Quantcast
Channel: Cikgu Nurul
Viewing all 130 articles
Browse latest View live

Strategi, Tips & Borang Pelaksanaan PLC

$
0
0
PLC adalah merupakan singkatan kepada Professional Learning Community atau Komuniti Pembelajaran Profesional. PLC menggalakkan kolaborasi yang lebih aktif dalam kalangan guru bagi menambahbaik kualiti PdPc dalam bilik darjah. Saya percaya semua guru pasti sudah maklum bahawa setiap PLC yang dilaksanakan boleh didaftarkan dalam laman e-SPLKPM. Rugi jika kita laksanakan PLC tapi tidak didaftarkan sebagai LaDaP. 


Terdapat banyak strategi yang digunakan dalam PLC, boleh rujuk dalam laman e-SPLKPM. Cuma di negara kita setakat ini lebih berfokuskan kepada 6 strategi berikut: 

1. Lesson Study 

Lesson Study boleh dikatakan antara strategi PLC yang paling rumit dan mengambil masa. Namun, sebenarnya ia akan menjadi lebih mudah apabila kita sudah biasa menjalankannya. Dalam strategi Lesson Study, kita berbincang kaedah PdPc terbaik melalui rancangan pengajaran (RPH). 

Lesson Study melibatkan 3 fasa: 

(i) Pembinaan RPH melalui perbincangan guru dalam kumpulan (biasanya satu panitia) 
     - pemilihan aktiviti 


(ii) Pelaksanaan PdPc menggunakan RPH yang telah dibina bersama & pemerhatian oleh ahli-ahli kumpulan Lesson Study 


(iii) Refleksi PdPc dan penambahbaikan RPH 
       - adakah aktiviti yang dipilih dapat membantu pelajar menguasai tajuk yang diajar? 


Sekiranya objektif yang disenaraikan dalam RPH tersebut dapat dicapai melalui aktiviti yang dijalankan, maka kitaran Lesson Study boleh dihentikan setakat fasa (iii) dan boleh diteruskan dengan perbincangan RPH untuk tajuk yang lain pula. Namun, jika banyak kekurangan yang dikenal pasti dan penambahbaikan dibuat, maka RPH yang telah dikemaskini diuji semula melalui kitaran yang seterusnya dengan mengulang semula proses (i) - (iii). 

Tips: Strategi Lesson Study boleh digabungkan dengan strategi lain seperti Teacher Sharing dan Video Critique. 


2. Peer Coaching 

Melibatkan 2 orang guru, biasanya guru senior dan guru junior yang bertindak selaku Coach dan Coachee. Ada 3 pendekatan yang boleh dipilih: 

(i) Coachee mengajar, Coach menjadi pemerhati 
(ii) Coach mengajar, Coachee menjadi pemerhati 
(iii) Coach dan Coachee mengajar bersama. 

Tips: boleh dijalankan semasa proses pencerapan, juga boleh digabungkan dengan strategi Teacher Sharing. 



3. Teacher Sharing Session 

Sebenarnya, kita selaku guru sudah tentu selalu berbincang tentang kaedah PdPc sesama ahli panitia, cuma tak buat laporan saja kan. Jangan risau, laporan TSS senang sahaja, hanya isi sahaja borang yang telah disediakan dalam tool kit TSS. Jangan lupa ambil gambar dan lampirkan dalam laporan. 

Tips: TSS boleh dijalankan secara berkumpulan mahupun antara 2 orang guru sahaja pun boleh. Setiap kali berbincang, ambil gambar terus, laporan boleh disediakan kemudian. 



4. Learning Walks 

Strategi PLC yang paling rileks. Apa tidaknya, sambil-sambil berjalan sahaja sudah boleh hasilkan satu laporan PLC. Tapi, pastikan ada ilmu yang dikutip melalui pemerhatian terhadap pengajaran guru lain. Bukan berjalan kosong sahaja ye. Jika bosan atau mengantuk dalam bilik guru, jalan-jalan ambil angin sambil menimba ilmu. Best kan..? 

Tips: Masa berjalan tu, terus bawa siap-siap borang Learning Walks, isikan terus. Jika tidak nanti lupa apa yang diperhatikan dan laporan jadi bertangguh. Akhir sekali, laporan tidak dibuat, maka rugi lah. 



5. Video Critiques 

Video diambil semasa proses PdPc, kemudian ahli kumpulan PLC menonton semula video tersebut. Sambil-sambil itu, ahli kumpulan menilai kaedah yang digunakan serta membincangkan penambahbaikan terhadap kaedah PdPc sedia ada. 

Tips: Video Critique boleh menjadi alternatif sekiranya tidak semua ahli kumpulan / ahli panitia dapat hadir semasa pelaksanaan Lesson Study atau Peer Coaching. Malah boleh dikongsi melalui aplikasi mudah alih seperti Telegram / WhatsApp / Skype dll. Proses perbincangan lebih meluas dan lebih fleksibel. 


6. Data Analysis 

Data Analysis biasanya melibatkan proses penilaian terhadap ujian/peperiksaan melalui analisis item yang dibuat. Kita tengok tajuk mana yang sukar dikuasai oleh pelajar, pelajar mana yang perlu diberikan perhatian lebih. Ini pun dah biasa sangat kita buat kan, cuma tak dokumentasikan saja, betul tak? 



Catatan: 

Perlu diingat bahawa setiap strategi PLC yang dijalankan adalah bertujuan untuk menilai dan menambahbaik pedagogi dalam bilik darjah. PLC dilaksanakan BUKAN untuk menilai guru yang mengajar. Guru-guru dalam kumpulan PLC juga perlu lebih bersikap terbuka dan bersedia untuk memberikan kerjasama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan PLC secara berkualiti. 


TOOL KIT PLC 

Berikut merupakan senarai borang berkaitan yang perlu diisi bagi melengkapkan Laporan PLC. 
Selain daripada borang-borang ini, sertakan bersama RPH bagi tajuk yang dilaksanakan PLC. 



Untuk contoh laporan PLC: 

Contoh Laporan TSS & Jurnal Peer Coaching 

Contoh Laporan PLC Teacher Sharing & Jurnal Peer Coaching

$
0
0
Dalam entri saya yang sebelum ini, Strategi, Tips & Borang Pelaksanaan PLC, saya sudah kongsikan senarai borang yang perlu ada dalam Laporan PLC bagi setiap strategi yang dijalankan. 

Biasanya, panitia saya hanya isi borang-borang tersebut secara bertulis tangan sahaja, kecuali ada beberapa borang yang ditulis secara bertaip. 


Untuk entri kali ini, saya kongsikan laporan bertulis bagi strategi Teacher Sharing serta penulisan Jurnal bagi Peer Coaching. Kami hanya tulis secara ringkas sahaja, tidak lah terlalu terperinci. Bagi saya, apa yang paling penting adalah bukan panjangnya laporan, tetapi sejauh mana PLC yang dijalankan memberi impak kepada kita sebagai guru. 

Setakat ini, semua laporan yang dihantar kepada pihak PPD tidak menerima sebarang komen negatif, malah sekolah saya sebelum ini (semasa PLC ini dijalankan) merupakan antara sekolah yang paling aktif menjalankan PLC. 

Contoh Laporan PLC (m/pelajaran Sains) : 



Imbasan 2018: Satu Tahun yang Penuh Warna di Maktab Tentera Diraja

$
0
0
Tahun 2018 semakin menghampiri penghujungnya. Sedar tak sedar, sudah satu tahun saya bermastautin di KL setelah 7 tahun merantau di Bumi Kenyalang. Banyak pengalaman yang telah dilalui, banyak cabaran yang telah ditempuh. Ada suka dan ada duka, menjadikan hidup penuh warna.


Berbeza & Unik

Seperti yang pernah saya coretkan dalam entri saya yang terdahulu:“100 Hari di MTD”, maktab ini cukup berbeza daripada mana-mana sekolah lain di negara kita. Pembentukan diri Putera yang bukan sahaja mengambil kira aspek akademik, malah turut menekankan aspek jati diri, sahsiah, kepimpinan dan ketenteraan. Walau apa pun, aspek pembelajaran Putera dalam bidang akademik tidak pernah dipinggirkan.

Saya, secara peribadi, banyak menerima soalan berkaitan dengan cuti, terutamanya pada hujung tahun. Sebenarnya, cuti sekolah di MTD sama sahaja dengan cuti di sekolah-sekolah lain seperti yang diperuntukkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Cuma, terdapat beberapa program dan aktiviti yang dijalankan semasa cuti sekolah, misalnya Program Kepimpinan & Jati Diri yang diadakan semasa cuti pertengahan penggal 1 (bulan Mac).

Manakala pada hujung tahun pula, kami sibuk dengan persiapan Perbarisan Tahunan Putera (POP) yang biasanya diadakan 1-2 minggu selepas peperiksaan SPM berakhir. Jadi, ada guru yang perlu menyelesaikan tugasan tertentu, ada juga yang boleh balik kampung dulu, bergantung pada jenis tugas yang diterima. Makan Malam Tahunan (annual dinner) maktab pula selalunya diadakan dalam bulan Disember, tak lama sebelum POP.

Hmmm….. harap-harap rakan-rakan guru dari sekolah lain dan kaum kerabat dah boleh faham bab cuti di MTD ni. Kalau tak diterangkan dengan elok, maunya orang tua di kampung merajuk hehehe……


Macam Mana Nak Masuk MTD?

Ini juga merupakan antara soalan paling famous yang selalu orang bertanya pada saya, baik daripada golongan guru mahupun ibu bapa. Guru di MTD dibekalkan oleh KPM, bergantung kepada kekosongan & permintaan daripada maktab. Lebih kurang macam di sekolah biasa juga, ikut posting oleh KPM.

Untuk ibu bapa & lepasan PT3 yang berminat untuk masuk MTD, permohonan kemasukan ke MTD dibuka pada hujung tahun. Untuk kemasukan tahun 2019, permohonan sudah pun ditutup dan calon akan dipanggil untuk menghadiri temuduga pada bulan Januari nanti. Satu perkara suka saya pesan: kena ubah mindset. Program & aktiviti Putera MTD cukup banyak dan padat. Rujuk poin saya di atas & entri 100 Hari di MTD. Jadi, keseimbangan & kekuatan dari segi mental, fizikal dan emosi adalah sangat penting. Kena pandai bahagikan masa. Jika diikutkan sangat rasa penat, belajar kelaut lah jawabnya.


Kolaborasi

Satu perkara yang cukup menarik dan memberi banyak kelebihan di MTD adalah jaringan dan jalinan antara kami dengan sekolah-sekolah luar termasuklah SBP dan sekolah harian biasa. Lebih-lebih lagi Ketua Panitia Kimia saya adalah merupakan seorang Guru Cemerlang. Banyak program kolaborasi yang telah dianjurkan dan disertai. Antaranya adalah Program Kolaborasi Bersama SBPI Rawang dan Program Kolaborasi Santai Tapi Sampai sebelum SPM baru-baru ini.


Banyak kelebihannya bila kita jalankan program kolaborasi seperti ini, bukan sahaja kepada para pelajar, malah guru-guru juga boleh berkongsi ilmu dan bertukar-tukar idea berkaitan PdPc, pedagogi serta teknik menjawab soalan SPM. Putera-putera MTD cukup seronok bila dapat join program kolaborasi ni, dia punya semangat nak belajar tu lain macam hehe….


Setahun Bersama Regulus

Regulus adalah gelaran bagi ‘anak-anak sulung’ saya di MTD, batch 2017/2018. Memandangkan saya masuk MTD pada hujung tahun 2017, jadi saya cuma sempat bersama mereka selama setahun sahaja. Namun, setahun bersama mereka sudah cukup memberikan 1,001 pengalaman berharga. Tidak keterlaluan jika saya katakan, saya lebih banyak mengenali maktab dengan lebih mendalam melalui interaksi saya bersama boy. Rasa bersyukur sebab batchpertama yang saya ajar di MTD adalah batchyang bagus. Tapi, standard lah boys kann…. alaa….faham-faham ajelah budak laki dalam kelas macam mana. Banyak kali juga saya ‘menyinga’, dan banyak kali juga ‘cair’ haha…..

Bersama kompeni Bravo semasa Kejohanan Balapan & Padang 

Malam Penutup RMC-AFAPS Exchange Programme 

Semasa majlis pelancaran Program Pecutan A+ Peringkat Kebangsaan 

Program Buddy Kimia 

Will definitely miss all of them!


Imbasan Program / Aktiviti

Program dan aktiviti di MTD ni sangat lah banyak. Dulu masa di sekolah lama, rajin lah jugak nak senaraikan satu persatu. Kat sini, ada official photographer, website, facebook and official YouTube. Korang tengok kat situ je lah.

Cuma ada beberapa program yang saya rasakan mungkin tiada di sekolah lain. Jika ada pun, mungkin tidak di semua sekolah.

i) Program Kepimpinan di Mulu, Sarawak

Ada beberapa tempat yang dipilih bagi Program Kepimpinan semasa cuti bulan 3, ada ditulis dalam entri sebelum ini. Saya terpilih untuk mengikuti trip ke Mulu selama 6 hari 5 malam. Lama….dah lah takde line kat sana. Balik dah sibuk dengan urusan lain, terus tak sempat nak update. Sempat pos dalam blog untuk 2 hari je hehe…


Trip ke Mulu ni banyak memberikan pengalaman pertama pada saya:

Pertama kali masuk Taman Negara

Pertama kali masuk gua

Pertama kali naik pesawat tentera

Pertama kali duduk di kokpit pesawat (sepanjang perjalanan Mulu-Kuching)

Pertama kali Canopy Walk. Muka senyum, tapi dalam hati punya berdebarrr.
2,3 jambatan yang mula-mula ok lagi, dah masuk jambatan ke-8 dan seterusnya tak habis-habis tanya “bila nak habis niiii………”

p/s: Mulu Canopy Walk ni antara canopy walk atas pokok yang paling panjang di dunia


ii) Kejohanan Tinju Inter-Coy 2018

Saya tak pernah minat tinju, dan tak pernah tengok orang lawan tinju. Pertama kali tengok di Mess Putera semasa saringan, mula-mula tengok berdiri, akhir sekali terus melekat di kerusi haha….. Perlawanan akhir diadakan secara rasmi dengan disaksikan oleh Komandan MTD.



iii) Latihan Menembak Staf MTD

Ini antara aktiviti tahunan katanya. Semua guru & staf diberi peluang untuk menembak, siap buat pertandingan lagi. Cuma tahun ni saya sempat merasa pistol je, M16 belum lagi. Boytak payah cakap laa….diorang dah biasa latihan guna pistol & M16 ni.


iv) Program Gallery WalkKimia 2018

Merupakan program terbesar Panitia Kimia pada tahun ini. Dijalankan secara usahasama dengan Panitia Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan. Banyak keluh kesah nak jayakan program ni. Mengikut perancangan, ia dibuka kepada pelajar-pelajar sekolah luar untuk datang.  Tapi atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, maka ia hanya dijalankan di peringkat dalaman maktab sahaja.

Namun, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Insya-Allah, jika ada rezeki pada tahun hadapan, kita akan anjurkan lagi dan buka kepada sekolah luar.



v) Malam Teater dan Puisi MTD 2018

Bertemakan zaman kesultanan Melayu, pelbagai persembahan disajikan oleh para putera.



vi) Kursus Kepimpinan Bakal Pemegang Pangkat di Photon Valley, Hulu Langat

Kursus ini melibatkan putera-putera Ting. 4 yang dicalonkan sebagai Pemegang Pangkat untuk tahun hadapan. Saya ke sana sebagai wakil guru skuad bagi kompeni Bravo.

Perkongsian pengalaman oleh bekas Komando 


vii) Program Pertukaran Pelajar RMC-AFAPS di Thailand

Rezeki yang datang tanpa disangka-sangka. Saya sepatutnya perlu handle slot Kimia di Benum Hill Resort pada masa itu, tapi last minutedipilih sebagai guru pengiring ke AFAPS, Thailand bersama dengan beberapa orang pegawai tentera, KSM dan termasuk juga Komandan. Ikut perintah je lah…. Lama juga, dalam seminggu macam tu. Tapi, cukup berbaloi. Banyak pengalaman baru dan banyak berjalan hehe…
Ini juga antara entri yang sekian lama tertangguh, disebabkan kekangan masa, tambahan pula jadual semasa di sana cukup padat.

Lawatan ke kompleks Grand Palace 

Melihat proses PdPc dalam kelas 

Makmal Kimia di AFAPS 

Pengalaman dinner atas cruise 

Pengalaman kali pertama flying fox 


viii) Eksesais Nasi Mentah 2018 di Port Dickson

Secara ringkasnya disebut sebagai Ex Nasi Mentah. Merupakan program yang melibatkan semua putera Ting. 4, meliputi latihan-latihan ketenteraan termasuklah latihan survival dalam hutan. Tahun ini dijalankan di Lapang Sasar Menyala Port Dickson (ok lah sikit bagi guru pengiring).

Selalunya Ex Nasi Mentah mengambil masa hampir 2 minggu. Memandangkan tahun ini saya perlu menjadi pengawas SPM, maka sempat ikut program ni selama 4 hari sahaja. Sempat join latihan Map Reading & Compass Marching dengan boy. 6 jam dalam hutan oiiii…… penat toksah cakap lah, tapi best! Rasa macam nak join lagi tahun depan, tapi kalau boysesat lagi, aku naik 3 tan (trak tentera) balik kem.



ix) Passing Out Parade (POP) 2018

Merupakan acara kemuncak bagi Putera Ting. 5 yang bakal menamatkan pengajian mereka di MTD. Dimulakan dengan acara perbarisan di padang kawad, kemudian diikuti dengan Majlis Penyampaian Hadiah di Mess Putera. POP pada tahun ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan selaku Pegawai Tabik Hormat.



Cabaran & Ujian

Tidak dapat dinafikan, banyak juga cabaran dan ujian yang dihadapi sepanjang berada di sini. Namun, itu semua adalah lumrah kehidupan. Di mana-mana tempat pun sama. Bukan namanya hidup jika tiada jatuh bangun. Tak semua orang suka kita. Apa yang penting, Allah s.w.t. tahu niat kita, DIA tahu apa yang kita buat. Sabar, Redha, Tawakal. Rezeki kita, DIA yang bagi.



Target 2018 & Impian 2019

Alhamdulillah…. Target peribadi untuk tahun 2018 berjaya dicapai. Cuma tinggal proses akhir sahaja. Harap-harap semuanya berjalan lancar hingga ke penghujung. (errr……tiada kaitan dengan jodoh ok, sila jangan salah faham =D)

Impian 2019? Cukuplah jika boleh lalui hidup dengan tenang dan gembira bersama orang-orang terdekat tanpa terlalu banyak drama. Juga sentiasa berusaha untuk menjadi pendidik yang lebih baik daripada saya yang sebelumnya. Harapnya boleh budayakan lagi PAK 21 dalam kelas.

Terkenang kata-kata mantan Pengetua di Sarawak, Mr. Lau, kata beliau:

“Whatever happens, always look at the bright side.”


Galeri Gambar Rasmi:



Pembudayaan "Team Teaching" Sebagai Salah Satu Strategi PLC

$
0
0
Pengenalan 

'Team Teaching' merupakan suatu pendekatan di mana dua orang guru mengajar bersama dalam bilik darjah. Dalam bahasa mudahnya, 'teach as one team'. Merupakan hasil cetusan idea Pengetua saya sebelum ini yang ingin menggalakkan kolaborasi yang lebih aktif dalam kalangan guru bagi menghasilkan kualiti PdPc yang lebih mantap. 

Konsep 

Sebenarnya konsep Team Teaching ni diubahsuai daripada strategi PLC Peer Coaching model 3, iaitu Coach dan Coachee mengajar bersama. Cuma bezanya kami tidak menggunakan istilah Coach dan Coachee, di mana kedua-dua guru yang terlibat boleh terdiri daripada guru yang sebaya, mahupun senior dan junior, bergantung kepada keperluan. Guru-guru boleh saling bantu membantu, berkongsi ilmu serta berkongsi pandangan dan idea tentang PdPc dalam bilik darjah. Tiada istilah Guru A lebih hebat daripada Guru B atau sebaliknya. 


Pelaksanaan 

1. Pilih Partner 

Sesiapa sahaja boleh menjadi partner untuk Team Teaching, cuma biasanya dipilih dalam kalangan satu panitia yang sama. Sebelum ini partner saya untuk Team Teaching adalah Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Mr. Damasus Julian. Masa tu saya perlu mengajar Sains Ting. 1 KSSM dalam BI untuk program Dual Language Programme (DLP). Beliau banyak membantu saya dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris semasa mengajar. Dalam masa yang sama, beliau juga dapat idea-idea baharu melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti Sains yang menarik yang boleh beliau selitkan dalam pengajaran B.Inggeris. 


2. Fasa Pra-Konferensi 

Sebelum sesi PdPc yang dipilih untuk dijalankan Team Teaching, ahli kumpulan Team Teaching perlu duduk berbincang bersama untuk merancang RPH serta memilih aktiviti yang paling menarik dan sesuai untuk dijalankan bagi subtopik yang akan diajar, sama ada dalam bilik darjah atau luar bilik darjah. Masa ni juga berbincang untuk pembahagian slot untuk mengajar bagi kedua-dua ahli Team Teaching. 

3. Fasa Pengajaran 

Salah satu cara yang boleh digunakan adalah mengajar secara bergilir-gilir mengikut slot dalam RPH. Kemudian, semasa aktiviti hands-on dijalankan, kedua-dua guru boleh saling memantau anak murid, jika seorang di hadapan, seorang lagi di bahagian belakang. Jadi, tiada lagi masalah murid di belakang main-main semasa aktiviti dalam kelas. 


4. Fasa Pasca-Konferensi 

Selepas sesi PdPc tamat, kedua-dua guru duduk berbincang sekali lagi untuk membuat refleksi terhadap kelas sebelum ini. Kemudian, buat laporan menggunakan borang Team Teaching. 


Kelebihan 

1. Dapat idea-idea baharu daripada rakan Team Teaching 
2. Lebih mudah mengawal bilik darjah 
3. Pelajar lebih fokus & lebih mudah faham 
4. Partner Team Teaching boleh 'back up' sekiranya ada perkara yang kita kurang pasti atau lupa semasa mengajar. 
5. Mengelakkan guru daripada 'syok sendiri' semasa mengajar 


Cabaran 

1. Perlu korbankan lebih banyak masa untuk mengajar. Waktu mengajar kita yang tertakluk dalam Jadual Waktu ditambah pula dengan waktu kita masuk mengajar untuk kelas partner Team Teaching 

2. Perlu merendah diri dan bersedia untuk kritikan membina. Elakkan daripada kita rasa kita sudah cukup hebat. Sentiasa bersedia untuk mengubahsuai dan menambahbaik pendekatan pengajaran kita dalam bilik darjah. 

3. Kedua-dua guru perlu bersikap terbuka dan saling memberikan kerjasama. Sentiasa bersedia untuk berbincang dan berkongsi idea. 

4. Jadual waktu yang bertindih antara partner Team Teaching. Untuk hal ini, perlu mohon bantuan daripada PK1 atau AJK Jadual Waktu untuk set waktu mengajar kita agar tidak bertindih dengan partner Team Teaching supaya kita boleh masuk kelas partner. Ataupun satu lagi cara adalah dengan samakan waktu mengajar kita dengan partner untuk mata pelajaran yang sama. Semasa jalankan Team Teaching, dua kelas itu boleh digabungkan. 


Laporan Team Teaching

Kami tidak menggunakan borang dalam tool kit Peer Coaching, sebaliknya menghasilkan templat borang sendiri khusus untuk Team Teaching. Jadi, tidak perlu tulis Jurnal Peer Coaching. 


Contoh Laporan Team-Teaching: 





Templat Kosong Borang Team Teaching

p/s: Dalam laporan ditulis 'Borang Peer Coaching' sebab laporan ni kami hantar ke PPD sebagai strategi Peer Coaching. Cuma di peringkat sekolah disebut sebagai 'Team Teaching'. 


Kalau nak tengok contoh saya tulis Jurnal Peer Coaching, boleh klik link di bawah:

Contoh Laporan Teacher Sharing & Jurnal Peer Coaching  

Senarai Semak Urusan Pemindahan Kereta dari Sabah/Sarawak ke Semenanjung

$
0
0
Pertama sekali, tahniah kepada semua guru yg dapat berpindah utk sesi pertukaran bulan Jun ini.
Bagi yg bertukar dari Sabah/Sarawak ke Semenanjung, sudah tentu banyak perkara & harta benda yang perlu diuruskan.
Saya nak kongsi tentang urusan pemindahan kereta.

Bagi guru yang perkhidmatannya di SS melebihi 5 tahun, guru layak dapat elaun kargo. Yang ni kena tunggu surat rasmi dari KPM & perlu berurusan dengan kerani sekolah. Prosesnya agak lama kerana perlu tunggu tender dsb.

Bagi mereka yang tak dapat elaun kargo (seperti saya), nak tak nak terpaksalah uruskan sendiri. Berikut adalah senarai semak perkara yang perlu dilakukan untuk proses penghantaran kereta ke semenanjung:

1. Pilih syarikat kargo yang sesuai & berpatutan
~ Buatlah carian melalui laman web atau media sosial atau bertanyakan rakan2 lain yang ada pengalaman
~ Survey beberapa syarikat untuk bandingkan servis, pakej & harga
# saya dulu guna servis Hantarkeretaku.com (Rizstwo Trading & Services)

2. Tentukan servis yang diperlukan
~ Penghantaran kereta sahaja, atau
~ Penghantaran kereta & barang (guna kontena)

3. Pilih pakej yang diperlukan
~ Port to port
~ Door to port
~ Port to door
~ Door to door
Harga sudah tentu berbeza. So, choose wisely.
# saya pilih door to door. Maksudnya syarikat kargo akan ambil kereta kita di rumah & bila sampai port klang, mereka akan hantar kereta kita sampai ke rumah juga.

4. Ketahui terma & syarat
~ Hubungi syarikat kargo. Biasanya mereka akan terangkan mengenai syarat2 yang berkaitan, termasuklah barang2 yang dibenarkan ada dalam kereta semasa penghantaran & barang2 larangan.
~ Ikut saja semua syarat, jangan ingkar. Kalau tak, menangislah kereta kena tahan dengan kastam.

5. Pilih tarikh penghantaran
~ Perjalanan kapal ulang alik ambil masa beberapa hari, custom clearance lagi. Jadi, kapal tak berlayar setiap hari.
~ Hantar lah kereta dekat dengan tarikh pergerakan kapal, supaya kita pun tak menunggu terlalu lama.
~ Tempoh penghantaran biasanya mengambil masa 1-2 minggu.

6. Pelepasan daripada bank
~ Jika kereta masih dalam pinjaman (loan), perlu maklumkan kepada pihak bank. So, takdelah bank ingat kita nak bawak lari kereta.
~ Bawak kita punya surat arahan pertukaran stesen bertugas, tunjuk pada pihak bank.
~ Bank akan keluarkan satu surat pelepasan (release letter) untuk kereta tersebut dipindahkan ke semenanjung. Kalau takde release letter ni, tak pasal2 nanti kereta kena tahan dengan kastam.
~ Alang-alang tu, terus mintak salinan asal geran kereta (original copy of green card). Selalunya geran asal akan diberi oleh bank lepas kita dah habis bayar kan, tapi takkanlah dah habis loan nanti nak datang balik SS semata2 nak ambik geran kereta ye tak. Biasanya bank akan bagi.

7. Cukai Jalan (Road tax)
~ Kadar bayaran cukai jalan di SS adalah lebih rendah daripada Semenanjung
~ Mengikut peraturan, kereta yang guna cukai jalan SS hanya boleh digunakan di sana saja
~ Tapi dalam situasi tertentu yang menyebabkan kita terpaksa bawa kereta itu ke Semenanjung, cukai jalan SS itu boleh sah digunakan dalam tempoh 3 bulan.
~ Dalam tempoh 3 bulan itu, pastikan dokumen yang mengesahkan pemindahan kereta spt shipping invoice sentiasa ada bersama & ditunjukkan kepada pihak berkuasa jika perlu (misalnya semasa road block)
~ Selepas 3 bulan, jika cukai jalan kita belum tamat tempoh, kita hanya perlu bayar kadar perbezaan harga cukai jalan bagi bulan yang berbaki sahaja. Rujuklah ke JPJ.

8. Barang dalam kereta
~ Mungkin ada syarikat benarkan letak barang dalam kereta semasa penghantaran, ada juga yang tidak benarkan. Jadi, pastikan tanya dulu.
~ Jika nak letak barang dalam kereta, bungkus barang elok2, paling bagus kalau boleh wrap macam kat airport.
~ Labelkan setiap kotak.
~ JANGAN sesekali letak barang berharga
~ Barang2 elektrik & elektronik tidak dibenarkan oleh kastam.
~ Segala aksesori tambahan dalam kereta better kita turunkan & bungkus.

9. Lain-lain Tips & Pengalaman
~ Kita tak tahu sepenuhnya keadaan kereta atas kapal, siapa orang2 sekeliling, pekerja kapal macam mana, so better be safe than sorry. Sebab tu jangan letak barang2 yang bernilai.
~ Saya dulu, ada 1 kotak yang ada kesan orang bukak kat tepi, walaupun dah label kat atas. Mungkin kastam, mungkin juga orang lain. Sebab tu jangan nak tipu2 masuk barang larangan, takut kastam bukak.
~ Masa dapat balik kereta, ada bau asap rokok, dan tempat cucuh rokok yang tak pernah saya sentuh telah terbuka.

Apa-apa pun, saya cukup berpuas hati dengan servis penghantaran kereta saya. Yang paling penting, kereta tiba di pintu rumah dengan selamat dalam tempoh yang lebih singkat daripada jangkaan.
Semoga urusan anda juga dipermudahkan ^_^

Explorace Kimia: Eksperimen Sebatian Karbon

$
0
0
Tajuk Sebatian Karbon dalam Kimia Ting. 5 ni memang panjang. Banyak tindak balas yang perlu diketahui oleh pelajar & banyak pula eksperimen yang perlu dijalankan. 

Jadi, untuk menjimatkan masa kami pilih 8 sahaja eksperimen yang paling penting untuk dijalankan secara serentak dalam 2 waktu PdPc (2 jam) yang dijalankan melalui aktiviti Explorace. 


Aktiviti PdPc dijalankan melalui beberapa peringkat, iaitu: 

1. Set Induksi

- Guru menunjukkan video penggunaan petrol sebagai bahan api kenderaan
- Guru bertanyakan pendapat pelajar mengapakah alkana digunakan sebagai sebahagian daripada bahan api kenderaan, dan bukannya alkena.
- Seterusnya guru menunjukkan video/ visual tentang pembuatan tapai secara tradisional.
- Guru meminta pelajar menamakan proses penghasilan tapai yang ditunjukkan 


2. Perkembangan PdPc:

-    Pelajar membentuk 8 kumpulan untuk menjalankan eksperimen.
-   Setiap kumpulan diberikan 1 lembaran kerja yang mengandungi soalan yang perlu dijawab semasa menjalankan eksperimen. Setiap soalan mengandungi markah. 
-    Guru membincangkan langkah-langkah keselamatan sebelum pelajar menjalankan eksperimen.
-    Menerangkan kepada pelajar tentang perkara yang perlu dibuat semasa eksperimen dijalankan.
-    Memantau setiap kumpulan pelajar semasa menjalankan eksperimen.


Aktiviti pelajar:
- Membentuk kumpulan dan melaksanakan perbincangan untuk menyusun semua radas dan bahan bagi menjalankan eksperimen.
- Selepas pelajar siap menjalankan satu eksperimen, kumpulan tersebut bergerak ke stesen eksperimen yang lain, sehinggalah setiap kumpulan berjaya menjalankan kesemua eksperimen.
-   Setiap kumpulan perlu berada di setiap stesen eksperimen selama 10 minit sahaja.
-   Pelajar perlu menjawab lembaran kerja yang disediakan berdasarkan keputusan eksperimen.
-   Selepas 10 minit, wisel akan dibunyikan dan setiap kumpulan perlu bergerak ke stesen seterusnya. Kumpulan yang tidak bergerak ke stesen seterusnya selepas wisel dibunyikan akan ditolak markah. 

Stesen Eksperimen: 

Stesen 1:
Pembakaran alkana & alkena



Stesen 2:
Membandingkan alkana & alkena melalui tindak balas dengan air bromin & larutan kalium manganat (VII) berasid




Stesen 3:
Pendehidratan alkohol



Stesen 4:
Penapaian glukosa




Stesen 5:
Membina isomer menggunakan ball stick model 


Stesen 6:
Membina model struktur alkana dan alkena menggunakan plastisin 



Stesen 7:
Sifat kimia asid karboksilik




Stesen 8:
Pengesteran


3. Kesimpulan & Refleksi Aktiviti 

- Wakil kumpulan membentangkan keputusan daripada setiap eksperimen. 
- Guru membincangkan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pelajar semasa menjalankan eksperimen (sekiranya ada) 
- Guru membandingkan keputusan eksperimen pelajar dengan teori 
- Pelajar menulis refleksi aktiviti menggunakan “Two Stars and a Wish” 
- Pelajar merumuskan sifat2 kimia sebatian karbon melalui eksperimen2 yang dijalankan. 





Tips Study Kimia Last Minute

$
0
0
SPM is just around the corner!
Ada yang sudah buat ulangkaji semua tajuk & sudah buat banyak latih tubi? Tahniah diucapkan!
Ada yang baru bermula? Jangan risau. Anda masih ada masa.
Apa yang boleh dilakukan dalam tempoh masa yang singkat ini?


1. Mulakan dengan Kertas 1
Soalan Kertas 1 adalah asas dalam subjek Kimia. Jadi, jika tak tahu mahu bermula dari mana, mulakan dengan melihat soalan Kertas 1, terutama 30 soalan pertama. Yang mana soalan yang tidak dapat anda jawab, itulah tajuk yang perlu diulangkaji.

2. Belajar dengan jawapan.
Rasa macam banyaknya tajuk yang perlu diulangkaji? Banyaknya tajuk dalam Kimia. Tak sempat baca semua atau buat latih tubi? Belajarlah dengan melihat jawapan bagi setiap soalan, terutamanya bagi Kertas 1 dan soalan struktur Kertas 2.

3. Nota ringkas @ nota kaki
Kimia memang banyak benda nak kena baca. Tengok buku rujukan, bukan main tebal. Tapi kena ingat, anda tak boleh baca buku Kimia macam baca novel. Kalau tak, confirm stress& berhenti awal. Sambil baca, MESTI buat nota ringkas, atau terus belajar dengan buku yang ringkas & padat. Gunalah marker & highlighter yang berwarna-warni, barulah rasa seronok tengok & baca nota sendiri.

4. Belajar secara berkumpulan.
Carilah bantuan @ sokongan. Cari kawan-kawan yang boleh bantu untuk membimbing kita. Jangan belajar berseorangan, anda pasti akan stress.

5. MESTI bermula dari SEKARANG.
Jangan bertangguh lagi. Tak kira lah selewat mana anda bermula, yang penting mesti bermula.

6. Pilih beberapa tajuk yang boleh dikuasai.
Kalau risau masa tak cukup untuk ulangkaji semua tajuk, pilih beberapa tajuk yang rasa boleh dikuasai & juga tajuk2 penting yang perlu dikuasai. Antara tajuk2 asas yang penting dalam Kimia adalah:
i) struktur atom
ii) pengiraan drpd persamaan kimia (3 langkah)
iii) perubahan sifat dalam jadual berkala unsur (saiz, kereaktifan, keelektronegatifan)
iv) elektrolisis & sel kimia
v) sifat asas asid & alkali
vi) bahan kimia dalam industri & bahan kimia untuk pengguna.

7. Berhenti bermain-main & mula fokus.
Jika anda baru bermula, pecutlah bermula sekarang sehingga ke penghujung. Kurangkan main handphone / main game.
Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain. Ada orang yang belajar sekejap saja sudah faham dan ingat semua. Ada pula pelajar yang mengambil masa, perlu ulang baca banyak kali, latih tubi banyak kali baru faham dan boleh buat. Jadi, belajarlah ikut kemampuan diri sendiri. 
Ingat...SPM cuma sekali sahaja dalam seumur hidup.

Kesimpulannya, untuk berjaya, kita mesti berusaha. Kuasai juga tips & teknik menjawab mengikut subjek masing-masing. Selain daripada itu, jangan lupa mohon restu daripada ibu bapa & guru. Berjumpalah dengan guru selagi anda masih ada peluang. Tidak kira walau siapa mahupun bagaimana guru anda, mereka sentiasa berusaha untuk membimbing anda sebaiknya. 

Semoga berjaya dalam SPM yang akan datang! 

Aktiviti Kadar Tindak Balas Menggunakan Glowing Stick

$
0
0

Selain daripada menjalankan eksperimen bagi kadar tindak balas dengan menggunakan bahan-bahan kimia seperti dalam buku amali, kita juga boleh menggunakan bahan-bahan lain yang boleh didapati dengan mudah. Antaranya Panadol soluble, glowing stick, uncang teh dan sebagainya.


Untuk aktiviti kali ini, kami menggunakan glowing stick bagi menguji faktor suhu terhadap kadar kecerahan glowing stick. Boleh beli glowing stickni daripada kedai Mr. DIY.


Aktiviti ini boleh dijadikan sebagai set induksi, ataupun sebagai aktiviti aplikasi bagi tajuk kadar tindak balas.

Tajuk : Kadar tindak balas
Faktor : Suhu

Bahan-bahan yang diperlukan:
1. Dua buah bikar 500ml
2. Air
3. Glowing stick
4. Tungku kaki tiga
5. Penunu Bunsen
6. Ais

Prosedur:
1. Isikan kedua-dua bikar dengan air sehingga 2/3 penuh.
2. Labelkan sebagai bikar A dan bikar B.
3. Panaskan air dalam bikar A (tak perlu mendidih pun tak apa).
4. Masukkan ais dalam bikar B.
5. Rendamkan glowing stick dalam bikar A dan bikar B masing-masing.
6. Bandingkan kecerahan glowing stick dalam kedua-dua bikar.

Pemerhatian:

*masa ni ais dah cair, kami guna air biasa saja*

Glowing stick dalam bikar A lebih cerah daripada bikar B.
Lebih tinggi suhu air, lebih tinggi kadar kecerahan glowing stick.

Kesimpulan:
Semakin tinggi suhu, semakin tinggi kadar tindak balas.


Catatan:
Boleh juga jalankan aktiviti ini menggunakan air dengan pelbagai suhu yang berbeza. Jadi, boleh bandingkan peningkatan kadar kecerahan glowing stickdaripada suhu yang paling rendah kepada suhu yang paling tinggi.

Teori Perlanggaran bagi Faktor Suhu:
- Lebih tinggi suhu, bahan-bahan tindak balas mempunyai tenaga kinetik yang lebih tinggi @ zarah-zarah bahan tindak balas bergerak dengan lebih laju
- Frekuensi perlanggaran antara zarah-zarah bahan tindak balaslebih tinggi
- Frekuensi perlanggaran berkesan antara zarah-zarah bahan tindak balas lebih tinggi.
- Jadi, kadar tindak balas lebih tinggi.

*perlu diingat, dalam jawapan peperiksaan, zarah-zarah bahan yang bertindak balasperlulah dinyatakan secara spesifik, termasuk jenis zarahnya sama ada atom, molekul ataupun ion.

**Untuk aktiviti kadar tindak balas menggunakan Panadol soluble (faktor saiz), sila klik DI SINI.


Koleksi Bahan Pembentangan Kimia

$
0
0
Berikut merupakan hasil karya pelajar-pelajar di sekolah saya yang dibentangkan semasa Program Gallery Walk Kimia. Bahan pembentangan ini merupakan bahan sokongan terhadap eksperimen yang ditunjukkan semasa program tersebut. 

Kredit: Asyraf, Zubair, Nazmy (2018)

Kredit: Imran & Tengku (2018)

*dihasilkan daripada batu-batu kecil yang disembur pewarna
Kredit: Adlan Arif & Faridz (2018)

*background tu dilukis sendiri menggunakan marker warna silver
Kredit: Ameen Iskandar & Khidir (2018)

Kredit: Ameen Iskandar & Khidir (2018)

Kredit: Danish Aidil & Syahmi (2018)
 
Kredit: Muhammad Hafeez & Amirul (2018)

Kredit: Khairul Aqil & Qusyairi Adha (2018)

Kredit: Farashah Farizal & Hafizur-Rahman (2018)

Kredit: Naseem & Daniel Yusaini (2018)

Kredit: Suhaimi & Atal Arif (2018)

Kredit: Ng Qin Shen & Isaac (2018)

Kredit: Haikal Amri & Faiz (2018)

Kredit: Eishwar & Suria (2019)

Kredit: Eishwar & Suria (2019)

Kredit: Nasywan & Azriel (2019)

Kredit: Syaimidi Efizy & Hafizuddin (2019)

Kredit: Syafiq & Azha (2019)

Kredit: Ammar Damanhuri & Zulkarnain (2019)

Kredit: Aiman & Thamiliniyan (2019)


Woww!!! Menariknya Aktiviti Resapan

$
0
0
Resapan merupakan proses pemindahan jirim @ zarah-zarah daripada suatu medium ke medium yang lain, dari kawasan berkepekatan tinggi ke kawasan berkepekatan rendah. 


Proses resapan boleh berlaku melalui 3 medium, iaitu pepejal, cecair dan gas. 

1. Resapan melalui pepejal

Biasanya kalau ikut buku, eksperimen resapan melalui pepejal menggunakan pepejal Kalium Manganat(VII) ataupun pepejal Kuprum(II) Sulfat.

Yang ni kami guna pepejal kalium manganat(VII). Ini hasil selepas beberapa jam. 
Memang lambat resapan melalui pepejal ni. 


2. Resapan melalui cecair. 

Untuk aktiviti ni, kami gunakan kertas tisu bagi menunjukkan proses pemindahan cecair daripada suatu bikar ke bikar yang lain.

Bikar kat tengah tu asalnya kosong. Selepas beberapa ketika, bikar itu berisi cecair yang telah berpindah daripada bikar di kiri dan kanan melalui proses resapan. 




3. Menghasilkan warna pada kobis & bunga. 

Hanya perlu rendamkan bahagian bawah kobis ataupun batang bunga dalam bikar yang berisi air berwarna. Kami guna pewarna makanan tu je. Tapi kalau nak guna bahan kimia yang berwarna pun boleh. Misalnya kalium manganat(VII) untuk efek warna ungu, kuprum(II) sulfat (biru), kalium dikromat(VI) (jingga) dan sebagainya. 

Kalau nak buat untuk kobis, paling bagus guna kobis cina yang panjang ni. 
Boleh nampak jelas kenaikan warna pada kelopak kobis. 

Ini pula persediaan untuk proses resapan pada bunga. 
Gunakan bunga yang berwarna putih ye. 
Rendam batang bunga dalam silinder penyukat atau 
apa-apa bekas silinder supaya bunga tu stabil. 
Jangan korang pegi guna buret sudahlahhhh..... 
Kalau nak guna bikar pun suka hati koranglah, tapi kalau esoknya 
bunga tu 'bongkok' nasiblah. 
Rasa nak bunga mahal, belilah ros putih. 
Ini kami beli kat makcik jual bunga tepi jalan je. 
Tak sampai 5 ringgit untuk seikat (ada lah dalam 20 kuntum). Jimat. 

Inilah hasilnya

3 warna RMC: hijau, kuning, merah. 
Yang ni caranya potong batang kat bahagian bawah kepada 3 bahagian, 
lepas tu celuplah dalam 3 warna berbeza. 

Yang ini pula direndam dalam warna-warna yang berbeza 
melalui 1 batang yang sama. 
Mula-mula rendam dalam warna merah. 
Lepas warna merah dah naik, rendam pula dalam warna kuning. 
So, jadilah macam ni. 



Nota kaki: 
Boleh buat aktiviti ni dalam kelas atau sempena Minggu Sains. 
Selain daripada tajuk Resapan, aktiviti ini juga boleh digunakan semasa perbincangan bagi tajuk Pengangkutan Air dalam Tumbuhan Melalui Xilem. 
Nak buat untuk bunga kat rumah pun boleh  ^_^


Teori Perlanggaran : Nota & Tips Jawapan

$
0
0
Terdapat 4 faktor Kadar Tindak Balas yang sering dibincangkan di peringkat SPM. 

Apabila menghuraikan Kadar Tindak Balas menggunakan Teori Perlanggaran, terdapat 5 poin penting yang perlu disertakan dalam jawapan yang membawa markah sebanyak 5 markah. 

Sentiasa ingat, jawapan Kimia tak perlu begitu panjang, tetapi perlu SPESIFIK, iaitu ada kata kunci yang tepat. 

Dalam kebanyakan kes, ramai pelajar yang tidak dapat skor 5 markah bagi soalan Teori Perlanggaran disebabkan jawapan yang umum, walaupun sudah ditulis dengan panjang. 

5 kata kunci penting bagi Teori Perlanggaran: 
- faktor kadar tindak balas 
- huraian faktor 
- frekuensi perlanggaran antara zarah (sama ada atom / molekul / ion) 
- frekuensi perlanggaran berkesan 
- kadar tindak balas 

Antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelajar adalah: 
- huraian faktor yang tidak tepat 
- tidak menyatakan jenis zarah secara spesifik apabila menerangkan tentang frekuensi perlanggaran
- tiada perbandingan antara set eksperimen 

Contoh jawapan bagi 4 faktor kadar tindak balas: 

1. Faktor Saiz 

Contoh 1: Tindak balas antara Zink dan Asid Hidroklorik 


Set I : menggunakan kepingan Zink
Set II : menggunakan serbuk Zink

Huraian jawapan: 
- Saizserbuk zink dalam Set II lebih kecil daripada kepingan zink dalam Set I 
- Jumlah luas permukaan zink yang terdedah kepada perlanggaran dalam Set II lebih besar daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ATOM Zink dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 

Contoh 2: Tindak balas antara Asid Hidroklorik dan marmar (kalsium karbonat) 


Set I : menggunakan ketulan marmar
Set II : menggunakan serbuk marmar

Huraian jawapan: 
- Saiz kalsium karbonat dalam Set II lebih kecil daripada Set I 
- Jumlah luas permukaan kalsium karbonat yang terdedah kepada perlanggaran dalam Set II lebih besar daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara kalsium karbonat dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 


2. Faktor Suhu

Contoh: Tindak balas antara Natrium Tiosulfat dan Asid Sulfurik 


Set I : menggunakan suhu larutan natrium tiosulfat yang rendah
Set II : menggunakan suhu larutan natrium tiosulfat yang lebih tinggi 

Huraian jawapan: 
- Suhu larutan natrium tiosulfat dalam Set II lebih tinggi daripada Set I 
- Tenaga kinetik zarah-zarah dalam Set II lebih tinggi daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ION Tiosulfat dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 


3. Faktor Kepekatan 

Contoh: Tindak balas antara pita Magnesium dan asid

Set I : Pita Magneisum + Asid Hidroklorik 0.5M
Set II : Pita Magnesium + Asid Sulfurik 0.5M


Huraian jawapan:
- Asid hidroklorik merupakan asid monobes, manakala asid sulfurik merupakan asid dwibes.
- Kepekatan ION Hidrogen dalam larutan asid sulfurik adalah 2 kali ganda daripada asid hidroklorik.
- Frekuensi perlanggaran antara ION Hidrogen dan ATOM Magnesium dalam Set II lebih tinggi.
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi.
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi.


4. Faktor Mangkin 

Contoh : Penguraian Hidrogen Peroksida menggunakan mangkin Mangan(IV) oksida


Huraian jawapan: 
- Kehadiran mangkin, mangan(IV) oksida menyediakan lintasan alternatif dengan tenaga pengaktifan yang lebih rendah // kehadiran mangkin merendahkan tenaga pengaktifan.
- Lebih banyak zarah-zarah yang dapat mengatasi tenaga pengaktifan dan bertindak balas.
- Frekuensi perlanggaran berkesan lebih tinggi.
- Kadar tindak balas lebih tinggi

*bagi tindak balas penguraian hidrogen peroksida menggunakan mangkin, tiada poin untuk frekuensi perlanggaran antara zarah.


Diharapkan agar beberapa contoh yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar untuk lebih mahir dalam menghuraikan Kadar Tindak Balas dengan menggunakan Teori Perlanggaran.

Asas Kimia : Menulis Formula Kimia Sebatian

$
0
0
Dalam mata pelajaran Kimia, antara perkara paling penting adalah kemahiran untuk membina formula kimia bagi sebatian. Adalah sangat digalakkan untuk pelajar-pelajar memahami cara-cara untuk membina / menulis formula kimia, berbanding menghafalnya. Apabila sudah faham, maka sudah pasti pelajar boleh menulis formula bagi apa jua sebatian yang diberikan. 

Berikut merupakan senarai formula bagi kation dan anion: 



Untuk membina formula kimia sebatian, kita tentukan terlebih dahulu sama ada formula bagi ion positif dan ion negatif mempunyai nilai cas yang sama ataupun berbeza.

Jika kation dan anion mempunyai nilai cas yang sama, jadi kita terus potong sahaja cas pada ion-ion tersebut, kemudian gabungkan.


Jika kation dan anion mempunyai nilai cas yang berbeza, kita buat kaedah darab silang. Nilai cas pada kation dibawa turun dan diberi kepada anion, dan begitulah sebaliknya. 


Apabila melibatkan ion kompleks, langkah-langkahnya sama sahaja seperti ion-ion yang lain. Jika nilai cas sama, potong sahaja, manakala jika nilai cas berbeza, kita buat darab silang. 


Cuma, apabila melibatkan ion kompleks yang mempunyai nilai cas berbeza, kita perlu menulis kurungan (mengikut keadaan). 


Untuk lebih memahami langkah-langkah untuk menulis formula kimia sebatian, bolehlah merujuk video yang Cikgu Nurul sediakan. Klik link berikut untuk menonton video tersebut di YouTube: 


Semoga pelajar-pelajar lebih memahami dan dapat menguasai cara penulisan formula kimia sebatian dengan lebih baik.



Artikel berkaitan: 
Membina Persamaan Kimia 
Menyelesaikan Masalah Penghitungan 

Asas Kimia : Membina Persamaan Kimia Seimbang

$
0
0
Dalam mata pelajaran Kimia, adalah sangat penting untuk pelajar-pelajar mahir menulis persamaan kimia yang seimbang. Ini kerana, persamaan kimia digunakan untuk menunjukkan tindak balas - tindak balas kimia dan seterusnya digunakan untuk menjawab soalan pengiraan dalam Kimia.

Namun begitu, untuk mahir menulis persamaan kimia, pelajar-pelajar hendaklah terlebih dahulu menguasai kemahiran membina formula kimia. Apabila sudah mahir menulis semua formula kimia, maka barulah mudah untuk kita menulis persamaan kimia pula.

Langkah-langkah untuk membina persamaan kimia yang seimbang: 

1. Tulis semua formula kimia dengan betul
2. Asingkan bahan tindak balas dan hasil tindak balas
3. Hitung bilangan atom setiap unsur yang terdapat dalam bahan tindak balas dan hasil tindak balas
4. Samakan bilangan atom setiap unsur dengan mendarabkan bilangan atom tersebut
5. Tuliskan nombor yang didarabkan di hadapan sebatian yang berkaitan
6. Kira semula bilangan atom setiap unsur. Apabila semuanya sudah sama untuk bahagian bahan tindak balas dan hasil tindak balas, maka persamaan kimia kita sudahpun seimbang.




Untuk lebih memahami langkah-langkah membina persamaan kimia yang seimbang, pelajar-pelajar boleh merujuk video yang Cikgu Nurul sediakan di laman YouTube. 
Sila klik link di bawah untuk menonton video tersebut: 


Semoga pelajar-pelajar lebih memahami dan dapat menguasai langkah-langkah yang telah kita bincangkan dan seterusnya dapat menulis persamaan kimia yang seimbang dengan lebih mudah. 



Artikel berkaitan: 

Asas Kimia : Menyelesaikan Masalah Penghitungan Berdasarkan Persamaan Kimia

$
0
0
Soalan pengiraan dalam Kimia sebenarnya tidak susah. Ianya hanya melibatkan 3 langkah, iaitu:
1. menghitung bilangan mol
2. membuat nisbah bil. mol
3. selesaikan pengiraan


Apa yang penting adalah, pelajar-pelajar mesti mahir menulis persamaan kimia yang seimbang terlebih dahulu. Jika persamaan kimia betul dan seimbang, barulah pengiraan juga akan betul dan tepat. 

Berikut merupakan langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah penghitungan melibatkan persamaan kimia beserta contoh soalan: 




Pelajar-pelajar juga boleh merujuk langkah-langkah di atas melalui pautan video di bawah:


Semoga pelajar-pelajar lebih memahami dan dapat menguasai kemahiran menjawab soalan pengiraan dalam Kimia dengan lebih baik.



Artikel berkaitan: 
Menulis Formula Kimia 
Membina Persamaan Kimia 

Diari Perjalanan Seorang Guru

$
0
0
Menjadi guru itu
Bukan hanya sekadar mengajar tulis baca
Tetapi mendidik untuk menjadi insan yang berguna
Menjadi guru itu
Memikul amanah di dada
Malaksanakan tanggungjawab dengan sepenuh jiwa dan raga
Biarpun sesekali kita berdukalara
Bangkitlah semula!
Mengutip sisa semangat yang ada

Guru
Biarpun kita dikeji
Usahlah kita membenci
Biarpun kita tidak difahami
Teruslah meneladani
Biarpun kita dipandang sepi
Jangan sesekali kita mengundur diri

Guru
Usah diharapkan pada pujian
Usah diminta penghargaan
Kelak dirimu pasti terkilan
Kerana hanya DIA yang layak menilai dan memberi balasan
Sirami jiwa dengan keikhlasan
Agar dirimu memperoleh ketenangan

Buat semua guru-guruku
Terima kasih atas segala ilmu
Atas segala bimbingan dan dorongan
Untuk setiap keringat yang telah kau curahkan
Untuk setiap doa yang kau titipkan
Takkan pernah ku lupa segala jasa dan pengorbanan
Semoga Tuhan mengurniakan sebaik-baik balasan

Untuk anak-anak muridku
Maafkan cikgu atas segala kekurangan
Terima kasih untuk semua kenangan dan pencapaian
Juga tak lupa pada segala kenakalan
Yang telah mengajar cikgu erti sabar dan usaha berterusan
Semoga engkau menjadi insan yang penuh ihsan

Perjalanan perguruan kita teruskan
Biarpun onak duri dan ranjau menanti di sepanjang laluan
Biarpun terduduk kelelahan
Takkan berundur dari medan
Semoga redha Tuhan mengiringi perjalanan

Nukilan asal oleh:
Cikgu Nurul
21 Ramadhan 1441H

~kenangan semasa POP 2019~ 

SELAMAT HARI GURU!
BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU

Dedikasi khas buat semua guru yang telah mendidik saya:
- Tabika KEMAS, Machang, Kelantan (1993)
- SK Hamzah(1), Machang (1994-1999)
- SMK Hamzah(1), Machang (2000-2002)
- MRSM Kuala Lipis (TGS), Pahang (2003-2004)
- Kolej MARA Kulim (2005-2006)
- Universiti Malaya, KL (2006-2010)

2020. All Rights Reserved. ceritacikgunurul.blogspot.com

Sifat Kimia Alkena

$
0
0
Secara umumnya, tindak balas kimia yang melibatkan alkena boleh dibahagikan kepada 3 bahagian utama, iaitu tindak balas pembakaran, tindak balas penambahan dan pempolimeran. 
Terdapat 5 tindak balas penambahan alkena, iaitu Penghidrogenan, Penghidratan, Penghalogenan, Penambahan Hidrogen Halida dan Pengoksidaan. 


1. Tindak balas Pembakaran 
Pembakaran alkena akan membebaskan gas karbon dioksida dan menghasilkan air. 
Untuk menyeimbangkan persamaan tindak balas, ikut turutan C,H,O, iaitu seimbangkan jumlah karbon terlebih dahulu, kemudian baru diikuti dengan hidrogen dan oksigen. 


2. Tindak balas Penghidrogenan 
Penambahan gas hidrogen akan menukarkan alkena kepada alkana, dengan menggunakan Nikel / Platinum sebagai mangkin dan suhu sebanyak 180 oC
Tindak balas ini digunakan dalam proses pembuatan marjerin dalam industri. 


3. Tindak balas Penghalogenan 
Tindak balas ini digunakan dalam ujian pengesahan kimia bagi membezakan alkana dan alkena. Hanya alkena yang akan bertindak balas dengan halogen, manakala tiada pemerhatian terhadap alkana. Misalnya, apabila alkena dicampurkan dengan air bromin, warna perang air bromin akan dinyahwarnakan / menjadi tidak berwarna. 


4. Tindak balas Penghidratan
Tindak balas ini digunakan dalam industri bagi menghasilkan alkohol. Gas etena dialirkan melalui stim pada suhu setinggi 300 oC, tekanan 60 atm dan menggunakan asid fosforik sebagai mangkin. 


5. Tindak balas Pengoksidaan Alkohol 
Dalam tindak balas ini, alkena dicampurkan dengan agen pengoksidaan seperti Kalium Manganat(VII) berasid atau Kalium Dikromat(VI) berasid. TIndak balas ini juga digunakan dalam ujian pengesahan kimia bagi membezakan alkana dan alkena. 
Apabila Kalium Manganat(VII) berasid dicampurkan bersama alkena, warna ungu Kalium Manganat(VII) berasid akan dinyahwarnakan / menjadi tidak berwarna. 
Manakala jika alkena dicampurkan dengan Kalium Dikromat(VI) berasid, warna larutan Kalium Dikromat(VI) berasid akan bertukar daripada jingga menjadi warna hijau


6. Penambahan Hidrogen Halida 
Tindak balas antara alkena dan hidrogen halida akan menghasilkan haloalkana.


7. Pempolimeran. 
Polimer merupakan suatu molekul berantai panjang yang terdiri daripada unit-unit kecil yang sama, iaitu monomer. Proses penggabungan monomer-monomer untuk menghasilkan molekul berantai panjang dinamaan sebagai Pempolimeran. 
Berikut merupakan antara contoh polimer yang dihasilkan daripada monomer masing-masing: 




*Bagi menonton video penerangan untuk tajuk ini, sila klik link berikut:

Tips Ujian Pengesahan Kation Garam

Langkah-langkah Memuatnaik RPH dalam Microsoft Teams

$
0
0

Pada masa kini, semakin banyak sekolah mula menggunakan e-RPH melalui pelbagai medium. Bukan sahaja menjimatkan kertas, malah mudah diakses melalui peranti elektronik pada bila-bila masa sahaja. 

Sebelum ini, sekolah saya menggunakan e-RPH melalui aplikasi Google Classroom. Sekarang kami beralih pula kepada Microsoft Teams. Bagi saya, penggunaan Microsoft Teams adalah jauh lebih mudah dan lebih mesra pengguna. 

Berikut merupakan langkah-langkah untuk memuatnaik (upload) RPH yang disimpan dalam bentuk PDF ke dalam Microsoft Teams: 

1. Log in Microsoft Teams. Kemudian pilih Teams yang mengandungi tugasan RPH. 

2. View Assignment 

3. Klik "Add work" 

4. Pilih "+New File", kemudian pilih "OneNote" (bagi RPH dalam bentuk PDF) 

5. Masukkan nama fail rph di bahagian "File name" 

7. Klik butang "RPH", diikuti butang "Attach" 

8. Klik pada nama fail RPH kita tadi. Kita akan dibawa masuk ke dalam OneNote. 

9. Letakkan cursor di bahagian bawah tajuk. Kemudian klik "Insert", diikuti "File" dan seterusnya pilih"Insert File Printout" 

10. Choose file, pilih fail rph yang kita nak muatnaik, kemudian klik "Open" seterusnya klik "Insert" pada dialog box. 

11. Selepas proses printout selesai, boleh klik "Close"di bahagian atas sebelah kanan. Segala kandungan dalam OneNote akan disimpan secara automatik (auto-saved). 

12. Akhir sekali, klik butang "Turn In" di bahagian atas sebelah kanan. 

Untuk huraian yang lebih lanjut, boleh tonton melalui pautan video berikut: 

Video Memuatnaik RPH dalam Teams 

Untuk melihat bagaimana menambahkan refleksi pula boleh layari pautan di bawah: 

Langkah Mudah Menulis Refleksi RPH dalam OneNote Teams

5 Langkah Mudah Menulis Refleksi RPH dalam OneNote Teams

$
0
0

Microsoft Teams merupakan antara medium PdPc yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga pendidik, termasuklah untuk penghantaran e-RPH. Bagi saya, penggunaan Microsoft Teams adalah lebih mudah dan lebih mesra pengguna berbanding dengan Google Classroom. Ini kerana, kita boleh menambahkan refleksi secara terus pada dokumen RPH yang telah kita muatnaik dan ianya juga autosaved

Sebelum ini saya telah kongsikan langkah-langkah untuk memuatnaik RPH dalam OneNote Microsoft Teams. Kali ini saya akan kongsikan pula langkah-langkah untuk kita menambahkan refleksi pada dokumen RPH yang telah dimuatnaik. 

Cara-caranya adalah seperti berikut: 

1. Dalam Teams, pergi ke bahagian "Assignments". Pilih RPH yang ingin dimasukkan refleksi dari senarai "Completed" assignment. 

2. Setelah dapat viewOneNote, letak cursor di mana-mana kawasan di luar kawasan printout dan klik. Akan keluar satu dialog box

3. Taipkan refleksi dalam dialog box tersebut. 

4. Alihkan dialog box ke bahagian refleksi RPH kita. 

5. Klik butang "Close" di bahagian atas sebelah kanan. 

Untuk huraian lebih lanjut, boleh tonton video melalui pautan berikut: 

Cara Menulis Refleksi RPH dalam OneNote Teams 

Kenangan Sesi Persekolahan Tahun 2020

$
0
0

Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun 2020 dimulakan ramai orang dengan azam dan semangat baru yang berkobar-kobar. Di MTD, murid Tingkatan 5 paling gembira kerana sudah bergelar SP (senior putera). Kelas berjalan seperti biasa. Eksperimen dilaksanakan dengan gembira. Sesekali membimbing putera semasa waktu petang & semasa prep malam.

From this (early 2020).......

Tanggal 5 Mac 2020, keputusan SPM 2019 diumumkan. Alhamdulillah….peningkatan yang memberangsangkan. Kejohanan merentas desa & lari berganti-ganti menjadi sambutan terakhir di maktab sebelum cuti pertengahan penggal pertama.


Wajah-wajah gembira menerima keputusan SPM 2019

Namun siapa sangka cuti sekolah yang asalnya dijadualkan selama seminggu menjadi 3 bulan disebabkan PKP.

Tak sempat nak ingat nama semua orang... 

Tiada siapa pernah menyangka Covid-19 menyerang dunia di tahun 2020.

Tiada siapa pernah menduga kita hidup dengan normal dan norma baharu sepanjang tahun.

Tiada siapa pernah meramalkan tahun 2020 menyaksikan dunia Pendidikan terutamanya PdPc berubah hampir 360 darjah.

.....to this (during mco and cmco)

Tiada siapa yang pernah membayangkan pembelajaran secara maya dijalankan hampir sepanjang tahun. Hanya beberapa bulan sahaja cikgu-cikgu sekolah bertemu mata dengan anak-anak murid. Begitu juga dengan para mahasiswa universiti. Selebihnya hanya berjumpa dalam ruangan maya pada paparan skrin yang adakalanya besar dan ada yang kecil. Bertentang mata hanya apabila masing-masing ‘on’ kamera pada gajet.


Sama ada suka ataupun tidak, mahu ataupun tidak, kita semua perlu menerima setiap perubahan dengan hati dan minda yang terbuka.

Suatu ketika dahulu kita pernah meramalkan kita semua akan naik kereta terbang pada tahun 2020. Rupa-rupanya bukan kereta yang terbang, tapi kertas yang terbang. Nota-nota, latihan, bahan-bahan bantu mengajar banyak ditukar menjadi softcopy. Ujian dan pentaksiran juga banyak dijalankan secara dalam talian seperti melalui medium Google Form. “Kertas yang punya nilai” juga banyak yang “terbang” untuk keperluan pengajaran & pembelajaran. Gajet elektronik, laptop touchscreen, printer with wifi, webcam, kain hijau untuk greenscreen, ringlight dan sebagainya. Tidak kira guru mahupun pelajar. Apa-apa pun semoga setiap usaha kita tidak kira besar atau kecil dicatit sebagai amal kebaikan dan diberkati oleh-Nya.

Mujurlah laptop touchscreen ni baru je beli hujung tahun lepas. Last model Acer mcm ni. 
Model2 sekarang semua jenis flip kalau tak silap

Virus korona itu begitu halus dan tidak kelihatan pada mata kasar, namun impaknya cukup besar dalam aspek kehidupan setiap individu. Seluruh dunia berhadapan dengan cabaran pembelajaran secara maya. Setiap guru dan murid menghadapi cabaran ini. Namun terpulang pada kita untuk menjadikan cabaran ini sebagai hanya suatu ujian mahupun suatu ruang dan peluang untuk menambah baik PdPc sedia ada.

Dunia digital membuka ruang yang sangat luas terhadap perkongsian ilmu secara maya. Pelbagai seminar dan webinar dianjurkan secara aktif melalui pelbagai medium seperti Zoom, Webex, Google Meet, Microsoft Teams, YouTube dan sebagainya. Malah semakin ramai cikgu-cikgu yang kini menjadi YouTuber bagi berkongsi video-video P&P untuk murid-murid dan sesama guru. PdPc secara maya juga merealisasikan kolaborasi dalam talian antara sekolah. Jarak bukan lagi menjadi suatu halangan.


Bagi murid-murid pula, mendepani cabaran belajar secara maya tanpa kehadiran guru secara fizikal sudah tentu memerlukan disiplin yang tinggi serta kekuatan mental dan emosi. Pemikiran yang positif dan daya usaha yang berterusan pasti membuahkan hasil yang baik. Misalnya seperti apa yang dilakukan oleh salah seorang putera MTD ini:

Masa tidak akan mungkin berputar semula ke belakang. Kita tiada pilihan selain terus melangkah ke hadapan. PdPc tetap perlu diteruskan walau dengan apa jua medium sekalipun. Amanah guru untuk mengajar, membimbing dan mendidik. Tanggungjawab murid-murid dan para pelajar untuk terus belajar. Tiada siapa yang tahu bila situasi kini akan berakhir. Don’t wait for the miracle, but create your own miracle.

Kompeni Bravo 2019/2020

p/s: hidup kita sekarang mungkin tidak akan kembali normal seperti dahulu, namun hidup kita tetap normal: normal baharu.

Viewing all 130 articles
Browse latest View live