada Minggu Sains. Betul ke….? 

Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 4

$
0
0
Aktiviti pada pagi ini dikendalikan oleh Panitia Perdagangan. Aktiviti dimulakan dengan Kuiz Perdagangan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 selama satu jam, iaitu dari pukul 7.30 – 8.30 pagi.



Bermula pada jam 9.30 pagi, pelajar-pelajar yang terlibat memulakan aktiviti “I Am CEO”. Melalui aktiviti ini, pelajar-pelajar dilatih untuk mengaplikasikan ilmu perniagaan dan keusahawanan yang dipelajari dalam mata pelajaran Perdagangan. Mereka menjual makanan seperti nasi lemak, kuih, minuman dan aiskrim. Promosinya telah dijalankan bermula semalam (hari Rabu) melalui edaran iklan.



Pada sebelah petang pula diadakan pertandingan parachute (roket & payung terjun) di bawah bimbingan Cikgu Sembi. Selain daripada Pertandingan Saintis Muda, pertandingan ini juga merupakan salah satu kategori pertandingan semasa Karnival Sains peringkat daerah, iaitu Aeroangkasa.



Nampak seperti mudah, tetapi memerlukan ketepatan teknik bagi memastikan roket dapat dilancarkan jauh dan payung terjun dapat terbuka dengan sempurna. Pertandingan ini hanya melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 4 sahaja. 



                                # Saintis Muda
                                # Pameran
                                # Demo Sains 

Sebelum: Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 5
                               # Klik Dengan Bijak 
                               

Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 5

$
0
0
Hari terakhir Karnival Sains pada tahun ini. Seperti tahun-tahun sebelum ini, hari terakhir akan diisi dengan program ceramah “Klik Dengan Bijak” oleh Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM / MCMC) cawangan Sibu. 


Program ceramah ini merupakan salah satu program kesedaran keselamatan internet yang dianjurkan oleh SKMM. Mereka sering menganjurkan program ceramah seperti ini di sekolah-sekolah dan bersedia untuk dijemput oleh mana-mana pihak / agensi / komuniti bagi mengadakan program berkaitan keselamatan internet.


Melalui ceramah tersebut, pengguna internet didedahkan dengan langkah-langkah keselamatan semasa menggunakan internet. Kita juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan internet untuk tujuan yang negatif seperti menyebarkan fitnah, memuatnaik status ataupun gambar yang tidak bermoral.


Pihak SKMM turut berkongsi dengan kami statistik aduan kes yang mereka terima berkaitan dengan dunia maya ini. Setiap hari pasti ada sahaja aduan yang diterima berkenaan penyalahgunaan internet. Itu baru di Sibu sahaja, belum lagi dikira seluruh negara. Antara aduan yang banyak diterima adalah tentang penipuan melibatkan wang, penyebaran berita palsu, love scam dan sebagainya.

Penyebaran berita palsu banyak terjadi apabila ramai pengguna internet yang terlampau teruja untuk like dan share sesuatu berita di media sosial tanpa menyelidik kebenarannya terlebih dahulu. Akibatnya, semakin ramai yang terdedah dengan berita yang tidak benar sehinggakan kadang-kadang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat. Jadi, pastikan anda selidik dahulu sesuatu perkara sebelum like, comment, ataupun share. Jika ternyata berita yang anda kongsikan itu adalah palsu, anda juga boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi & Multimedia Malaysia.


Kalau nak cerita semua input ceramah tadi di sini, sampai esok pun belum habis. Hehe…… jadi, jika mahukan maklumat lebih lanjut tentang keselamatan internet, peranan SKMM dan juga program “Klik Dengan Bijak” bolehlah follow mereka di media sosial ataupun search sahaja di YouTube.


Jutaan terima kasih diucapkan kepada En. Nading dan Pn. Farzana dari SKMM Sibu yang sudi datang ke sekolah kami. Tak sesat walaupun pertama kali datang ke sini boleh dikira hebatlah. Hehe…. Ceramah yang menarik, pegawai SKMM yang peramah dan sporting serta cenderahati yang best, sememangnya menjadi penutup yang baik buat Karnival Sains & Teknologi 2015. 





Sebelum: Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 4 
                # Kuiz Perdagangan
                # I am CEO

Projek Inovasi Kimia 2014 : KAD MNEMION

$
0
0


Projek Inovasi ini merupakan sebahagian daripada Kajian Tindakan yang saya jalankan pada tahun 2014. Tajuk yang dipilih ialah Formula Kimia yang merupakan subtopik dalam Bab 3 Kimia Tingkatan 4 : Formula & Persamaan Kimia. 

Kad Mnemion (mnemonik + ion) merupakan satu set kad imbas (flash card) yang menggabungkan senarai formula ion bersama mnemonik bagi memudahkan pelajar mengingati formula ion. Tujuan utamanya adalah bagi memudahkan pelajar menulis formula kimia sebatian dan seterusnya dapat membina persamaan kimia dengan lebih mudah. 

Kad Mnenion dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu kation dan anion. 
Senarai ion disusun mengikut kumpulan cas pada ion serta mnemonik pada bahagian belakang. 




Penerangan terperinci tentang bagaimana Kad Mnemion ini dihasilkan dan digunakan bolehlah merujuk / memuat turun Laporan Projek Inovasi Kimia 2014. 

Berikut merupakan abstrak hasil pelaksanaan projek inovasi saya: 


ABSTRAK 


Projek inovasi ini dilaksanakan bagi membantu pelajar untuk mengingati senarai formula ion serta meningkatkan kemahiran pelajar untuk menulis formula kimia. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan semasa proses PDP, didapati kesemua 17 orang pelajar 4 Sains sukar menguasai kemahiran menulis formula kimia dengan betul. Dengan itu, suatu inovasi telah dilaksanakan bagi mengenal pasti punca masalah yang dihadapi oleh para pelajar serta mencari kaedah terbaik dan berkesan bagi mengatasinya. Semua pelajar Tingkatan 4 Sains, iaitu seramai 17 orang terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui ujian pertengahan penggal pertama dan ujian pra. Hasil tinjauan menunjukkan pelajar sukar untuk mengingati simbol-simbol ion dan cas-cas pada ion positif dan negatif  yang menjadi punca utama kegagalan pelajar menulis formula kimia dengan betul. Pelajar juga tidak berminat untuk menghafal kerana bilangannya yang terlalu banyak. Perancangan tindakan difokuskan kepada 3 aktiviti. Aktiviti pertama ialah memperkenalkan dan membiasakan pelajar dengan simbol-simbol ion serta cas-cas pada ion dengan menggunakan Kad Mnemion. Aktiviti kedua ialah mengasingkan ion-ion positif dan negatif berdasarkan nilai cas pada ion dan menghafal setiap ion dengan menggunakan kaedah mnemonik. Aktiviti yang ketiga pula ialah menulis formula kimia dengan cara menggabungkan Kad Mnemion bagi ion positif dan kad imbas bagi ion negatif. Keputusan ujian pos menunjukkan 11 daripada 15 orang pelajar berjaya menyenaraikan semua formula ion dengan betul, iaitu peningkatan sebanyak 73% berbanding dengan ujian pra. Manakala 14 orang pelajar telah menunjukkan peningkatan yang mendadak bagi markah yang diperoleh melalui ujian pos. Dengan ini, dapat dirumuskan bahawa penggunaan kad imbas dan kaedah mnemonik telah berjaya meningkatkan ingatan pelajar terhadap formula ion seterusnya meningkatkan kemahiran pelajar menulis formula kimia dengan betul.  





Pengalaman Menyertai Persidangan Inovasi Negeri Sarawak 2015

$
0
0
Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh SMK Sacred Heart Sibu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan University College of Technology Sarawak (UCTS) Sibu. 



Ianya telah diadakan pada 15 Ogos 2015, iaitu hari Sabtu lepas. Tema Persidangan Inovasi pada tahun ini ialah “Inovasi Pemangkin Kemenjadian Generasi Inovatif”. Persidangan ini merupakan sebuah persidangan peringkat negeri Sarawak yang bertujuan menjadi platform perkongsian inovasi dan penyelidikan guru dari pelbagai bahagian negeri Sarawak. Kertas kerja yang dibentangkan meliputi 3 aspek, iaitu Projek Inovasi, Kajian Tindakan (action research) dan Penyelidikan (research) yang telah dijalankan oleh guru-guru di Sarawak pada tahun 2014.

Kali pertama saya menyertai persidangan ini adalah pada tahun lepas selaku peserta. Masa tu saya baru mula berjinak-jinak dengan Kajian Tindakan & Projek Inovasi. Jadi, saya mahu menimba ilmu & pengalaman di samping meneroka idea-idea baru untuk diaplikasikan dalam bilik darjah nanti. Hasil pengamatan saya, saya mendapati bahawa projek inovasi tidaklah sesukar yang saya bayangkan selama ini. Apa yang penting ia memerlukan keberanian dan kerajinan serta sedikit suntikan kreativiti. Sebenarnya ramai antara kita yang telah menjalankan inovasi dalam bilik darjah, sama ada sedar mahupun tidak. Namun, bezanya adalah pada dokumentasi. Ada guru-guru yang begitu kreatif dan membina pelbagai BBM yang menarik, tetapi tidak didokumentasi dan dikongsi dengan guru-guru lain. Maka, rugilah. Bertitik tolak dari situ, saya mula membuat perancangan untuk melaksanakan projek inovasi secara lebih serius dan terancang. Saya bernasib baik kerana punya rakan sekerja yang sehaluan dengan saya di mana dia banyak membantu dan membimbing saya hasil pengalamannya yang meluas.

Apabila SMK Sacred Heart mula mengedarkan surat jemputan ke persidangan pada tahun ini, saya dan dua orang lagi guru SMKBA menghantar permohonan sebagai pembentang. Kami tidaklah berharap sangat kerana sedar bahawa tempat selaku pembentang adalah terhad. Tambahan pula kami perlu bersaing dengan guru-guru lain yang lebih senior dan berpengalaman. Awal bulan Jun lalu, saya menerima berita baik melalui e-mel dari SMKSH menyatakan bahawa projek inovasi saya telah dipilih untuk dibentangkan semasa persidangan inovasi pada bulan Ogos nanti. Tambah menggembirakan apabila 2 orang lagi guru SMKBA turut dipilih selaku pembentang.

Persidangan Inovasi peringkat Negeri Sarawak 2015 telah dirasmikan oleh Pengarah JPNS sendiri, iaitu Pn. Rakayah bt Hj. Madon. Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi di Dewan Kuliah UCTS dengan ketibaan Pengarah JPNS yang diiringi persembahan Bagpipe Band, tarian singa dan paluan kompang serta bunga manggar. Acara sambutan untuk Pengarah JPNS mengimbau kenangan saya pada tanah semenanjung. Lima tahun berada di Bumi Kenyalang, saya sudah biasa denganNgajat Ngalu Temuai (Ngajat Welcoming Dance) dan Taboh Iban. Sudah lama tidak mendengar paluan kompang dan melihat bunga manggar. Bagpipe Band pula mengingatkan saya pada SMK St. John KL, tempat saya menjalani latihan mengajar di mana saya menjadi pembantu guru penasihat untuk bagpipe band sekolah tersebut yang begitu terkenal.

Usai nyanyian lagu kebangsaan, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMKSH, En. David Teo Wu, diikuti Timbalan Naib Cancelor UCTS, Prof. Dato’ Dr. Sabaruddin b. Mohd. Dalam intipati ucap utama Puan Pengarah JPNS, saya tertarik dengan teguran beliau terhadap guru-guru yang suka ‘memberi label’ kepada pelajar-pelajar dalam kelas dan bersikap pilih kasih.



Setelah tirai persidangan dibuka dengan rasminya, sesi pembentangan pun bermula. Terdapat dua sesi pembentangan, iaitu sesi plenary dan sesi selari. Sesi plenarymemperlihatkan pembentangan kertas penyelidikan di peringkat universiti oleh pensyarah-pensyarah yang dijemput khas. Tiga orang pensyarah yang telah membentangkan kajian mereka adalah:
i)                    Prof. Madya Dr. Patrick Then
Swinburne University of Technology (Sarawak Campus) 

ii)                   Prof. Madya Dr. Pauline Ho
Curtin University (Sarawak)

iii)                 En. Daniel Tan Yong Wen
University College of Technology Sarawak

Kajian yang dibentangkan oleh pensyarah universiti adalah lebih meluas dengan tahap yang lebih tinggi berbanding dengan kajian guru yang lebih berfokus dalam bidang pendidikan. Walau apapun, melihat pembentangan kertas penyelidikan universiti merupakan suatu pendedahan yang sangat baik terutamanya dari segi metod kajian. Manalah tahu, suatu hari nanti ada rezeki untuk sambung belajar di peringkat master atau PhD. Ehem!

Sesi pembentangan sidang selari bermula pada jam 11.40 pagi. Terdapat 36 kertas kajian yang akan dibentangkan di 6 buah bilik tutorial. Saya merupakan pembentang terakhir di Bilik 6. Pembahagian kertas pembentangan semasa persidangan pada kali ini dilihat lebih teratur dan terancang di mana ianya dibahagikan mengikut bidang. Misalnya di bilik 1, kebanyakan kertas yang dibentangkan adalah berkaitan mata pelajaran BM dan BI. Manakala di bilik 6 pula, semua kertas yang dibentangkan merupakan projek inovasi bagi mata pelajaran Sains Tulen. Jadi, tidak perlulah saya berulang-alik ke bilik-bilik lain untuk melihat projek inovasi bagi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi. Pembentangan kami turut disertai oleh pensyarah-pensyarah jemputan.




Alhamdulillah, pembentangan saya berjalan dengan lancar tanpa rasa gugup. Sesi soal jawab pula berlalu tanpa ada peserta yang bertanyakan soalan. Jadi, bilik kami merupakan bilik terawal yang tamat sesi selari.



Selepas rehat pada waktu tengah hari, para pembentang menyertai satu sesi perbincangan bersama para panel review yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti. Mereka memberikan komen terhadap pembentangan kami secara umum di samping memberikan cadangan-cadangan bernas untuk penambahbaikan. Mereka agak terkejut (surprised) melihat usaha guru-guru yang menjalankan kajian / penyelidikan di sekolah dalam kekangan masa dan tugas hakiki walaupun guru tidak diwajibkan untuk melaksanakan kajian sepertimana pensyarah di universiti.  

Rumusannya, penglibatan dalam acara persidangan seperti ini dapat membuka minda dan menyuntik motivasi untuk terus melaksanakan perubahan dan penambahbaikan dalam PdP. Tidak bermakna kita guru yang sempurna. Tetapi apa yang penting adalah usaha ke arah mencapai kesempurnaan.




p/s: Semakin banyak ilmu yang digali, semakin banyak yang kita tidak ketahui. Usaha tanpa henti, moga Allah berkati. 

Perbezaan Antara Projek Inovasi, Kajian Tindakan dan Penyelidikan

$
0
0
Selaku guru, pasti kita berdepan dengan banyak cabaran semasa menjalankan pengajaran & pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah. Antara cabaran yang sering dihadapi adalah tahap kefahaman pelajar yang berbeza dan kesukaran pelajar untuk memahami pengajaran guru terutamanya apabila melibatkan sesuatu konsep yang abstrak.


Antara langkah penyelesaiannya adalah dengan cara menjalankan kajian tindakan, projek inovasi ataupun penyelidikan. Ketiga-tiganya mempunyai tujuan utama yang sama, iaitu mengkaji sesuatu isu atau masalah yang dihadapi dalam bilik darjah, sekolah mahupun dalam bidang pendidikan secara amnya. Namun, ketiga-tiganya merupakan perkara yang berbeza.

Saya bukanlah pakar dalam membincangkan definisi bagi setiap satu darinya. Perkongsian ini hanya merupakan hasil pemahaman dan pengamatan saya. Selain itu, ketiga-tiganya juga merangkumi bidang yang cukup luas, sama ada bagi tujuan akademik mahupun bukan akademik. Saya cuma akan memfokuskan kepada kajian berkaitan PdP sahaja.


Projek Inovasi

Secara amnya, projek inovasi biasanya berbentuk alat bantu mengajar (ABM), juga disebut bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan untuk memudahkan PdP guru dan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sesuatu konsep. Mungkin ada guru yang melaksanakan projek inovasi berbentuk pedagogi, namun ianya lebih sesuai dilaksanakan sebagai kajian tindakan. Inovasi yang dihasilkan tidak semestinya merupakan sesuatu yang baru. Boleh juga dihasilkan daripada inovasi guru lain, tetapi ditambahbaik dan disesuaikan dengan pelajar di sesebuah sekolah. Apa yang penting, jangan ditiru bulat-bulat.

Sebagai contoh, KAD MNEMION yang saya hasilkan merupakan sejenis kad imbas (flashcard) yang biasanya sering digunakan untuk kanak-kanak ataupun murid-murid di sekolah rendah. Sebagai penambahbaikan kepada flashcardyang biasa digunakan, saya hasilkan flashcardsecara 2-dimensi (depan & belakang) dan boleh dipusingkan seperti kad menu di restoran. Saya gabungkan pula dengan mnemonik, maka terhasillah flashcard versi saya sendiri.


Berdasarkan pengalaman saya menyertai Pertandingan Guru Inovatif Negeri Sarawak baru-baru ini, sebuah projek inovasi yang baik dan ‘dipandang tinggi’ oleh panel penilai mempunyai ciri-ciri seperti berikut; antaranya ialah:
i)                    Dipunyai oleh setiap pelajar dalam kelas. (bermaksud satu set inovasi untuk setiap pelajar)
ii)                   Menggunakan bahan kitar semula
iii)                 Kos yang rendah

Apakah tajuk / topik yang sesuai untuk dijalankan projek inovasi? Persoalan ini merupakan suatu yang bersifat subjektif. Ini kerana tahap pelajar di setiap sekolah adalah berbeza. Kadang-kadang ada tajuk / konsep yang mudah difahami oleh pelajar di sesebuah sekolah, tetapi dianggap sukar oleh pelajar sekolah lain terutamanya sekolah luar bandar. Sebagai permulaan, cari tajuk yang sukar difahami oleh majoriti pelajar di sekolah kita. Kecilkan skop tajuk. Pilih konsep yang mudah untuk kita bina inovasi yang berbentuk maujud (fizikal).
Sebagai contoh:
i)                    Kimia Ting.5, Bab 2: Sebatian Karbon
Inovasi membina model sebatian karbon menggunakan plastisin bagi meningkatkan kemahiran pelajar melukis struktur & menulis formula kimia sebatian karbon.

ii)                   Biologi

Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap proses kesegahan sel menggunakan model belon. 

Dari segi format laporan projek inovasi, saya tidak pasti sama ada setiap negeri mempunyai format laporan yang tersendiri. Untuk kepastian bolehlah merujuk PPD / JPN masing-masing. Laporan yang saya tulis adalah berdasarkan format yang dikemukakan oleh JPN Sarawak. Ini merupakan laporan projek inovasi saya pada tahun 2014: KAD MNEMION.
Projek Inovasi ini baru sahaja saya bentangkan semasa di Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru peringkat Negeri Sarawak 2015 baru-baru ini. 


Kajian Tindakan (action research

Kajian tindakan dilaksanakan untuk mengkaji sesuatu isu / masalah dan seterusnya bertindak bagi menyelesaikan masalah tersebut. Bagi memastikan keberkesanan sesuatu kaedah penyelesaian yang diambil, kajian tindakan biasanya dijalankan melalui beberapa gelung / kitaran (cycle). Tetapi, jika kaedah yang digunakan betul-betul berkesan dan masalah telah dapat diselesaikan secara menyeluruh, maka satu gelung sudah mencukupi. Dapatan kajian pula sering digunakan kaedah ujian pra dan ujian pos. 


Terdapat banyak versi yang boleh dirujuk bagi melaksanakan kajian tindakan. Namun, secara umumnya sesebuah kajian tindakan melibatkan proses kerja berikut:

1.       Refleksi PdP – mengenal pasti isu/ masalah yang dihadapi
2.       Merancang penyelesaian
3.       Melaksanakan kaedah penyelesaian yang dipilih
4.       Menganalisis dapatan kajian & refleksi

Jika kaedah yang dipilih telah berjaya, maka kitaran kajian tindakan akan berhenti pada langkah ke-4. Jika belum berjaya sepenuhnya, kita kembali semula kepada langkah pertama dengan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat semasa gelung pertama. Dengan ini, kita akan memulakan gelung kedua kajian tindakan. 

Kaedah yang dipilih bagi menyelesaikan sesuatu isu PdP dalam sesebuah kajian tindakan adalah lebih meluas berbanding dengan projek inovasi. Masalah yang dihadapi dalam PdP boleh diselesaikan menggunakan BBM (inovasi) mahupun kaedah pedagogi. Misalnya, menggunakan flashcard, magic whiteboard, model dan sebagainya untuk membantu pelajar memahami sesuatu konsep. Selain daripada menggunkan BBM, guru juga boleh menjalankan tindakan menggunakan kaedah seperti mentor-mentee, gallery walk, pembelajaran inkuiri dan lain-lain.

Tajuk bagi sesebuah kajian tindakan mestilah jelas, spesifik dan terperinci merangkumi objektif kajian, kumpulan sasaran serta kaedah penyelesaian. Antara contoh tajuk kajian tindakan:

i)                    Pelaksanaan kaedah nota berlagu untuk meningkatkan kemahiran pelajar mengingati kronologi peristiwa bagi novel Komsas dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 Merah di SMK Setia.
ii)                   Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep tekanan udara dengan menggunakan model “Belon Magik”.

Bagi guru yang pertama kali mahu menjalankan kajian tindakan memang akan terasa agak sukar kerana ianya melibatkan banyak proses yang teliti. Penulisan laporannya pula lebih terperinci berbanding projek inovasi. Saya mula mengenali kajian tindakan semasa melengkapkan folio Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB). Saya merupakan batchpertama guru yang perlu melaksanakan PPGB pada tahun 2011. Memandangkan di sekolah saya tiada seorang pun guru yang pernah menjalankan kajian tindakan, maka agak terkial-kial juga saya pada masa itu. Rujukan saya hanya berpandukan pada enjin carian Google. Mujur saya menemui Manual Kajian Tindakanyang diterbitkan oleh Bahagian Perancangan & Pelaksanaan Dasar Pendidikan di laman sesawang KPM. 

Lanjutan daripada kajian tindakan yang saya jalankan semasa menyiapkan folio PPGB, saya teruskan dengan gelung kedua. Semasa gelung kedua ini saya mendapat ilham menggunakan kad imbas. Jadi, kajian tindakan yang saya jalankan pada masa itu merupakan projek 2-dalam-1 di mana saya menggunakan projek inovasi sebagai kaedah penyelesaian dalam kajian tindakan. Seterusnya, saya jalankan pula penambahbaikan pada projek inovasi tersebut sehingga terhasilnya Kad Mnemion. Laporannya kemudian saya asingkan.

Berikut merupakan hasil laporan kajian tindakan saya untuk gelung kedua:  Kajian Tindakan Kimia 2014.


Penyelidikan Guru (research

Daripada tiga perkara ini, penyelidikan boleh dianggap sebagai yang paling sukar untuk dilaksanakan, melibatkan proses yang sangat teliti, memakan masa yang lama dan penulisan laporan yang begitu terperinci. Dalam bahasa yang mudah, penyelidikan merupakan suatu kajian terhadap sesuatu isu / perkara untuk mendapatkan data yang sah. Penyelidikan tidak semestinya menghasilkan penyelesaian, namun ia melibatkan metodologi kajian yang agak kompleks. Disebabkan itulah, tidak ramai guru di sekolah yang menjalankan penyelidikan, kebanyakannya menjalankan kajian tindakan sahaja. Saya sendiri juga belum mahir dengan penyelidikan. Bagi guru yang memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, maka pelaksanaan penyelidikan guru merupakan persediaan yang sangat bagus.

Aspek yang dikaji dalam sesebuah penyelidikan adalah sangat meluas. Penyelidikan guru / penyelidikan pendidikan mengetengahkan aspek kajian berkaitan isu-isu semasa dalam bidang pendidikan, sama ada isu dalam bilik darjah, masalah yang dihadapi oleh guru / pelajar / pentadbir sekolah mahupun isu pendidikan secara umum. Paling bagus jika dibuat penyelidikan tentang isu-isu pendidikan yang terkini. Contohnya:
i)                    Pelaksanaan PPPM 2013 – 2015
ii)                   Pengintegrasian KBAT dalam PdP
iii)                 Keberkesanan peta i-think
iv)                 Konsep pembelajaran & bilik darjah abad ke-21
v)                  VLE-FROG

Boleh juga jika kita mahu melaksanakan penyelidikan dalam bidang pendidikan, tetapi sesuatu yang di luar PdP. Sebagai contoh:
i)                    Perbezaan pencapaian akademik antara pelajar asrama & pelajar harian
ii)                   Faktor-faktor yang mempengaruhi minat pelajar untuk belajar
iii)                 Punca-punca penglibatan pelajar dalam kes gengsterisme
iv)                 Perbezaan pencapaian pelajar dalam peperiksaan sebelum & selepas kursus motivasi
v)                  Beban tugas guru di sekolah 

Tahun lepas, pada 8-10 Sept. 2014, saya menyertai Seminar Penyelidikan Pendidikan Peringkat Zon Sarawak yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Sarawak. Seminar tersebut mengumpulkan para cendekiawan melibatkan guru-guru sekolah, pensyarah-pensyarah IPG serta pensyarah-pensyarah universiti yang membentangkan penyelidikan masing-masing. Antara kertas penyelidikan yang dibentangkan pada tahun lepas ialah:

i)                    Pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu: Tinjauan terhadap sikap dan minat murid orang asli di negeri Perak.
(Tn. Hj. Mohd Razak b. Mohd Nordin & Pn. Noradzimah bt Abdul Majid, IPGK Ipoh)

ii)                   Aplikasi peta pemikiran (i-think) dalam pengajaran dan pembelajaran : Suatu tinjauan
(Pn. Jauriah bt Md Azali & En. Muhamad Munir b. Ismail, IPGK Perlis)

iii)                 Tekanan kerja guru sekolah pribumi daerah Gua Musang
(En. Mohd Zaki b. Ab Rahim & Pn. Kasnimi Mat Seman, IPGK Kota Bharu)

Daripada tajuk kertas penyelidikan yang dibentangkan, boleh dikatakan bahawa penyelidikan pendidikan biasanya berbentuk tinjauan dan kajian kes. Objektif utama sesebuah penyelidikan adalah bukan untuk memikirkan jalan penyelesaian masalah, tetapi bagi mendapatkan data kajian seperti faktor ataupun implikasi sesuatu isu / perkara berkaitan pendidikan. Hasil dapatan kajian ini yang merupakan sesuatu yang sangat penting bagi pihak-pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Penyertaan dalam seminar ini memberikan pendedahan awal kepada saya tentang pelaksanaan sesebuah penyelidikan pendidikan. Banyak perkara yang dapat ditimba hasil perbincangan bersama pensyarah-pensyarah berkaliber yang langsung tidak lokek ilmu. Akan tetapi, masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

Kesimpulannya, setiap guru sebenarnya sangat digalakkan untuk melaksanakan Projek Inovasi, Kajian Tindakan ataupun Penyelidikan. Hasil kajian yang kita jalankan dapat meningkatkan kemahiran profesionalisme seseorang guru. Melalui hasil kerja penyelidikan dan inovasi, golongan pendidik dapat merangka dan melaksanakan strategi PdP secara lebih berkesan dan kreatif seiring dengan perubahan arus pendidikan global. Jika ada peluang, sertailah seminar / persidangan berkaitan Projek Inovasi / Kajian Tindakan / Penyelidikan. Banyak ilmu yang akan dapat dipelajari di samping suntikan semangat untuk turut sama memperkasakan lagi bidang pendidikan di negara kita.

Selain itu, cari juga sumber-sumber lain yang boleh membantu atau bersama-sama kita dalam lapangan ini. Semasa saya menjalankan kajian tindakan dahulu, saya tunjukkan laporan saya pada pensyarah-pensyarah IPG. Pengetua saya turut memberikannya kepada pengetua di sekolah lain. Dengan ini, kita akan mendapat maklum balas dan kritikan membina daripada mereka yang lebih arif agar kita dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Saya juga banyak mendapat bimbingan daripada rakan sekerja yang sudah punya banyak pengalaman. Yang penting, usah malu bertanya.

p/s: Jika berminat, boleh googleBuku Inovasi Guru. Himpunan kajian / inovasi yang dibentangkan semasa Persidangan Inovasi Negeri Sarawak pada tahun lepas, boleh muat turun Buku Inovasi Guru 2014. 

Penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM 2016

$
0
0
Baru-baru ini kita mendapat berita tentang penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM yang bakal dimulakan pada tahun 2016. Faktor penangguhan tersebut adalah disebabkan kebanyakan makmal sekolah belum mempunyai kemudahan yang mencukupi, terutamanya bagi sekolah-sekolah yang terlibat dalam bencana banjir hujung tahun lepas.



Sudah tentu berita ini mendapat respon yang pelbagai daripada guru-guru di seluruh negara. Mungkin ada pihak yang setuju dan mungkin ada juga yang tidak bersetuju. Secara peribadi saya merasakan ia merupakan sesuatu yang wajar dilakukan. Sukar untuk kita jalankan peperiksaan amali sains secara berpusat jika kebanyakan sekolah masih kritikal dengan kelengkapan bahan dan radas di makmal sains.

Bagi sekolah-sekolah di bandar, sekolah-sekolah yang baru dibina, sekolah-sekolah yang mempunyai penghuni yang ramai, sudah tentu mereka mempunyai prasarana makmal yang lengkap serta peruntukan yang mencukupi. Ini berbeza dengan sekolah-sekolah kecil di luar bandar yang terpaksa mencatu peruntukan yang sedikit demi menyediakan keperluan di makmal sains.

Siapa yang dapat menafikan kepentingan pelaksanaan kerja amali dalam PdP mata pelajaran Sains, sama ada Sains Teras (men. rendah & men. atas) mahupun Sains Tulen. Semua guru, jika boleh, mahu melaksanakan kerja amali. Jika diberikan pilihan, semua eksperimen dalam buku teks mahu dijalankan. Akan tetapi, disebabkan faktor-faktor tertentu perancangan itu terpaksa dilupakan. Sebagai guru, kita memikirkan pelbagai alternatif lain demi memastikan semua objektif pembelajaran tercapai. Ada eksperimen yang didemonstrasi oleh guru sahaja. Ada juga eksperimen yang ditayangkan video yang dimuat turun dari internet. Semuanya disebabkan bahan dan radas yang terhad, perlu digunakan dengan jimat cermat untuk eksperimen-eksperimen yang betul-betul penting sahaja.

Jika peperiksaan amali sains berpusat diadakan, terlalu banyak keperluan yang harus disediakan supaya mencukupi untuk setiap pelajar. Sudah tentulah ini menjadi bebanan kepada pihak sekolah, terutamanya dari segi kos. Pertama kali melihat senarai bahan dan radas yang perlu disediakan semasa mengikuti Kursus Amali Sains untuk guru-guru, saya juga rasa seperti mahu pitam. Kos untuk bahan dan radas makmal adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila dibeli melalui peruntukan PCG. Bukan sahaja radas dan bahan yang perlu disediakan oleh pihak sekolah, malah banyak lagi persediaan lain yang harus dilakukan. Perkara-perkara lain yang turut diambil kira & dipantau pernah saya kongsikan melalui artikel saya sebelum ini: Peperiksaan Berpusat Amali Sains SPM 2016: Sudah Bersediakah Kita?

Pada peringkat awal, peperiksaan amali sains berpusat ini dirancang untuk dimulakan pada tahun ini. Guru-guru disarankan untuk melatih pelajar bagi menghadapi peperiksaan ini. Kemudian perancangan tersebut ditangguhkan ke tahun hadapan. Maka, calon SPM pada tahun ini dilatih semula untuk menjawab soalan Kertas 3 bertulis. Perkara yang sama terjadi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 pada tahun ini. Perubahan ini sekali lagi menyebabkan guru-guru perlu mengubah semula rancangan pengajaran bagi Kertas 3. Bukanlah guru mahu merungut. Sebagai guru, kita telah dilatih untuk sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan dalam bidang pendidikan. Namun, kesediaan pelajar tidak boleh disamakan dengan kesediaan guru.


Perubahan ke arah peningkatan merupakan sesuatu yang bagus. Akan tetapi, format peperiksaan yang kerap berubah menampakkan perancangan yang tidak cukup teliti daripada pihak kementerian. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum mengambil kira keadaan makmal di semua sekolah akhirnya menyebabkan keputusan tersebut ditarik semula buat sementara waktu. Saya merasakan, pemantauan oleh panel penilai sepatutnya dilakukan sebelum sesuatu keputusan diambil dan bukan sebaliknya. Amatlah diharapkan selepas ini bantuan sewajarnya dihulurkan oleh pihak berwajib kepada sekolah-sekolah yang serba kekurangan agar semua pelajar mendapat peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman menjalankan kerja amali semaksimum mungkin. Sesungguhnya proses belajar itu jauh lebih penting dan bermakna berbanding amali peperiksaan. 


Membina Model Sains Menggunakan Plastisin

$
0
0
Idea ini pada asalnya diambil dari group facebookCikgu Sains Kreatif.
Bagi mengaplikasikan PdP berpusatkan pelajar & mendorong kreativiti dalam kalangan pelajar, mereka diminta untuk membina model biologi dengan menggunakan plastisin.
Secara tidak langsung aktiviti ini dapat meningkatkan kefahaman dan ingatan pelajar terhadap struktur-struktur sel dalam m/p biologi.
Bagi saya, aktiviti ini boleh juga dijalankan untuk m/p lain dalam bidang Sains sama ada pelajar menengah bawah mahupun menengah atas.
Aktiviti dijalankan secara individu dalam kalangan pelajar Ting. 5 Sains.
Markah diambil dan model terbaik diberikan hadiah.
Semua model dipamerkan semasa Karnival Sains & Teknologi 2015.

Model Sel Haiwan:








Model Sel Tumbuhan: 





Model Meiosis & Mitosis: 













Model lain: 




p/s: Saya bukan cikgu biologi. Credit goes to Cikgu Yii Hea Lang.

Eksperimen Daya (Sains Ting. 2, Bab 7 : Dinamik)

$
0
0
Daya merupakan tolakan ataupun tarikan pada sesuatu objek apabila berinteraksi dengan objek lain. 
Apabila terdapatnya interaksi antara dua objek, maka daya akan bertindak ke atas kedua-dua objek tersebut.

Daya tidak dapat dilihat, tetapi kesannya dapat dilihat dan dirasakan. Antara kesan daya adalah:
i)                    Mengubah bentuk objek
ii)                   Mengubah halaju objek (meningkatkan halaju / memperlahankan)
iii)                 Mengubah arah gerakan objek
iv)                 Mengubah kedudukan objek


Set Induksi:
Menunjukkan daya sebagai tolakan / tarikan

(i)   Tikaman penyedut minuman (straw)

Bahan diperlukan: Penyedut minuman, kentang
Prosedur:
1.       Pegang kentang dengan sebelah tangan.
2.       Cucuk straw pada kentang secara perlahan.
3.       Cuba cucuk sekali lagi sepantas yang boleh. Pastikan strawdalam keadaan tegak. Ala-ala tikaman gitu….

Apa yang berlaku:
-          Straw akan bengkok apabila dicucuk dengan perlahan.
-          Apabila straw dicucuk dengan pantas, straw akan dapat menembusi kentang.



Huraian:
-          Apabila dicucuk perlahan, straw akan mampat (compressed) menyebabkannya bengkok.
-          Setelah bengkok, daya kekuatan straw berkurang.
-          Jika straw dicucuk dengan pantas, straw tidak sempat untuk bengkok kerana masa interaksi antara straw dan kentang dikurangkan.
-          Jadi, straw dapat mengekalkan kekuatannya. Maka, straw dapat menembusi kentang.

Tips:
-          Boleh cuba guna bahan-bahan lain seperti cawan polisterin, bawang dan buah epal.






(ii)  Belon kawalan jauh (remote control balloon)

Bahan diperlukan: Belon, tin minuman kosong.
Prosedur:
1.       Letak tin minuman kosong secara melintang di atas meja / mana-mana permukaan rata
2.       Tiup belon, kemudian gosokkan pada rambut anda dalam arah gerakan ke depan & belakang.
3.       Dekatkan belon pada tin minuman (2-3 cm). Gerakkan belon ke belakang secara perlahan-lahan.
4.       Ulang langkah 3 dengan mengubah arah gerakan belon.

                                 sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum 

Apa yang berlaku:
-          Tin minuman tertarik ke arah belon

Huraian:
-          Apabila belon digosok pada rambut, permukaan belon dipenuhi dengan elektron yang bercas negatif.
-          Elektron pada belon akan menarik cas positif pada tin minuman.


Dalam buku teks Sains Tingkatan 2, terdapat 4 jenis daya yang dibincangkan:

1.       Daya magnet

Cadangan aktiviti:
-          Bar magnet
-          Kompas
-          Magnet peti sejuk


2.       Daya elektrostatik

Cadangan aktiviti:

(i)                  Belon kawalan jauh (seperti di atas)
(ii)                Pembaris plastik digosok menggunakan kain bulu, kemudian dekatkan pada cebisan kertas. Cebisan kertas akan tertarik pada pembaris.
-Selain itu, boleh juga dekatkan pada air paip yang mengalir. Air paip akan menjadi bengkok.
-Pelajar saya pula suka mendekatkan pembaris yang bercas itu pada rambut, boleh tengok rambut jadi tegak.


3.       Daya graviti

Cadangan aktiviti:
-          Lambungkan bola pingpong / guli / duit syiling ke atas. Semua objek akan jatuh ke bawah kerana tarikan graviti.
-          Letakkan 2 objek yang mempunyai jisim berbeza dalam pam vakum, jatuhkan pada waktu yang sama (free fall)
-          Kedua-dua objek akan jatuh pada waktu yang sama kerana daya graviti yang bertindak ke atas kedua-duanya adalah sama.


4.       Daya geseran

Cadangan aktiviti:

    (i)  Bawang memanjat

-          Letakkan satu labu bawang di dasar bekas ataupun botol.
(boleh guna bekas plastik / kaca yang ada penutup)


-          Masukkan kacang hijau sehingga 2/3 penuh. Biarkan kacang hijau menutupi keseluruhan bawang. 
(saya tak ada kacang hijau, jadi saya guna biji ketumbar)
Bawang kat bawah ni nampak sebab saya nak tunjukkan bawang tu memang berada di bawah. Kacau sikit biar bawang berada di tengah-tengah dasar bekas. 


-          Tutup bekas. Goncangkan bekas secara menegak.

Apa yang berlaku:
-          Bawang yang pada asalnya berada di bawah akan berada di atas.
-          Geseran yang wujud antara kacang hijau dan bawang akan menolak bawang naik ke atas.


# saya melihat demo aktiviti ini semasa Petrosains Science Show Competition 2014(Sarawak State Level) yang dipersembahkan oleh SMK Tun Abdul Razak, Kuching. 


(ii)                Eksperimen faktor-faktor yang mempengaruhi daya geseran

-          Magnitud gaya geseran diukur dengan menggunakan neraca spring yang menarik objek secara melintang di atas permukaan.
-          Semakin kasar sesuatu permukaan, semakin besar gaya geseran yang terhasil.
-          Selain itu, boleh juga menggunakan kereta mainan yang ditolak di atas permukaan yang berlainan. Perbezaannya dilihat pada sejauh mana kereta tersebut boleh bergerak. Tetapi, mungkin kekuatan daya tolakan sukar dimalarkan.
-          Sebagai alternatif, boleh gunakan kereta mainan yang mempunyai spring yang akan bergerak ke hadapan apabila ditarik ke belakang.
-          Antara jenis-jenis permukaan yang boleh digunakan: meja makmal, lantai simen, lantai jubin, kertas pasir, padang dll.
-          Daya geseran TIDAK dipengaruhi oleh luas permukaan yang bersentuhan.




e-GTukar oh e-GTukar……..

$
0
0
Bulan September tiba lagi. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan guru terutamanya bagi yang berbakti di seberang Laut China Selatan. Tiga bulan berlalu selepas kekecewaan pada Jun lalu, harapan guru kembali mekar dengan tibanya September. Walaupun permohonan untuk bertukar ke Semenanjung belum tentu lagi berjaya, namun apa yang penting usaha tanpa jemu diiringi doa yang tidak putus-putus serta tawakal sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa menentukan rezeki setiap manusia.


Jika mahu dibicarakan tentang EGTukar ni, perbincangannya entah bila akan habis. Terlalu banyak cerita dan pengalaman yang telah dilalui & didengar daripada mereka yang senasib. Namun isu yang sering dibangkitkan tentulah berkaitan dengan alasan yang dipertimbangkan untuk pertukaran.

Tiga alasan utama yang disenaraikan dalam laman e-GTukar:
1.       Mengikut suami / isteri
2.       Ancaman keselamatan
3.       Sakit kronik

Alasan pertama merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh mereka yang memohon pertukaran.  Ramai yang telah berjaya dengan menggunakan alasan ini, tidak kurang juga yang masih kecewa.
Ada rakan guru yang dapat pindah tidak lama selepas berumahtangga, namun ada juga yang masih gagal walaupun anak sudah masuk dua. Begitu juga dengan alasan yang kedua dan ketiga. Ada guru-guru yang berjaya dengan menggunakan alasan tersebut siap dengan surat sokongan doktor / majikan mahupun laporan polis. Tetapi, ada juga yang masih tidak berjaya.

Kadang-kadang bila diperhatikan, guru-guru yang belum betul-betul emergency dapat bertukar, manakala yang sudah hampir ‘sakit jiwa’ tidak dapat pula. Jadi persoalannya, mengapa berlaku situasi seperti ini? Bagaimanakah alasan yang sebenarnya betul-betul dipertimbangkan oleh pihak atasan?
Jika disebabkan tiada kekosongan opsyen di PPD yang dimohon, bukankah sudah dipersetujui bahawa guru yang memohon sanggup ditempatkan di PPD lain. Bertambah hairan apabila ada guru baharu dapat ‘posting’ di Semenanjung, sedangkan guru-guru yang sudah berbelas-belas tahun berkhidmat di Sarawak tidak dapat dipindahkan.


Sistem ‘traffic light’ yang mula digunakan di laman e-GTukar lebih banyak mempamerkan warna merah berbanding hijau. Melihat pada opsyen Sains Tulen memang tiada harapan nak ‘jalan’ lah nampak gayanya. Semua negeri sudah diisi penuh keperluannya. Tetapi, betul ke? 


Sistem ‘traffic light’ menampakkan seolah-olah kebanyakan negeri sudah cukup guru, terutama negeri ‘K’ yang begitu sukar ditembusi temboknya. Ini membuatkan saya terfikir, adakah guru di negara ini memang majoritinya orang ‘K’, sebab setiap tahun yang mohon masuk negeri ‘K’ paling ramai bilangannya. Tak dapat-dapat masuk pula tu sebab asyik penuh saja walaupun saya lihat banyak juga sekolah yang baru dibina di sana. Jika benar keperluan guru di kebanyakan negeri sudah dipenuhi, apa pula akan jadi pada calon-calon graduan pendidikan yang tamat pengajian saban tahun?

Tidak dinafikan tanggungjawab guru adalah untuk mendidik anak bangsa walau di mana sahaja berada. Guru sentiasa sedar amanah yang dipikul harus dilaksanakan sebaik mungkin. Kecewa walau macam mana sekalipun, amanah tetap harus dilunaskan dengan ikhlas dan sabar. Namun, guru juga manusia biasa yang punya rasa untuk pulang ke pangkuan keluarga setelah sekian lama merantau. Salahkah jika mahu berada berdekatan dengan ibu bapa yang semakin hampir ke penghujung usia? Usah diminta mereka dibawa ke tempat kita berkhidmat sekarang kerana kita sudah sedia maklum jawapan yang bakal diterima. Tetapi bila digunakan alasan seperti ini, kita pula yang disuruh berhenti kerja kerana ramai yang sedang menunggu giliran untuk mengisi jawatan guru.

Satu persoalan yang sering bermain di fikiran saya berkaitan alasan pertukaran adalah jika alasan mengikut suami boleh dipertimbangkan, kenapa pula alasan untuk menjaga ibu / bapa yang sudah uzur tidak disenaraikan? Mereka yang berumahtangga dapat bertukar ke Semenanjung selepas beberapa tahun, tetapi jika ada yang ditakdirkan tidak bertemu jodoh dan sudah berada di Sarawak selama lebih 10 tahun tidak dipertimbangkan pertukarannya. Adilkah begitu? Alasan mengikut suami disenaraikan kerana suami adalah syurga bagi isteri. Bukankah ibu adalah syurga bagi seorang anak?


Walau apapun, hanya DIA yang Maha Mengetahui dan menentukan rezeki setiap hamba-Nya……

p/s: artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis, berdasarkan pengalaman peribadi & pengalaman rakan2 sejawatan. 

Definisi Bahagia

$
0
0
Bahagia itu rezeki.
Bahagia itu suatu nikmat.
Bahagia itu harapan setiap insan.
Bahagia itu membawa sinar dalam kehidupan.

Semua orang mahu bahagia.
Semua orang punya definisi sendiri.
Dan semua orang punya cara masing-masing untuk mencapai kebahagiaan.

Ada manusia yang bahagia punya rumah yang besar & selesa
Ada yang bahagia dengan kereta mewah
Ada yang bahagia punya pasangan yang setia di sisi
Ada juga yang bahagia dengan gelak tawa cahaya mata
Ada yang bahagia melihat dan mengelilingi dunia

Bahagia bagi seorang guru…..
Tatkala mencurah ilmu
Melihat anak-anak murid menulis membaca
Mendengar jerit pekik dan hilai tawa
Menghitung garisan kerutan di kepala
Menahan tawa melihat mereka tersengguk di meja

Makanan ruji guru….
Disukai dan dibenci
Mengawal anak-anak yang menendang kerusi dan meja
Melayan setiap pertanyaan yang berjela-jela
Menahan marah dalam dada tatkala kesabaran dicabar
Menahan sebak melihat kertas jawapan ujian kosong tidak bertulis & bertanda

Biar perit
Biar sakit
Baik susah mahupun senang
Guru tetap bahagia
Kerana guru percaya
Dalam kenakalan mereka
Mungkin kelak akan ada yang menarik tangan guru ke pintu syurga

Dan ku bahagia bersama mereka
Meminjamkan masa yang ada
Mengorbankan hujung minggu yang berharga
Biar jauh jarak yang perlu ditempuhi
Biarpun ruang kelas tidak dipenuhi
Ku bahagia melihat usaha gigih mereka
Dan ku bahagia melihat senyuman di wajah mereka……




# 12 Sept. 2015
# Kelas tambahan Kimia
# Pecutan SPM 2015 


 ~ Bahagia Itu Membahagiakan ~

Siri Elektrokimia (SE) & Aplikasinya

$
0
0
Siri Elektrokimia merupakan susunan logam mengikut keelektropositifannya, iaitu kecenderungan sesuatu logam untuk melepaskan elektron bagi membentuk ion positif.
Logam yang lebih elektropositif berada di kedudukan lebih tinggi dalam SE.
Keelektropositifan logam berkurang apabila menuruni SE.

                [ elektropositif=> lepaskan elektron, ion positif]

Pelajar-pelajar pertama kali didedahkan dengan SE semasa Bab 6 Kimia Ting. 4: Elektrokimia, tajuk ‘Elektrolisis Larutan Akueus’. Seterusnya, SEdigunakan semasa pembelajaran Bab 3 Kimia Ting. 5: Redoks bagi tindak balas berikut:
i)        Tindak balas penyesaran logam
ii)       Tindak balas penyesaran halogen
iii)     Tindak balas kakisan logam


Elektrolisis Larutan Akueus

Dalam proses elektrolisis larutan akueus, terdapat 3 faktor yang diambil kira dalam pemilihan ion untuk dinyahcas, iaitu:

1.       Kedudukan ion dalam SE (kes larutan cair & elektrod lengai)

SE digunakan bagi menentukan kation dan anion yang dipilih untuk dinyahcas semasa elektrolisis.


Kation dan anion yang berada di kedudukan lebih rendah dalam SE lebih cenderung dipilih untuk dinyahcas. Larutan akueus mengandungi ion hidrogen, H+ dan ion hidroksida, OH- (ditanda dengan warna kuning). 
Ion H+ merupakan ion yang ketiga paling bawah bagi susunan kation dalam SE, manakala ion OH-merupakan ion yang paling bawah bagi susunan anion.
Jadi, bagi SEMUA kes elektrolisis larutan akueus cair yang menggunakan elektrod lengai (karbon / grafit / platinum), ion H+dan ion OH- akan dipilih untuk dinyahcas KECUALI jika melibatkan ion kuprum (II), Cu2+dan ion argentum, Ag+.
(oleh itu, pelajar tidak perlu hafal SE, hanya perlu ingat ion Cu2+ dan ion Ag+ sahaja)

Persamaan setengah bagi ion H+ dan ion OH-:
Anod     :               2H+ + 2e à H2
Katod    :               4OH-  à 2H2O + O2 + 4e

2.       Kepekatan elektrolit (kes larutan pekat)

Jika elektrolisis dijalankan dengan menggunakan larutan pekat dan elektrod lengai, ion-ion yang terdapat dalam larutan tersebut akan dipilih untuk dinyahcas, KECUALI ion-ion berikut (yang ditanda dengan warna kelabu):
i)        Ion kalium, K+
ii)       Ion natrium, Na+
iii)     Ion florida, F-
iv)     Ion sulfat, SO42-
v)      Ion nitrat, NO3-

Bagi ion-ion tersebut, kedudukan yang tinggi dalam SEmenjadi faktor pemilihan ion H+ dan ion OH- untuk dinyahcas kerana ion H+ dan ion OH- berada jauh lebih rendah dalam SE.

Contoh:

Elektrolit
Pemilihan ion untuk dinyahcas
Anod
Penerangan
Katod
Penerangan
Larutan plumbum (II) sulfat, PbSO4 2.0 moldm-3
OH-
Kedudukan yang lebih rendah dalam SE
Pb2+
Kepekatan ion Pb2+ lebih tinggi daripada ion H+
Larutan kalium iodida 2.0 moldm-3
I-
Kepekatan ion I- yang tinggi dalam elektrolit
H+
Kedudukan yang jauh lebih rendah dalam SE


3.       Jenis elektrod (elektrod logam)

Elektrolisis yang menggunakan logam sebagai elektrod (elektrod tak lengai), elektrod logam tersebut akan bertindak balas.
Dalam kes ini, SE tidak digunakan bagi menentukan pemilihan ion untuk dinyahcas kerana ion logam yang terdapat dalam elektrolit itu sendiri akan dinyahcas.

Contoh: Elektrolisis larutan kuprum (II) sulfat, CuSO4, 0.5 moldm-3menggunakan elektrod kuprum.
Persamaan setengah di:
                    Anod     :   Cu à Cu2+ +  2e
                    Katod    :   Cu2+ +  2e  à Cu

[ Anode ALWAYS RELEASE electron, Cathode ALWAYS RECEIVE electron ]


Tindak Balas Penyesaran Logam

Tindak balas ini melibatkan penyesaran logam daripada larutan garamnya oleh logam yang lebih elektropositif daripadanya, iaitu logam yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam SE.
Jadi, logam yang berada di kedudukan atas dalam SE dapat menyesarkan logam yang berada di bawahnya, dan sebaliknya.


Contoh:

Larutan garam
Logam
Pemerhatian
Inferens
Huraian
Kuprum (II) sulfat, CuSO4
Magnesium, Mg
-Kepingan Mg menipis
-Mendakan perang terbentuk  
-Larutan biru menjadi tidak berwarna
-Mendakan perang adalah kuprum
-Larutan tidak berwarna yang terbentuk ialah larutan magnesium sulfat
-Mg lebih elektropositif daripada Cu @ kedudukan Mg lebih tinggi daripada Cu dalam SE
-Mg menyesarkan Cu daripada larutan CuSO4

Zink nitrat, ZnNO3
Kuprum, Cu
Tiada perubahan
Tiada tindak balas berlaku
-Cu kurang elektropositif daripada Zn @ kedudukan Cu lebih rendah daripada Zn dalam SE
-Cu tidak dapat menyesarkan Zn daripada larutan ZnNO3



Tindak Balas Penyesaran Halogen  

Berlawanan dengan logam, semakin tinggi kedudukan halogen dalam SE, halogen tersebut semakin elektronegatif.
Keelektronegatifan bermaksud kecenderungan untuk menerima elektron bagi membentuk ion bercas negatif (anion).

                [ elektronegatif=> terima elektron, ion negatif]

Jadi, halogen yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam SE adalah lebih elektronegatif dan dapat menyesarkan ion halida yang berada di bawahnya.


Contoh:

Larutan halida
Halogen
Pemerhatian
Huraian
Kalium iodida, KI
Klorin, Cl2
-Larutan tidak berwarna menjadi perang
-Klorin lebih elektronegatif daripada iodin
-Klorin menyesarkan iodin daripada larutan kalium iodida.
-Ion iodida melepaskan elektron dan mengalami pengoksidaan.
-Molekul klorin menerima elektron dan mengalami penurunan.

Kalium klorida, KCl
Bromin, Br2
Tiada perubahan
-Bromin kurang elektronegatif daripada klorin.  
-Bromin tidak dapat menyesarkan klorin daripada larutan kalium klorida.



Kakisan Logam / Pengaratan Besi

Kakisan logam merupakan suatu tindak balas redoks di mana logam akan mengalami pengoksidaan dengan melepaskan elektron bagi membentuk ion logam.
Jika terdapat dua logam bersentuhan, maka logam yang lebih elektropositif (kedudukan lebih tinggi dalam SE) yang akan mengalami pengoksidaan.
Proses pengoksidaan akan menyebabkan logam terkakis.
Proses kakisan logam yang dibincangkan dalam Bab 3 Kimia Ting. 5 adalah proses pengaratan besi.
Pengaratan besi dapat dihalang dengan melindungi besi menggunakan logam yang lebih elektropositif daripadanya, iaitu logam yang berada di kedudukan lebih tinggi daripada Ferum, Fe dalam SE (ditanda dengan warna kuning): 


Jika besi bersentuhan dengan logam yang kurang elektropositif daripadanya, maka besi akan mengalami pengoksidaan dan berkarat.
Proses pengaratan akan menjadi lebih cepat apabila jarak antara dua logam dalam SE lebih jauh.
Selain SE, pengaratan besi / pengoksidaan logam boleh juga ditentukan dengan merujuk kedudukan logam dalam Siri Kereaktifan Logam (SKL).

Catatan:
-          Proses pengaratan berlaku dengan kehadiran oksigen dan air yang bertindak sebagai elektrolit.
-          Pengaratan besi menjadi lebih cepat dengan kehadiran asid / garam kerana apabila ia larut dalam air, larutan yang terbentuk menjadi elektrolit yang lebih baik.
-          Oleh sebab itu, bahan-bahan yang diperbuat daripada besi yang terdapat di tepi pantai (udara masin) atau di kawasan perindustrian (gas berasid) lebih cepat berkarat. 

# DOWNLOAD Penanda Buku Siri Elektrokimia DI SINI 

Siri Kereaktifan Logam (SKL) & Aplikasinya

$
0
0
Dalam Siri Kereaktifan Logam (SKL), logam-logam disusun mengikut kereaktifan tindak balasnya terhadap  oksigen bagi membentuk oksida logam.
Susunan logam dalam SKL adalah sama seperti dalam Siri Elektrokimia, cuma bezanya SKL mengandungi karbon, C dan hidrogen,H (ditanda dengan warna kuning). 


Fungsi karbon dalam SKL adalah bagi menentukan proses pengekstrakan logam.
Fungsi hidrogen dalam SKL adalah bagi menentukan kaedah penentuan formula empirik bagi oksida logam.
Kereaktifan logam berkurang apabila menuruni SKL.
Semakin tinggi kedudukan logam dalam SKL, semakin reaktif tindak balas logam tersebut terhadap oksigen.

Logam
Tindak balas dengan oksigen
Kereaktifan logam
K, Na, Ca, Mg
Terbakar dengan cergas, nyalaan sangat terang
Sangat reaktif
Al, Zn, Fe, Sn, Pb, Cu
Menghasilkan nyalaan  
Reaktif
Hg, Ag, Au
Berbara
kurang reaktif

Logam yang lebih reaktif dapat menyingkirkan oksigen daripada oksida logam yang kurang reaktif daripadanya.
Jadi, logam yang lebih reaktif menerima oksigen dan mengalami pengoksidaan bagi membentuk oksida logam.
Manakala, oksida logam yang kurang reaktif akan kehilangan oksigen dan mengalami penurunan.

Aplikasi Siri Kereaktifan Logam

1.    Penentuan formula empirik oksida logam

 Formula empirik oksida logam ditentukan melalui 2 kaedah:
(i)      Kaedah 1: pemanasan logam menggunakan mengkuk pijar bagi membentuk oksida logam
-          Bagi logam-logam yang lebih reaktif daripada hidrogen dalam SKL
-          Contoh: MgO, Al2O3, ZnO

(ii)    Kaedah 2: penurunan oksida logam menggunakan gas hidrogen kering
-          Bagi logam-logam yang kurang reaktif daripada hidrogen dalam SKL
-          Contoh: CuO, FeO, PbO  

2.    Penentuan kaedah pengekstrakan logam

(i)      Logam-logam yang lebih reaktif daripada karbon dalam SKL (K, Na, Ca, Mg, Al) diekstrak menggunakan kaedah elektrolisis bijih lebur (elektrolisis leburan) menggunakan elektrod karbon

(ii)    Logam-logam yang kurang reaktif daripada karbon dalam SKL ( Zn, Fe, Sn, Fe, Pb) diekstrak daripada bijihnya, iaitu oksida logam menggunakan karbon.
Oksida logam dipanaskan bersama karbon dalam relau bagas.
Karbon yang lebih reaktif akan menurunkan oksigen daripada oksida logam.

(iii)   Logam-logam yang sangat kurang reaktif (Cu, Hg) diekstrak dengan cara memanaskan sulfida logam dalam udara

(iv)  Ag dan Au paling kurang reaktif dan wujud sebagai logam bebas dalam kerak bumi. 

# DOWNLOAD Penanda Buku Siri Kereaktifan Logam
 DI SINI 


Penanda Buku SE dan SKL

$
0
0
Siri Elektrokimia (SE) dan Siri Kereaktifan Logam (SKL) merupakan dua siri susunan logam dan ion logam yang sangat penting dalam mata pelajaran Kimia.
SE mula digunakan semasa Bab 6 Kimia Ting. 4 (Elektrokimia), manakala SKL diperkenalkan semasa Bab 3 Kimia Ting. 5 (Redoks).
Bagi memudahkan pelajar merujuk dan menghafal kedudukan logam / ion dalam SE dan SKL, saya menghasilkan penanda buku SE dan SKL bagi memudahkan pelajar membawanya ke mana-mana, terutamanya setiap kali sesi PdP Kimia.


Saya memberikan pelajar penanda buku ini sejak mereka Ting. 4 untuk digunakan sehingga Ting. 5.
Walaupun SKLhanya digunakan semasa di Ting. 5, tetapi saya memberikan pendedahan awal kepada Ting. 4. Ini kerana proses penentuan formula empirik oksida logam berkaitan dengan kereaktifan logam berbanding dengan hidrogen dalam SKL.   

Huraian tentang SE dan SKL serta tanda-tanda yang terdapat dalam penanda buku ini boleh dirujuk di sini:

Langkah penghasilan penanda buku SE & SKL:

1.       Cetak Siri Elektrokimia1& Siri Elektrokimia 2 secara depan & belakang (2-sided page)



2.       Cetak Siri Kereaktifan Logam


3.       Laminate


4.       Gunting kepada 4 bahagian



Jadi, setiap pelajar akan dapat 2 penanda buku: 1 penanda buku SE (2 bahagian), dan 1 lagi penanda buku SKL



Semua softcopy adalah dalam bentuk PDF bagi memastikan format tulisan & bentuk (shape) kekal semasa proses muatnaik. Jika mahu edit, boleh tukar kepada Microsoft Word DI SINI. 

Koleksi Pantun & Teks Pengacara Majlis

$
0
0

Membina Model Mitosis Menggunakan Benang

$
0
0
Lanjutan daripada aktiviti membina Model Sains Daripada Plastisin, kami menambahbaik aktiviti tersebut dengan membina model menggunakan benang.

Kelebihan membina model sains menggunakan benang:
       i) lebih mudah
       ii) lebih cepat
      iii) lebih murah
      iv) lebih selamat

Aktiviti ini dijalankan semasa pelaksanaan PLC - Lesson Study bagi mata pelajaran Sains Ting. 5, tajuk Pembahagian Sel (Mitosis).

Secara ringkasnya, aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut:

       1. Pelajar (25 orang) dibahagikan kepada 5 kumpulan
       2. Setiap kumpulan diberikan tajuk untuk 1 fasa dalam mitosis
       3. Setiap pelajar membina model fasa mitosis dengan menggunakan benang



       4. Ahli kumpulan membuat perbincangan tentang huraian bagi fasa mitosis
       5. Semua pelajar membentuk kumpulan baru dengan setiap ahli kumpulan mewakili setiap fasa dalam mitosis.
       6. Pelajar menyusun model fasa mitosis mengikut turutan.


       7. Setiap pelajar kemudiannya menerangkan tentang fasa mitosis kepada ahli kumpulan lain.



Antara hasil pelajar:







Selamat Jalan, Tuan Pengetua.....

$
0
0
Minggu pertama selepas cuti pertengahan penggal kedua.
Hari kedua persekolahan, kami dikejutkan dengan satu berita yang tidak disangka-sangka.
Tuan Pengetua kami menerima surat pertukaran ke SMK Bukit Assek, Sibu.
Kekosongannya pula akan digantikan oleh bekas PK1 dari SMKSA Sarikei.


Pertama kali mendengar desas-desus tentang berita tersebut, ingatkan mereka bergurau dan buat lawak. Rupa-rupanya betul.
Maka, nak tak nak terpaksalah kami menerima hakikat bahawa kami akan kehilangan seorang pengetua yang cukup sporting. Pengetua juga nak tak nak terpaksalah menyerah tugas.

Hari ini hari terakhir Tuan Pengetua bersama kami. Hanya sekadar majlis perpisahan yang cukup sederhana mampu kami berikan. Kad-kad ucapan daripada para pelajar disampaikan oleh lembaga pengawas. Jabat tangan bersama Pengetua dilakukan dari kelas ke kelas.



Sempat juga kami 'pinjam' Pengetua sekejap untuk bergambar bersama di kelas 4 Sains.








Seterusnya, acara jamuan ringkas diadakan di Pusat Sumber bersama para guru dan staf sokongan. Juga penyampaian amanat terakhir Tuan Pengetua dalam suasana yang cukup syahdu.


Lebih kurang sebulan lepas, saya potong kek hari lahir di bilik ini. Tak sangka orang yang potong kek di sini selepas saya adalah Tuan Pengetua sendiri.




Beliau adalah Pengetua yang selama ini tidak pernah berkira tentang cuti.
Sangat mudah bertolak ansur dengan guru-guru.
Mendengar segala luahan dan rintihan.
Sangat sempoi, cool dan sporting.
Dan mampu bersabar dengan segala kerenah orang bawahannya.



Buat Tuan Pengetua, En.Kandou ak Ngadi, terima kasih atas segalanya.
Terima kasih untuk segala sokongan dan bimbingan.
Mohon ampun dan maaf untuk segala keterlanjuran kata dan perbuatan.


Pergimu dirasai
Ketiadaanmu bakal dirindui
Kebaikanmu diingati
Keramahanmu dikenangi

Selamat jalan, Tuan Pengetua..... !




p/s: nak pindah jugak....uhuk...uhuk...


Viewing all 130 articles
Browse latest View live