Konsep tekanan udara dapat memudahkan urusan seharian. Antara aplikasi tekanan udara dalam kehidupan seharian kita adalah:
1. Picagari
Kegunaan:
Untuk memindahkan cecair dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya, ubat cecair.
Prinsip:
Apabila omboh ditarik ke atas, isipadu udara dalam silinder bertambah. Ini merendahkan tekanan udara dalam silinder. Tekanan udara yang lebih tinggi di luar akan menolak cecair untuk masuk ke dalam picagari.
2. Sifon
Kegunaan:
Memindahkan cecair dari kawasan tinggi ke kawasan rendah.
Prinsip:
Salah satu hujung tiub sifon dimasukkan ke dalam cecair di mana kedua-dua hujungnya ditutup dan hujung yang satu lagi diletakkan lebih rendah. Apabila kedua-dua hujungnya dibuka, tekanan udara akan menolak air masuk ke dalam sifon dan mengalir ke hujung tiub satu lagi.
3. Penyembur racun serangga / pam penyembur
Kegunaan:
Untuk membebaskan racun serangga / cecair dalam bentuk titisan cecair
Prinsip:
Apabila omboh ditolak ke arah dalam silinder, udara yang terdapat dalam silinder keluar melalui muncung dengan halaju tinggi dan mewujudkan kawasan bertekanan rendah di bahagian atas tiub. Udara dari luar yang masuk melalui lubang mengenakan tekanan ke atas racun serangga dan menolaknya keluar melalui tiub. Cecair yang keluar dipecahkan kepada titisan-titisan kecil oleh udara yang keluar dengan laju daripada silinder.
Contoh aplikasi: Botol febreeze
4. Penyedut minuman
Kegunaan:
Untuk meminum air
Prinsip:
Apabila udara dalam penyedut minuman disedut keluar, tekanan rendah terbentuk dalam penyedut minuman. Tekanan udara yang tinggi di luar menolak air daripada gelas masuk ke dalam penyedut minuman.
5. Penitis
Kegunaan:
Mengambil cecair / bahan kimia daripada botol reagen / radas makmal
Prinsip:
Apabila pemegang getah penitis dipicit, udara dari dalam penitis dikeluarkan mewujudkan tekanan udara yang rendah. Penitis kemudiannya dimasukkan ke dalam cecair dan pemegang getah dilepaskan. Tekanan udara yang lebih tinggi di luar menolak masuk cecair ke dalam penitis.
Catatan:
*antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar semasa menggunakan penitis adalah memasukkan penitis ke dalam cecair terlebih dahulu sebelum pemegang getah dipicit.
*cara yang betul adalah picit pemegang terlebih dahulu, masukkan penitis dalam cecair, baru pemegang getah dilepaskan.
*ini bagi mengelakkan udara dari dalam penitis masuk ke dalam cecair dan kemudian masuk semula ke dalam penitis (gelembung gas)
Contoh lain: demo no. 8
6. Pelekap getah
Kegunaan:
Digunakan untuk menyangkut barang-barang harian
Prinsip:
Apabila pelekap getah ditekan ke atas permukaan dinding, udara yang berada di bawah pelekap getah dikeluarkan. Tekanan rendah terbentuk. Tekanan udara sekeliling yang lebih tinggi menekan pelekap getah di dinding dan mengelakkannya daripada jatuh.
Contoh lain: Tikar atmosfera (atmospheric mat) – demo no. 12
7. Pam sedut
Kegunaan:
Untuk mengeluarkan kotoran yang tersumbat dalam sinki / paip
Prinsip:
Apabila cawan getah ditolak ke bawah, udara dari dalam cawan getah ditolak keluar. Apabila cawan getah diangkat semula, isipadu udara bertambah dan merendahkan tekanan udara. Tekanan udara yang lebih tinggi dalam paip menolak kotoran keluar ke atas.
8. Pembersih vakum
Kegunaan:
Menyedut debu / kotoran
Prinsip:
Apabila suis pembersih vakum dihidupkan, udara yang terdapat dalam pembersih vakum disedut menghasilkan suatu keadaan vakum dan mewujudkan tekanan udara yang rendah di dalam. Udara yang bertekanan lebih tinggi di luar menolak masuk debu dan kotoran ke dalam pembersih vakum.
9. Susu pekat
Kegunaan:
Untuk menuang susu pekat daripada tin dengan mudah.
Prinsip:
Tin susu pekat perlu dibuat dua lubang di bahagian atas. Apabila susu pekat dituang daripada tin, udara dari luar akan masuk ke dalam tin melalui lubang yang berada di atas. Tekanan udara dari luar akan menolak keluar susu pekat daripada tin dengan lebih mudah.
Contoh lain:
-Jika minum air daripada botol air minuman, pastikan permukaan botol air tidak ditutup sepenuhnya. Jika tidak, udara dari luar tidak dapat masuk untuk membantu menolak air masuk ke dalam mulut.
-Begitu juga apabila minum kopi / teh daripada bekas minuman yang mempunyai penutup seperti ini:
Lubang udara kecil di bahagian atas berfungsi untuk membenarkan udara masuk dan menolak air keluar melalui bukaan bawah. Pastikan lubang udara itu tidak tertutup oleh hidung anda! (bunyi macam agak kelakar, tapi ini fakta).
10. Tin / botol minuman berkarbonat
Kegunaan:
Membebaskan gas termampat sebelum air diminum
Prinsip:
Tin / botol minuman berkarbonat mempunyai gas termampat bertekanan tinggi yang akan terbebas apabila tin / botol dibuka. Penutup tin / botol sedikit terlebih dahulu bagi membebaskan gas tersebut sebelum ia dibuka sepenuhnya. Jika penutup tin / botol dibuka dengan terlalu pantas, ia akan menyebabkan air berkarbonat tadi terpancut keluar dengan laju dan tumpah.
11. Tin aerosol
Kegunaan:
Untuk menyimpan gas di bawah tekanan tinggi.
Prinsip:
Tin aerosol merupakan salah satu alat yang menggunakan prinsip pemampatan gas di bawah tekanan tinggi. Apabila gas dimampatkan, gas akan disimpan dalam bentuk cecair. Injap dan spring menghalang cecair daripada keluar jika tidak digunakan. Tin aerosol mempunyai gas termampat yang akan menolak cecair keluar melalui tiub. Apabila butang ditekan, injap masuk ke dalam tin bagi memberi ruang kepada cecair untuk keluar. Gas termampat yang bertekanan tinggi menolak cecair keluar daripada tin ke atas. Sebaik sahaja cecair tadi dilepaskan, ia akan terbebas sebagai gas.
Contoh lain:
-tin cat spray
-botol minyak wangi / deodoran
Rujukan gambar:
Teacher's manual, science form 2, pan asia