Soalan ujian pengesahan gas merupakan salah satu soalan yang biasa ditanya dalam Kertas 2 Kimia. Biasanya soalan ini memperuntukkan 3 markah ataupun 2 markah. Ramai pelajar yang tidak dapat markah penuh untuk soalan seperti ini bukan kerana mereka tidak dapat menjawab atau tidak tahu. Jawapan sudah betul, cuma tidak lengkap.
Kesilapan Umum
Berikut merupakan antara contoh kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelajar:
1. Ujian pengesahan gas karbon dioksida
Jawapan pelajar:
- guna air kapur (X)
- air kapur menjadi keruh (Ö)
2. Ujian pengesahan gas hidrogen
Jawapan pelajar:
- guna kayu uji bernyala (X)
- bunyi ‘pop’ terhasil (Ö)
Berdasarkan dua contoh jawapan di atas, pelajar hanya dapat 1 markah sahaja untuk pemerhatian.
Soalan bukan tanya perlu guna apa, tetapi perlu diterangkan bagaimana ujian tersebut dijalankan.
3. Ujian pengesahan gas klorin
Jawapan pelajar:
- guna kertas litmus biru (X)
- bertukar merah (X)
Dalam jawapan bagi soalan no. 3, ada tiga kesilapan yang dilakukan oleh pelajar.
i) Tidak menyatakan bagaimana ujian tersebut dijalankan
ii) Tiada perkataan ‘lembap’, sepatutnya: kertas litmus biru lembap
iii) Point kedua tidak lengkap, apa yang bertukar merah?
Tips Menjawab Soalan Ujian Pengesahan Gas
Bagi mendapatkan 3 markah penuh untuk soalan ujian pengesahan gas, 3 perkara berikut perlu disertakan dalam jawapan:
1. Prosedur / Kaedah (Procedure)
2. Pemerhatian (Observation)
3. Kesimpulan (Conclusion)
Secara ringkasnya, ingat POC (procedure, observation, conclusion)
Ujian Pengesahan Gas
Jenis Gas | Sifat Fizik | Ujian Pengesahan Gas | ||
Prosedur (Procedure) | Pemerhatian (Observation) | Kesimpulan (Conclusion) | ||
Oksigen | Tidak berwarna | Masukkan kayu uji berbara ke dalam tabung uji yang mengandungi gas oksigen | Kayu uji berbara menyala | Menunjukkan kehadiran oksigen |
Karbon dioksida | Tidak berwarna | Lalukan gas karbon dioksida ke dalam air kapur | Air kapur menjadi keruh | Menunjukkan kehadiran gas karbon dioksida |
Hidrogen | Tidak berwarna | Letakkan kayu uji bernyala di mulut tabung uji yang mengandungi gas hidrogen | Bunyi ‘pop’ terhasil | Hidrogen hadir |
Gas Ammonia | -Tidak berwarna -Berbau sengit | Masukkan kertas litmus merah lembap ke dalam tabung uji yang mengandungi gas ammonia | Warna kertas litmus merah lembap menjadi biru | Gas ammonia disahkan hadir |
Lalukan gas ammonia ke dalam reagen Nessler | Warna reagen Nessler berubah daripada tiada warna kepada perang | |||
Sulfur dioksida | -Tidak berwarna -Berbau sengit & menyesakkan nafas | Masukkan kertas litmus biru lembap ke dalam tabung uji yang mengandungi gas sulfur dioksida | Warna kertas litmus biru lembap menjadi merah | Gas sulfur dioksida disahkan hadir |
Lalukan gas sulfur dioksida ke dalam larutan kalium manganat(VII) berasid | Warna ungu larutan KMnO4 berasid dinyahwarnakan | |||
Lalukan gas sulfur dioksida ke dalam larutan kalium dikromat(VI) berasid | Warna larutan kalium dikromat(VI) berasid berubah daripada jingga kepada hijau. | |||
Gas Klorin | -Berwarna kuning kehijauan -Berbau sengit | Masukkan kertas litmus biru lembap ke dalam tabung uji yang mengandungi gas klorin | Warna kertas litmus biru lembap menjadi merah, kemudian dilunturkan | Gas klorin disahkan hadir |
Lalukan gas klorin ke dalam larutan Argentum Nitrat | Mendakan putih terbentuk | |||
Nitrogen dioksida | -Berwarna perang -Berbau sengit | Masukkan kertas litmus biru lembap ke dalam tabung uji yang mengandungi gas nitrogen dioksida | Warna kertas litmus biru lembap menjadi merah | Menunjukkan kehadiran gas nitrogen dioksida |
Larutkan gas nitrogen dioksida dalam air | Larutan tidak berwarna terhasil |
*Muat turun nota ini DI SINI